Klik Jangan Tak klik!

Followers

Tuesday, November 16, 2010

Perkembangan  Kesusasteraan  Di   Nusantara(  Malaysia, Brunei ,Singapura  dan  Indonesia)

Fakulti  Bahasa  dan  Komunikasi
Universiti  Pendidikan  Sultan  Idris.

Abstrak
Bidang  sastera di  nusantara  pada  dasarnya  tidak  kurang  hebatnya  daripada  bidang lain   di  negara-negara  Nusantara. Perkembangan  sastera  Nusantara  dari  awal  kewujudannya  sehinggalah  ia  merentas  era  globalisasi  seperti  pada  masa  kini.  Malaysia, Brunei, Singapura  dan  Indonesia  merupakan negara    yang  masih  bergiat  aktif   dalam  memperkembangkan  dunia  sastera  walaupun  tidak  dapat dinafikan banyak  kekangan  yang   menjadi  cabaran kepada  penulis-penulis  pada  masa   kini  misalnya  kekangan  dari  segi  ekonomi, perkembangan  teknologi  maklumat  yang  menyebabkan  sastera   kurang  mendapat  perhatian,kelemahan  dalam  dunia  kritikan  sehinggakan  ramai  dalam  kalangan  penulis  yang  menulis  tanpa  sebarang  penilaian  daripada  pengkritik-pengkritik  sastera.  Di  hadapan  kita  misalnya  merupakan  zaman  teknologi  maklumat  yang  penuh   dengan  cabaran  dan juga perlumbaan. Dengan  adanya  teknologi  maklumat yang canggih  serta   maklumat  yang  hanya  di hujung  jari  ini,  para  penulis   sastera   juga  kian  giat  menjalankan  penyelidikan  untuk   memperkembangkan  hasil  sastera  mereka.  Oleh  itu tidak  hairanlah  jika  hasil  sastera   pada  zaman  sekarang  diadaptasikan  menjadi  filem  dan  skrip  drama  dan ternyata  hasilnya  juga  begitu  memberansangkan.  Meskipun  pada  akhir  abad  ke -20  ini  negara Asia  mengalami  kemerosotan  ekonomi  yang  menggoncang   kestabilan  politik  dan  sosial  namun    para  sasterawan  sentiasa  peka  terhadap  perkembangan  ekonomi  ini   dan  sentiasa   bersifat  universal  terhadap  apa  jua  keadaan.   





