Klik Jangan Tak klik!

Followers

Thursday, November 18, 2010

Novel Popular

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dalam usahanya memajukan sastera Melayu moden, menganjurkan satu seminar khusus pada 14-15 Disember ini untuk membincangkan apa yang dinamakan “novel popular” oleh penulis muda yang berjaya menarik selera pembaca muda.
Karya-karya jenis ini boleh dijual beratus ribu dan penulisnya boleh menjadi kaya-raya.
Ini bertentangan dengan karya sastera serius yang diterbitkan oleh DBP sendiri yang “tidak laku” dijual dan tidak diminati, kecuali jika dipilih untuk dijadikan buku teks. Itu pun tidak dapat mengatasi jualan “novel popular” yang dalam masa yang singkat saja boleh mencapai ratusan ribu. Apakah yang membuat karya-karya begitu sangat laku di pasaran?
Inilah antara perkara yang akan dibincangkan dengan amat serius oleh sekumpulan sarjana penting dan berwibawa dari beberapa buah universiti di Malaysia. Perbincangan ini penting kerana kumpulan penulis karya popular ini telah berjaya menarik minat pembaca untuk membaca novel yang ditulis dalam bahasa Melayu, dengan itu mereka secara sedar, tanpa bantuan DBP, telah memajukan bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa sastera yang memikat.
Oleh itu adalah wajar jika DBP tidak melepaskan peluang ini untuk turut serta dalam ledakan sastera popular yang dipelopori oleh anak-anak muda yang berpendidikan tinggi dan berbakat besar pula. Satu masa nanti, sastera Melayu moden akan melahirkan tokoh-tokoh besar dan popular yang diharapkan akan membawa sastera Melayu ke peringkat global dalam bahasa Melayu yang indah dan menepati piawaian bahasa bermutu yang ditetapkan oleh DBP sendiri. Teruskan jika inilah caranya untuk mencerdikkan bangsa kita.
Inilah perkembangan terbaru dalam kegiatan DBP di bawah pimpinan baru yang dinamik, yang melihat sastera Melayu tidak lagi dalam konteks lama yang mementingkan mutu, tetapi berusaha melonjakkan minat membaca kalangan anak muda dengan menyokong kegiatan sastera popular yang kini dikatakan menjadi satu fenomena baru yang mengasyikkan, terutama dari segi dagang dan banyaknya wang yang akan masuk poket sasterawan jenis popular ini.
Kegiatan popular begini lebih mudah ditangani daripada misalnya menyelenggarakan edisi lengkap pengarang besar kita seperti Za'ba (sudah wajar projek edisi lengkap semua karyanya dimulai sejak 1956 lagi!), Abdul Rahim Kajai, Ahmad Muhammad Rashid Talu, Ahmad Bakhtiar, Harun Muhammad Amin, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam, dan lain-lain. Kita mempunyai ramai sarjana yang boleh mengerjakannya.
Tentu saja mereka lebih berminat, untuk meninggikan martabat kesarjanaan mereka, untuk mengerjakan projek ini jika diminta dan diberi peluang. Apatah lagi jika diiringi dengan bayaran yang baik dan sesuai dengan zaman inflasi sekarang. Walaupun terdapat ramai juga di kalangan sarjana ini yang tidak menggemari perubahan, terutama jika perubahan itu hasil pemikiran tempatan, namun kegigihan mereka memperkatakan tentang sesuatu yang remeh seperti novel popular ini secara akademik memperlihatkan sikap toleran dan positif mereka terhadap “ilmu” yang diwarisi dari budaya Barat yang menjadi panduan mereka.
Ilmu
Apabila sikap ini disokong oleh DBP sendiri dengan menganjurkan seminar tentang novel popular ini, maka kita akan dapat menjangkakan perubahan paradigma yang disebut-sebut selama ini akan berlaku di kalangan para sarjana dan pengkritik sastera untuk “mempopularkan” ilmu supaya akhirnya masyarakat akan membaca buku “ilmu” seperti mereka membaca novel-novel popular.