Pengenalan
Pemahaman  kita  tentang  sastera  atau karya  sastera  pasti  akan menampilkan  gambaran  sesuatu  yang  dalam  bentuk  tulisan. Karya  sastera   yang  dipamerkan  mungkin  berupa  puisi,cerita  pendek,  novel,  bahkan  nashkah  drama. Oleh  itu, pemikiran  kita  sering disogokkan  bahawa  sastera  itu  adalah  sesuatu  yang sempit. Perkembangan  sastera  pada  masa  kini dikaitkan  dengan  persaingan  sastera  dengan  bidang-bidang  lain  misalnya  seni,  muzik, sains  dan juga  bidang-bidang  lain.
Di  negara  kita, seperti  yang  kita saksikan, dunia  sastera  kian  tenggelam  dibawa  arus zaman. Masyarakat  seolah-olah memandang  rendah  terhadap  para  penggiat  sastera. Hal  ini  kerana,  masyarakat  pada  zaman ini  suka  menganggap  sastera tiada  masa  depan, sedangkan  pada  dasarnya  orang  sasteralah  yang  membangunkan  negara. Corak pimpinan negara  lebih  banyak dipengaruhi  oleh  orang-orang  sastera.  Di  Indonesia misalnya  begitu  mengagung-agungkan  Kesusasteraan Melayu. Sehinggakan  banyak hasil  sastera  mereka  dijadikan  filem  dan  dapat  menembusi  pasaran  tempatan  dan luar  negara.
            Sastera  di  tiga  buah negara  ini  masing-masing  bersaing  dengan perkembangan  teknologi  yang  kian  pesat  sehinggakan  masyarakat  pada masa  kini jarang  mencari  buku  dan   membacanya. Masyarakat  pada  masa  kini  lebih teruja  duduk  di  hadapan  komputer  untuk  bermain game,  membuka  laman  web  sosial  seperti  facebook, friendster, tagged  dan  sebagainya  daripada  menghabiskan  masa  membaca  buku-buku  dan hasil karya   sastera yang  lain.
Oleh itu  beranjak  ke  abad ke- 21  ini  kita  menyaksikan  bahawa  sastera  di  negara  kita  kian  tenggelam. Dalam aspek  kajian  saya  kali  ini,  saya  menyelidiki tentang perkembangan Kesusasteraan  Melayu di  Nusantara  iaitu  di  Malaysia, Indonesia   dan Singapura. Perkembangan  Kesusasteraan Melayu  di  tiga  buah negara  ini  pada  dasarnya  sudah  bermula  sejak  tahun 1920-an  lagi. Indonesia  misalnya  antara  tamadun  Melayu terawal  yang  mula memperkenalkan  Kesusasteraan Melayu  ini. Oleh  itu,  lahir  ramai  tokoh-tokoh   sastera  terkenal seperti  Hamzah  Fansuri, Shamsuddin Al  Sumatrani,  dan  ramai  lagi.  Perubahan  dari  lisan ke  tulisan ini   semata-mata  untuk menyangkut  bentuk  penyampaian.  Hakikatnya  sastera itu  sendiri   memang  tidak  mengalami   perubahan.  Yang  berubah  hanyalah  yang  tersurat ( Hassan  Alwi:2006:19)
            Sastera di  Malaysia  juga  tidak  kurang  hebatnya  jika dibandingkan  dengan   sastera  di  negara  lain.  Ditambah  lagi  dengan perkembangan  era teknologi   maklumat  pada  masa kini. Perubahan  yang  baru  dari  segi  bentuk  dan  isi  kini  lebih  menampakkan perubahan  yang  positif  berbanding  dengan  sastera  pada  masa  sebelum  ini. Para  penulis  Malaysia  kini  semakin  peka dalam  membuat  pembaharuan. Prasarana  yang  dibina  untuk  mengembangkan kesusasteraan  Melayu  kebangsaan juga  semakin  giat  dijalankan. Kini  Bahasa Melayu  telah  menjadi  Bahasa moden  di dunia. Namun  terdapat  juga  kelemahan yang masih  tidak  dapat  diubah  dalam  dunia  kesusasteraan di Malaysia  ini. Misalnya, sikap  segelintir  penulis  kita  yang  terlalu  mudah  berputus  asa. Begitu  juga  dengan  dunia  kritikan  di negara  kita  pada   masa  kini  yang  masih  terlalu  lemah  menyebabkan sastera  tidak  dapat  bersaing  di peringkat  global.  Ramai  pengkritik  yang   hangat-hangat  tahi ayam sahaja  dan  
            Sementara  bagi  sastera  Brunei  pula, turut  menampakkan  perkembangan .  Bermula  daripada  karya   Yura  Halim  iaitu  Pengiran Bendahara  Menjadi  Sultan, Brunei  terus  melebarkan   sayapnya  sehingga  menghantar  karya  mereka  ke Sarawak  untuk  diterbitkan oleh  Borneo  Literature  Bureau   yang  pada  masa  yang   sama  turut menerbitkan  karya  Muslim Burmat. Pada  masa  sekarang  Brunei  masih  giat  mengembangkan  karya  sastera  mereka  dan  juga  memperkembangkan  Bahasa  Melayu.( Abdul  Hakim  Mohd Yassin 2006:42)

Perkembangan  Sastera  di  Malaysia
            Perkembangan  sastera  di Malaysia  pada   abad ke -21  ini  adalah seiring  dengan  perkembangan  bidang-bidang  lain  di  Malaysia. Pembangunan  dan  pemodenan  Kesusasteraan  Melayu  menjadi  bertambah  jelas  pada  abad  ke-21  ini.  Perkembangan  dalam  bahasa  dan  persuratan  ini  telah  memesatkan  lagi  alam  persuratan  Melayu. Bentuk-bentuk  sastera  Barat  seperti  cerpen,  drama, sajak, esei  dan  kritikan  telah  diperkenalkan  di  Malaysia. Hal  ini  telah  menjadi  bentuk  ekspresi  sastera  di  Malaysia  pada  masa kini. Keadaan  ini  telah  mengukuhkan lagi  Bahasa  Melayu  sebagai  bahasa  Sastera.  Kemunculan  genre  novel  pada tahun  1920-an  seperti  Hikayat  Faridah  Hanum  oleh  Syed  Syeikh  Al-  Hadi,  Kawan Benar   oleh  Ahmad  Rasyid  Talu,  cerpen  kecelakaan  pemalas  oleh  Nor  Ibrahim (1920) serta  juga  genre  puisi  iaitu  Angan-angan  dengan  gurindam  oleh  Omar  Mustaffa  telah menandakan  wujudnya  kesusasteraan  nyata  dalam Kesusasteraan Melayu.
            Hasil  sastera  lama  yang  hanya  mewakili  zaman lampau  mulai ditinggalkan.  Masyarakat  yang  susah  terdedah  kepada  berita-berita  semasa melalui  akhbar  dan   majalah, tidak  berminat  lagi  dengan dunia  dan  alam  fantasi.  Namun   demikian perubahan  yang  berlaku   adalah  secara  tidak  mendadak  tetapi sedikit  demi   sedikit.  Pada  dekad  1950  pula  telah dibentuk  dan  ditubuhkan ASAS  50  yang  menemukan  hasil  karya  yang  lebih  meyakinkan. Karya  yang  dicipta  oleh golongan sasterawan  pada  era  ASAS 50  di  Singapura    dan  lebih  menyerlah  kekuatan  isi dan bentuknya. Genre  puisi dan cerpen  pula lebih menonjol pada  ketika  itu. Para  sasterawan  lebih didokong  oleh  slogan  Seni  Untuk Masyarakat  yang  memperjuangkan  perubahan  masyarakat  hasil   karya   sastera.  Golongan  yang  tertindas  dipaparkan  secara  nyata  dalam  cerpen  dan puisi.  Kesusasteraan  pada  masa itu  menjadi  sebahagian  daripada  wahana  yang  meniupkan  semangat dan  kesedaran  rakyat  dalam  menuntut  kemerdekaan.
            Dalam  dekad  1960-an  pula,  era  selepas  Malaysia  mencapai  kemerdekaan(1957)  telah   menggambarkan  pertumbuhan  pesat  kesusasteraan  Melayu  dalam  semua  genre. Pada  masa  itu  penulisan  dan  penerbitan  novel  amat  menyerlah,  di  samping  puisi  dan  cerpen  melalui  akhbar  dan  juga  majalah  serta  drama. Dalam  hal  ini,  para  penulis  telah  merekamkan semangat  negara  baru  yang  sedang  membangun.  Terdapat  juga  kritikan  terhadap  para  pemimpin , politik  dan  pentadbir  yang  tidak  menunaikan  janji   dan tanggungjawab  yang diamanahkan. Pada  masa  ini  usaha  mendaulatkan  Bahasa  Melayu  kian  giat  dijalankan   dan  dipergiatkan  secara besar-besaran  oleh  kerajaan  melalui  Dewan  Bahasa  dan Pustaka.  Tumpuan  kepada  usaha  mengembangkan  kesusasteraan  Melayu  belum  dilakukan  secara  bersungguh-sungguh .
            Sementara  itu,  pada  dekad  1970-an  pula, telah  bermula era  baru  dalam  sastera  Melayu  yang  menekankan  kepada  usaha  mewujudkan  perpaduan  dalam  kalangan  masyarakat  berbilang  kaum  dan suku  bangsa. Pada  masa ini  Dasar  Ekonomi  Baru(DEB)  telah  mula  diperkenalkan  dan  bertujuan  untuk  membasmi  kemiskinan  dalam  bidang  ekonomi  yang dilancarkan, pelbagai  dasar  baru  telah  digubal  dan  dasar-dasar  utama  telah  ditegaskan kembali.  Dekad  1970-an  adalah  merupakan  dekad  yang  sangat  penting  kepada  perletakan  asas  pembinaan kesusasteraan  kebangsaan  di Malaysia.
 Pemilihan  kesusasteraan berbahasa  Melayu  sebagai  kesusasteraan  berbahasa  Melayu  sebagai  kesusasteraan  dan  bahasa Melayu pula  sebagai  bahasa  kebangsaan. Oleh  itu, Kongres  Kebudayaan  Kebangsaan  Malaysia  hendaklah  ditakrifkan  sebagai  hasil-hasil  karya  yang ditulis  dalam  bahasa  Melayu  dan  isi  kandungannya   haruslah  berlatar  belakangkan  kehidupan  masyarakat  di  Malaysia. Rumusan  kongres  ini  memberikan gambaran yang  jelas  tentang  perkembangan  kesusasteraan Melayu  sebagai  kesusasteraan  kebangsaan.
            Pada  dekad  ini, DBP telah  mewujudkan  Bahagian  Pembinaan  dan  Pengembangan Sastera  dan  organisasi  pengarang   pula  bersatu di  bawah  Gabungan  Penulis   Nasional(GAPENA)  sehingga  kegiatan-kegiatan  sastera  semakin  berkembang. Pelbagai  peraduan,  seminar,  bengkel, diskusi , forum,persidangan  dan  penerbitan  kian  rancak  dijalankan. Dalam  tempoh tiga  dekad  ini  ternyata  hasil  kesusasteraan  kebangsaan  berkembang  bukan  sahaja  dalam  kalangan  penulis  bahkan bahasa  Melayu  juga  turut berkembang  dan  banyak  karya-karya  bermutu  yang  dihasilkan. (A.  Aziz  Deraman.2006:13)
Pada   abad  ke  21 ini  dunia  sastera  di  Malaysia  kian  berubah  wajah  ekoran  daripada  kemunculan  teknologi    maklumat. Penulis  pada   abad  ke-21 ini   adalah  antara  penulis  yang  mahir  menggunakan  teknologi  maklumat.  Oleh  itu, tidak  hairanlah  sastera  berkembang  mengikut  peredaran  masa.  Ramai  dalam  kalangan  penulis  yang  mengembangkan  hasil   karya  mereka  sama  ada   melalui  laman  web  sendiri  mahupun  melalui  blog  dan  juga  lain-lain.  Pengarang-pengarang  juga  sudah  tampil  menghasilkan  karya  secara  online   misalnya  e-novel, e-sajak, cerpen  online  dan  sebagainya  kini  boleh  didapati  di  laman  web  berkaitan. Hal  ini  menjadikan  sastera  bukan  hanya  dikenali  di  Malaysia  sahaja. Bahkan  di  seluruh  negara  di  dunia  ini  dengan  jaringan  yang  tanpa  sempadan.
            Penterjemahan  karya  sastera  dalam  pelbagai  bahasa  juga kian  dijalankan. Di samping  itu turut  dijalankan juga  penyelidikan  tentang  sastera   di  seluruh  dunia. Penulis  pada  abad  ke-21  ini tidak   lagi  hanya  berimaginasi  sendiri  dalam menghasilkan  karya  mereka. Mereka  sudah tahu  mengenalpasti  karya  yang  menjadi kesukaan  masyarakat  pada  era baru  ini.  Oleh  itu,  ramai  dalam  kalangan  penulis  di  Malaysia  membuat  penyelidikan  sehinggakan  sanggup  merantau  ke negara-negara  lain  untuk  mendapatkan  maklumat. Antaranya  ialah  Faisal  Tehrani, A. Samad  Said, Muhammad  Hj  Salleh  dan  ramai lagi  yang  sudah  sebati dengan  karya-karya  yang  digaulkan  dengan  pengalaman  mereka  semasa merantau  ke  negara  orang.
            Namun  begitu, tidak dinafikan  juga  ada beberapa  kelemahan   dalam  kalangan  penulis  di  Malaysia   apabila  penulis- penulis  di  Malaysia  kurang  bergiat  aktif  dalam   seminar,  bengkel  dan juga  aktiviti-aktiviti  dalam  komuniti  sastera  itu  sendiri.  Bahkan  kelemahan  penulis  pada  era  baru  ini  ialah  apabila  mereka  menghasilkan  karya  yang  kurang  bermutu  menerusi  laman web  masing-masing  sehinggakan telah  mencemarkan  bahasa  Melayu  dan  menyebabkan  masyarakat  berpandangan  negatif  terhadap  hasil karya   sastera. Suara-suara  yang  menganggap  sastera  telah  terpinggir  pada  zaman  global  haruslah  dipinggirkan  penulis  muda  khasnya  haruslah bekerjasama  dalam  memperkembangkan  sastera.