Dari segi lain pula, para sasterawan popular yang berjaya mengheret para remaja membaca buku-buku mereka, tidak saja akan memajukan lagi bahasa Melayu yang seolah-olah sudah “mati” dan “lesu” di tangan para sasterawan tulen yang cukup nakal dan gigih “merosakkan” bahasa Melayu dalam karya-karya mereka (contoh paling menonjol novel Shit dan TIVI), malah kegiatan mereka itu memberi contoh yang baik kepada para sarjana dan pengkritik sastera sendiri untuk memudahkan bahasa dan tulisan mereka supaya lebih senang difahami oleh para mahasiswa dan masyarakat umum.
Tetapi sumbangan paling besar para sasterawan novel popular ini ialah dalam merendahkan nilai estetik ke taraf masyarakat yang paling tumpul akalnya, untuk dapat menikmati hiburan yang masih mentah, yang nantinya (dengan bantuan para sarjana) akan menajamkan pemerhatian mereka kepada soal-soal remeh yang sebenarnya penting dalam kehidupan moden yang hedonistik ini.
Kesediaan DBP untuk merancakkan lagi budaya moden yang hedonistik ini di kalangan para sarjana dan pembaca Melayu, terutama di kalangan remaja, mencerminkan perubahan nilai yang sedang berlaku di kalangan cerdik pandai Melayu. Jika perubahan ini ditangani dengan baik dan bijaksana, kita mungkin dapat mengelakkan terjadinya krisis nilai dalam masyarakat, yang akan berakhir dengan kehilangan adab di kalangan intelektual dan sarjana kita.
Seperti yang dijelaskan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-bukunya, setiap pembicaraan tentang adab dan kehilangan adab akan sia-sia dan keliru jika tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Peringatan ini cukup penting untuk menjadi panduan kita dalam pembicaraan ilmiah tentang apa juga masalah.
Adakah ledakan novel popular ini mencerminkan perkembangan positif dalam konsep ilmu yang benar, atau sebaliknya? Pertanyaan ini barangkali tidak diperlukan, tetapi penting untuk mengawal hawa nafsu para sarjana dalam kerja-kerja akademik mereka, untuk memastikan apa yang disogokkan kepada kita tidak menghayutkan.
Siapakah mereka, yang menulis novel popular yang mengasyikkan ini? Siapa pembaca mereka? Apa yang ingin mereka capai? Berbanding dengan penulis 40-50 tahun dahulu yang terdiri daripada guru-guru Melayu, wartawan, budak-budak Melayu yang tidak bekerja, yang umumnya tidak tinggi pelajarannya, penulis-penulis popular ini berpendidikan tinggi dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam seni mengarang serta faham benar dengan selok-belok ekonomi.
Dari segi ekonomi, para penerbit yang cekap mengambil peluang kelaparan anak Melayu mendapat pembacaan ringan yang tidak menyusahkan, dengan gigih dan penuh prihatin menguasai teknik penerbitan dengan menyediakan kulit buku yang canggih dan kualiti kertas yang enak dipegang. Seorang ahli psikologi telah memberitahu bahawa buku jenis ini kini menjadi sejenis “fetish” (dalam psikologi Freud sebuah objek seksual yang disayangi) kepada pembaca muda Melayu, yang mengkhayalkan mereka melihat kulitnya yang cantik dan canggih itu untuk membeli buku itu.
“Fetishism” baru ini menjadi suatu perkembangan baru yang sekali imbas mungkin mengejutkan, tetapi sebenarnya bercerita lantang tentang kekosongan jiwa budak-budak muda yang tidak saja memuja Mawi, tetapi menjadikan buku-buku itu dan para penulisnya semacam “sastera Mawi-mawian” yang menyenangkan.
Jika pandangan ahli psikologi itu betul, maka pilihan berani DBP untuk ikut serta dalam mengisi kekosongan jiwa anak-anak muda itu sudah wajar dan jiwa mereka mungkin dapat diisi dengan karya sastera popular yang bermutu nanti, dengan jaminan penjualannya tidak terjejas.
Sebenarnya soalan yang dikemukakan di atas akan dijawab dengan konkrit, berdasarkan penyelidikan teliti, dalam kertas-kertas kerja yang disediakan oleh para sarjana yang prihatin tentang kemajuan sastera moden. Mungkin bagus juga jika karya-karya popular ini dijadikan bacaan dan kajian di universiti, seperti yang telah dilakukan oleh para sarjana Amerika Syarikat yang menjadikan Madonna dan Elvis Presley sebagai bahan penting dalam kajian budaya popular.