 Perkembangan  Sastera  di  Brunei
Brunei  antara  negara  Melayu  di  Nusantara  yang aktif  dalam  menghasilkan  karya  sastera  yang  bermutu. Dewan  Bahasa  dan  Pustaka  di  Brunei  antara  yang  menonjol  dalam  menerbitkan  karya-karya  daripada  penulis-penulis  di  Brunei.  Perkembangan  sastera  di  Brunei  dalam  beberapa  genre  seperti  novel, cerpen, sajak  dan  sebagainya  ini  dimulakan  oleh  penulis-penulis  Brunei  pada  awal tahun 1920-an. ( Abdul  Hakim Hj Mohd  Yasin.2006:42)
Misalnya  perkembangan novel, yang  melahirkan  penulis  novel  yang  terkenal  seperti   Muslim Burmat  yang  sering  dibicarakan  sebagai  penulis  terbaik  di  negara Brunei. Antara  novel- novel  yang  menaikkan nama beliau  ialah Lari  Bersama Musim,  Puncak  Pertama, Dari Sini  Kita  Bermula  dan banyak  lagi. Selain  Muslim  Burmat\,  mereka  yang  aktif  menghasilkan karya  berbentuk baru ( avant-garde) .  Tidak   ketinggalan  juga  Md. Salleh  Abd  Latiff  dengan  antara  lainnya. Elemen yang  seterusnya  menjadi kebanggaan  negara  Brunei ialah  puisi  sama  ada  puisi  tradisional  mahupun puisi moden. Puisi  lama  misalnya  syair yang  menjadi media  yang  berkesan kepada  penyair  Diraja Muda  Omar  Ali Saifuddien. Baginda  telah  menghasilkan  tidak  kurang  daripada  7  buah syair  dan  yang  lebih  terkenal  ialah Syair  Perlembagaan Negeri  Brunei . Sementara itu, antara penulis  sajak  Brunei yang  terkenal ialah  Yahya M.S, Adi  Rumi Badaruddin  atau Yura Halim.  Ramai  dalam  kalangan  penulis-penulis Brunei yang  menerima  hadiah  dan pengikhtirafan berikutan  hasil karya  yang  dihasilkan oleh  mereka. Antara  pengikhtirafan  dan anugerah   yang diterima  ialah  S.E.A  Write  Award  dan anugerah  yang  diberikan  oleh  negara Thailand.
Sementara  dalam  drama pula, Brunei  banyak  menghasilkan  drama  berbanding  dengan sajak  dan cerpen. Antara  penulis  drama Brunei  yang prolifik  ialah  A. Rahman Yusof. Kumpula  Kiambang  Bertaut  beliau  telah  dipilih  menerima  anugerah  S. E. A  Write  Award Selain  itu  juga, Dewan   Bahasa  dan Pustaka  telah  menerbitkan  antologi  drama  bersama hasil 3 orang pemenang  penghormatan  dan 4  orang  penerima  saguhati  dalam  Peraduan Menulis   Drama Pentas  sempena  kemerdekaan negara Brunei. 
Sementara  bagi  esei  dan  kritikan pula, Dewan  Bahasa  dan Pustaka  menyediakan majalah, jurnal  dan  buku untuk  memuatkan  esei/kritikan. Setakat ini baru  dua  buah  buku kritikan  sastera  berhasil  diterbitkan  iaitu  Sekitar  Kritikan  Sastera Melayu  Brunei. Buku  ini  merupakan antologi  yang dipetik daripada  majalah  Bahana.  Buku kedua  pula  telah  diterbitkan pada  tahun 2000. 
Di  samping  itu  juga, penulis-penulis  Brunei  bertuah  kerana  banyak  sokongan  daripada  pertubuhan  dan juga  jabatan  tertentu  di  Brunei. Ditambah  pula  dengan kemajuan teknologi  maklumat yang  menggalakkan perkembangan  laman web  dan  perisian  bahasa Melayu  yang  sangat  menggalakkan. Namun  demikian di Brunei, peranan  material  atau  bahan  bahasa  dan  sastera  yang  berbentuk  buku, majalah, suratkhabar  dan seumpamanya  yang  masih  berfungsi    dan  mempunyai  tempat  dalam  kalangan  masyarakat.  Oleh  itu, perkembangan  teknologi  maklumat  digunakan  secara  baik  dan bermanfaat  di Brunei  hanya  ianya   belum digunakan   lebih  meluas. Langkah   untuk  mempromosikan hasil  karya  melalui  internet  juga  kian giat dijalankan  di Brunei.( Hashim  Abdul  Hamid .2006:32)