Menarik minat
Berasaskan pengalaman Amerika ini, karya popular Malaysia harus diutamakan daripada karya serius dalam kajian teks untuk menarik minat mahasiswa membaca, di samping mempermudah kerja pensyarah sastera. Dalam dunia global sekarang, semua perkara boleh terjadi. Kini tidak saja tidak ada sempadan dari segi fizikal, tetapi sempadan dari segi nilai dan sikap juga tidak lagi diperlukan. Semuanya boleh diterima dan perlu diterima untuk memastikan kemajuan berfikir manusia moden tidak tersekat.
Perkara yang menimbulkan masalah ialah dari segi panggilan. Apa maksudnya “novel popular” atau “karya popular”? Adakah karya popular itu karya bermutu? Dalam keadaan pengetahuan kita yang agak kabur waktu ini, nama “karya popular” itu membawa maksud nilai sasteranya dan nilai moralnya diragukan.
Tetapi ini tidak bermakna karya popular tidak bermutu, malah terdapat sarjana yang mengatakan ada juga karya popular yang jauh lebih bermutu daripada karya Sasterawan Negara sendiri (sayangnya judul dan penulis karya itu tidak disebut, demikian juga nama Sasterawan Negara itu). Jika andaian ini benar, wajarlah DBP, dengan bantuan ahli akademik yang gemarkan karya popular, bersama-sama mengasuh penulis popular ini untuk dijadikan Sasterawan Negara satu hari nanti.
Sesuai
Untuk memudahkan kita memahami karya istimewa ini, baik juga kita kemukakan beberapa nama yang mungkin lebih sesuai dan tidak mengelirukan untuk digunakan jika dipersetujui oleh sarjana dan para ahli dalam karya popular ini. Antara nama yang boleh dipertimbangkan ialah “novel/karya hiburan” atau “karya hiburan ringan”, “karya hiburan murahan”, “karya murahan”, “karya mentah” (dalam erti temanya tidak diolah dengan mendalam, tidak masak seperti dalam karya Sasterawan Negara); “novel/karya omongan” atau “karya ocehan” (kerana terdapat banyak sekali omongan dan ocehan di dalam novel-novel popular ini).
Lebih menarik ialah pendapat yang diutarakan para sarjana sastera bahawa kemunculan novel/karya popular ini adalah satu fenomena baru yang perlu dialu-alukan, yang memberikan sejenis “realiti panas” (stark atau naked reality) yang kini dialami oleh anak-anak muda yang menggemari karya demikian.
Oleh itu adalah lebih tepat jika karya jenis ini diberi nama “novel/karya realisme khayal”, sesuai dengan sifat utamanya yang menyerlahkan realisme baru di kalangan anak muda yang gemarkan hiburan murahan. Jika nama ini dipilih, maka kita akan menambah satu nama baru dalam senarai realisme yang sudah ada kini: Realisme sosialis, realisme magis, realisme bobrok (seperti karya Shahnon dan Samad Said), realisme kerohanian (seperti karya Arena Wati), realisme intelektual semu (seperti karya Muhammad Hj. Salleh) dan lain-lain jenis realisme yang menggambarkan realiti hawa nafsu sasterawan.

Tidakkah ini akan mengayakan lagi sastera moden kita? Sekurang-kurangnya kita telah menyediakan para penulis karya popular ini untuk dipilih menjadi Sasterawan Negara kemudian hari, sesuatu yang tidak mustahil seperti yang telah terjadi kepada Abdullah Hussein penulis karya picisan seperti Kuala Lumpur Kita Punya. Dalam konteks yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka ternyata berpandangan jauh dalam wawasan sastera dan intelektual.