Perkembangan  Sastera  di  Singapura
Perkembangan  sastera  adalah  melibatkan  beberapa  faktor  iaitu  sama  ada  faktor  sekunder mahupun   faktor  dasar. Di  Singapura  misalnya  perkembangan dunia  penulisan  adalah sama  dengan  negara-negara Melayu di Nusantara  yang  lain. Kemunculan  sasterawan  Singapura  selepas  penubuhan ASAS  50  pada tahun 1950 , adalah  menjadi  tunjang kepada para penulis –penulis muda  Singapura .Kemudian  pada  tahun 1970-an  pula,  ramai penulis   yang  menceburkan diri  secara  serius  dalam duia  sastera  contohnya,  Suratman  Markasan, . A. Ghani  Hamid  dan  lain-lain.
            Dalam  tahun 1980-an pula,  hadir  sasterawan  muda  yang  menggelar  kumpulannya  dengan  nama KUPUJA( Kumpulan Puisi Remaja)  dan  lahirlah  penulis  muda  yang  berbakat  seperti Roslan  A. Razak  dan  Nur  Effendi  Badrun.  Kemudian  KAMUS( Kumpulan  Angkatan Muda  Sasterawan  telah  mengemukakan  sasterawannya   seperti  Mustafa  Mohamad,  A.  Khalid  Mohd Lani  dan  15  orang   sasterawan  yang  lain.   Sementara  pada tahun 1990-an  pula 154  orang  yang terdiri  daripada  sasterawan  pelbagai  zaman  iaitu  dari  penulis pada ASAS 50  sehinggalah  kepada  penulis-penulis  mutakhir.
            Kajian  menunjukkan  bahawa  Singapura  menjadi  pusat  kegiatan  seni, sastera  dan penerbitan, terutamanya  selepas  Perang Dunia  Kedua.  Di  Singapuralah  P. Ramlee  memartabatkan  filem  dan lagu  Melayu  untuk  khazanah bangsa  dan  di  pulau tersebut  juga lahirnya  beberapa  badan penerbitan, akhbar  serta  sebuah   persatuan  sastera  ketika  itu. Namun  keadaan  tersebut  telah  berubah  sejak  Malaya  mencapai  kemerdekaan pada tahun  1957, dan  semakin berubah  setelah Singapura  menjadi  negara  berdaulat   dan  merdeka  pada  tahun  1995.( Rasiah  Halil,125:2006).  Namun  demikian  seperti yang  diketahui   pada  tahun 1965, di  mana pada  masa  itu  wujud  ramai  penulis-penulis  terkemuka  seperti  Harun  Aminurrashid  yang  merupakan  novelis  dan  penyajak  yang  sangat  terkenal  pada  masa itu.  Semasa  dan  selepas  perang dunia  kedua  pula, Mahsuri N.S , Salam, A. Ghani Hamid  dan  ramai  lagi  masih  lagi  aktif  menghasilkan  puisi  pada  masa  itu. 