Wednesday, November 17, 2010

1.0  Pengenalan

Arus persejagatan dan era globalisasi telah merubah  aspek kehidupan kita secara langsung dan tidak langsung  tanpa kita sedari.  Biasanya dalam  keadaan apabila   satu-satu masyarakat  sedang mengalami proses perubahan  dan peralihan dari satu sistem lama kepada sistem yang baru. Ini akan memberikan kesan  dan pengaruh kepada nilai, norma hidup masyarakat, persepsi dan pandangan masyarakat.

Pertembungan nilai dan pemikiran masyarakat ini akan membawa  kepada tekanan politik, ekonomi, sosial dan budaya sama ada proses  itu terlaksanakan  secara mengejut  dan perlahan. Oleh itu, dalam hal ini aspek modal insan sebagaimana yang digagaskan oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu  Tun Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Bedawi ini adalah amat penting dalam memastikan rakyat tidak harus leka dengan arus pembangunan semata-mata tetapi bersama-sama menanamkan nilai-nilai murni dalam diri mereka, supaya negara tidak kelihatan pincang.
                                   
Dalam proses membangunkan modal insan dalam diri manusia adalah bukan sesuatu yang mudah, kerana ia bergantung kepada seseorang manusia tersebut. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai sifat-sifat positif dalam dirinya , maka susah untuk dia membangunkan diri menjadi seseorang yang berguna kepada bangsa, agama dan juga negara. Hal ini kerana pembangunan manusia pada dasarnya lebih cenderung untuk membangunkan ciri-ciri dan sifat di luar diri seseorang manusia itu, termasuklah yang berkaitan dengan  kebajikan,perkembangan bakat dan potensi, ganjaran dan pengiktirafan dan kawalan yang berkaitan dengannya.  Pembangunan sikap seorang   manusia  adalah merangkumi perangai, motivasi, kemampuan mental, fizikal dan sebagainya.(Azhar  Wahid et al,2009:4).




Dalam konteks ini juga, pembangunan manusia  adalah  berkait rapat dengan  tuntutan untuk memahami realiti  dan juga hakikat insan yang sebenarnya. Modal insan juga adalah berkait rapat dengan amalan yang baik dan dituntut dalam agama. Oleh itu manusia mestilah menyedari dan menginsafi bahawa walaupun kita merupakan  sebaik-baik kejadian tetapi asal usul kita tetaplah juga dari Allah  dengan meniupkan roh ciptaannya.

Di samping itu juga, pembangunan modal insan juga penting dalam organisasi dan pelbagai urusan, sama ada melibatkan urusan sosial, ekonomi dan juga politik. Hal ini dibuktikan menerusi pendapat  Dr. Shailes Thaker iaitu seorang pakar motivasi dari India. Menurut beliau,“The term human capital is recognition that people in organisations and businesses are an important and essential asset who contribute to development and growth, in a similar way as physical assets such as machines and money. The collective attitudes, skills and abilities of people contribute to organisational performance and productivity. Any expenditure in training, development, health and support is an investment, not just an expense.”















2.0 Unsur Modal Insan dalam Novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abdul Rasyid.

Dalam mengupas nilai modal insan  pada genre kesusasteraan Melayu, saya memilih sebuah novel  Jeriji Kasih  karya  Ramlah Abd. Rasyid yang memaparkan sebuah kehidupan seorang  remaja yang cacat bernama Anuariza. Anuariza merupakan seorang remaja yang dipelihara oleh keluarga angkatnya sejak dia berusia empat tahun. Dia sangat terhutang budi kepada ibu angkatnya yang bernama Solehah yang  memberikan didikan kepadanya sehingga dia berjaya mencapai  cita-citanya dan memasuki Institut Pendidikan Tinggi(IPT).

Anuariza telah diamanahkan oleh ibunya  menjadi seorang  guru tuisyen kepada anak-anak Syed Mustafa yang merupakan orang yang banyak berkhidmat dan membantu mereka sekeluarga. Walaupun tugasnya sebagai seorang guru tuisyen yang membantu mengajar anak-anak Syed Mustafa, tetapi cabaran dalam mendidik anak-anak orang berada itu amat  besar sekali. Hal ini kerana, anak-anak Syed Mustafa bukan semuanya suka  dia mendidik mereka, terutamanya  anak Syed Mustafa yang bernama Syed Fariz. Syed Fariz merupakan anak kepada Syed Mustafa yang berumur 15 tahun dan  telah menghadapi pelbagai masalah dalam pembelajarannya. Syed Fariz malas pergi ke sekolah dan  membuat kerja rumah. Tambahan pula, di sekolah dia selalu melanggar peraturan sekolah  dan bergaul dengan budak-budak nakal di sekolahnya. Sampaikan Syed Fariz ditahan di  lokap kerana telah disyaki mengambil ubat batuk berlebihan. Keadaan ini telah menimbulkan kemarahan kepada ayah Syed Fariz iaitu Syed Mustafa. Syed Mustafa yang telah kematian isteri itu telah menampar Syed Fariz sehingga kepalanya berdarah.

Anuariza  yang  pada ketika itu bersama mereka telah berjaya meleraikan pergaduhan tersebut. Dalam masa yang sama berjaya memujuk Syed Mustafa yang panas baran itu dan juga memujuk anak Syed Mustafa iaitu Syed Fariz supaya  tidak berdendam dengan perbuatan ayahnya kerana ayahnya bertujuan untuk mendidik mereka. Kemelut keluarga yang berlaku dalam keluarga Syed  Mustafa telah menjadi darah daging hidupnya. Namun demikian dia tidak pernah merasa terbeban dengan semua itu.

Oleh itu dalam mengupas unsur modal insan karya  Ramlah Abd Rasyid ini, saya menggunakan kemahiran yang saya pelajari dalam subjek modal insan untuk mengenalpasti dan menghuraikan  unsur modal insan yang ada dalam novel ini. Novel ini sesuai dengan pelajar sekolah kerana memaparkan tentang suasana alam persekolahan yang penuh dengan cabaran. Perjuangan dalam menuntut ilmu pengetahuan  dalam novel ini adalah amat ketara sekali kita lihat. Bermula dengan watak utama yang terpaksa menghadapi pelbagai cabaran  dalam hidupnya termasuklah sebagai seorang pelajar yang  cacat fizikal dan juga serba kekurangan.Hal ini bertepatan dengan hakikat seorang insan yang sebenarnya. Dalam Islam misalnya berpendapat, seorang bayi  dilahirkan  dalam keadaan fitrah( suci bersih). Maka kedua ibu bapanya  yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani dan juga Majusi                       
                                                                                           (Hadis Rasulullah s.a.w)

Di samping itu juga menurut  pendapat Derek Stockley dalam bukunya yang berjudul The Human Capital   yang berpendapat bahawa modal insan penting dalam membina keperibadian seseorang itu. The collective attitudes, skills and abilities of people contribute to organisational performance and productivity. Any expenditure in training, development, health and support is an investment, not just an expense.

Begitu juga dalam konsep (ESQ), seseorang yang bernama insan haruslah mempunyai sikap-sikap terpuji, berintegreti dalam wawasan dan perancangan, berprinsip. Ketrampilan diri juga turut dijaga dan mengamalkan sikap-sikap yang terpuji. Begitulah halnya dengan unsur modal insan yang ditonjolkan di dalam hasil karya sastera  seperti novel  Jeriji Kasih  yang saya baca ini. Sesuai dengan  kandungannya yang  banyak  mempunyai nilai-nilai positif, novel ini juga banyak mengangkat masyarakat  untuk lebih menyedari tentang pentingnya kita berusaha tanpa merasa  jemu dan berputus asa. Hal ini kerana, kejayaan itu hanyalah milik orang yang berusaha sahaja. Unsur modal insan yang ada dalam novel ini adalah terbahagi kepada dua iaitu menurut Islam dan juga pendapat tokoh.

2.1 Hidup Dengan Sopan Santun
              Walau macam mana maju pun sesebuah negara itu, jika generasi  yang mentadbir dan mendiami negara itu tidak