Keadaaan  ini  kemudian berubah   pada  tahun 1970  khususnya bidang  puisi  di  Singapura. Sastera  Melayu  di Singapura  terus  hidup sehinggga  kini  walaupun  sesekali  tenggelam  namun penyair  dan  penulis  di  Singapura  akan  tetap  ada  dari  semasa  ke  semasa. Salah  satu  sebab  kerancakan  sastera   pada  tahun  1970  ialah  disebabkan  wujudnya  akhbar  Berita  Harian  yang   selalu  menjadi  wadah  penyampaian  karya  sastera  di  Singapura. Melalui  akhbar  dan  risalah  pada  masa  itu, kepelbagaian  sastera  dan  pandangan  mengenainya  semakin  digilap. 
            Pada  tahun 1980-an  pula  terdapat  beberapa  kumpulan  sastera  yang  masih  bergiat   lagi  tetapi  kerancakan  sastera   Melayu  Singapura  masih  tidak  sehebat  pada  tahun 1970-an. Pada  tahun  1990-an  pula  muncul  sebuah sebuah  lagi  kumpulan  bergelar “ Nadwah”. Ia  juga  dianggotai  oleh  Suraidi  Parjo, Djamal  Tukimin, Mohd  Naim  Daipi, Isa  Kamari  dan ramai  lagi. Tahun  1990-an juga  menyaksikan  kemunculan  sebuah  kumpulan peminat  dan penggiat  sastera  remaja. Setelah  wujudnya  ruangan  coretan  remaja  ini  yang terdiri  daripada  Syafiq  Selamat , Normala Md  Yusope, dan  lain-lain telah  menganjurkan  kegiatan  sastera  dan  perbahasan  untuk  golongan  remaja  Singapura.
            Pada   abad  ke-21, di Singapura  kian berkembang   dalam  bidang   sastera  namun  tidak  dapat  dinafikan  ada  juga  masalah  yang  tidak  dapat  dielakkan  antaranya  ialah  kurangnya  penampungan  bagi  hasil  karya-karya  penulis  Singapura, kecuali  ruangan  sastera  Berita Minggu  Singapura  dalam  ruangan remajanya.  Di  samping  itu, penerbitan dalam  bentuk  buku  juga  kurang  diselarikan.  Selain itu  juga,  kecanggihan  teknologi  maklumat  juga  banyak  mengubah  dunia  sastera  Melayu.  Hal  ini  membawa   kepada  satu  jalinan  hubungan  yang  lebih  erat  dan  mantap  antara  penulis-penulis  nusantara.  Oleh  itu, dalam  alaf baru  yang  serba  mencabar ini, penulis  Singapura    tidak pernah  mundur  dan meneruskan langkah  mereka  walaupun  banyak  cabaran  yang  perlu  dihadapi  oleh mereka.
           

           

Perkembangan  Sastera  di  Indonesia
Dunia  kesusasteraan  di Indonesia  mula  berkembang  sejak  1920-an  lagi berikutan  lahirnya ramai  ulama-ulama  Islam  pada  ketika  itu  yang  memperjuangkan  agama  Islam menerusi  hasil  karya  mereka. Antaranya  ialah  Abdul Rauf  Singkel, Shamsuddin Al- Sumatrani, Hamzah  Fansuri  yang  terkenal  dengan syair perahu, dan ramai  lagi. Selepas itu Indonesia terus  memperjuangkan  hasil  kesusasteraan  di negara mereka. Pada tahun  1930-an  dunia  kesusasteraan  di  Indonesia  sedikit  tenggelam  berikutan  ramai  penulis  yang  tidak  menulis  lagi.  
Pada  era 1940-an  pula,  kesusasteraan di  Indonesia  kembali  menyerlah.  Selama  waktu  itu, banyak  majalah  yang  dihasilkan  dan  memuatkan  banyak genre  sastera  seperti, puisi, cerpen, dan  sebagainya. Namun  demikian pad a era  1960-an,  kegemilangan  sastera  di  Indonesia  telah jatuh berikutan  mula  dibangunkan  TVR1, iaitu  stesen televisyen  milik  pemerintah Indonesia. Hal ini  menyebabkan masyarakat teruja  dengan  siaran  televisyen  tersebut  lalu  sastera  dilupakan.  Sementara  itu,  pada  tahun 1970-an  pula, terdapat banyak  stesen  radio  swasta  yang  ditubuhkan   dan dari itu  bermulanya  perubahan  yang  besar  melanda  dunia  kesusasteraan  di Indonesia. Kebiasaan  membaca  yang  terbina  sebelumnya  telah  diganti  dengan keseronokan menonton televisyen  dan  mendengar  radio.( Hasan Alwi.26:2006)
Namun  demikian, penerimaan  karya  sastera  menunjukkan  perkembangan pada tahun 1980-an.  Kemajuan dalam  teknologi  dan  informasi  telah  menjadi  wadah  penyampaian  bahan-bahan  sastera  di  Indonesia. Pada  masa  itu  banyak  drama-drama  hasil  karya  penulis-penulis  Indonesia  disiarkan  di  dalam radio-radio  swasta  dan  tempatan sehingga  menambahkan  lagi  minat  membaca hasil karya   sastera   di Indonesia.  Kemudian  pada   Alaf  21  ini, di  Indonesia kini semakin  gemilang  dari  segi karya  sastera. Banyak  novel-novel di Indonesia  yang  diadaptasikan menjadi  filem  terutamanya  novel  kemanusiaan  dan keagamaan. Contohnya  ialah  novel  Laskar Pelangi,  Ayat-Ayat  Cinta  dan banyak  lagi  yang  menjadi filem  terkenal  bukan  sahaja  di Indonesia, tetapi  berjaya  menembusi pasaran luar  negara.

Pelbagai  langkah  murni  telah  dipergiatkan di Indonesia untuk  meningkatkan  kecemerlangan  dan kegemilangan sastera  di  Indonesia. Antaranya  ialah, bengkel sastera  yang  diikuti  oleh  pelajar  sekolah  menengah, pertemuan  sasterawan  yang secara  tidak  langsung  menemukan pelajar  dan guru dengan  sasterawan  di negara  itu. Keadaan  ini  memberikan kesempatan  kepada guru dan murid  untuk  berbicara  secara  bersemuka  sendiri  dengan para sasterawan tersebut. 
Dalam pada itu  juga, majalah  “ Kakilangit”  yang  merupakan  majalah  sastera  yang memberikan  manfaat  kepada  para pelajar   dan ianya  diterbitkan setiap  bulan untuk memberikan  pemahaman  pelajar terhadap  dunia  kesusasteraan Melayu.  Dijalankan juga Sayembara  Mengarang  cerita  pendek  atau  esei  sastera  di Indonesia  yang  menawarkan banyak  hadiah menarik  telah  mampu  memupuk  minat  para  siswa SMU  di  Indonesia. Di  Indonesia  juga  diadakan bulan  sastera  pada  setiap  tahun  selama  sebulan  di bulan Oktober. Pelbagai  kegiatan  yang  menjurus  ke  arah  sastera  telah  dibuat  pada bulan  ini.

Kesimpulan
Perkembangan  kesusasteraan  di  Nusantara  dilihat  masih  lagi  relevan dan  memberansangkan meskipun  tidak dapat kita  nafikan  bahawa  ia  juga  semakin  kurang diminati   masyarakat  berikutan  banyak  hiburan daripada  sumber  teknologi  dan multimedia  pada  masa kini  yang banyak  memesongkan pemikiran  masyarakat  sehingga  mengabaikan  bahan-bahan karya sastera.  Namun  demikian,  dalam  merintis  era  globalisasi  ini  juga, para penulis  sudah  pandai  menggunakan kemudahan teknologi  maklumat  ini  untuk  berkarya  misalnya  menghasilkan e-novel,  e-sajak,  kritikan  sastera dan pelbagai  jenis  genre  sastera  di  alam  maya. Hal  ini  sedikit  sebanyak  telah  memperkembangkan  sastera  bukan  sahaja  di  dalam  dunia  nusantara  bahkan  di  seluruh  dunia. Namun  begitu, sebagai  penggiat  sastera,para  penulis  perlu  bekerjasama  dengan  para pengkritik  untuk  memperkembangkan  dunia  kesusasteraan  ini. Kedua-dua  pihak  perlu  menggembleng  tenaga  untuk  menambat  hati  masyarakat  supaya  sastera  ini  tidak  dilupakan.


1 comments:

Unknown said...

sumber rujukan? abdul hakim haji mohd yasin?

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates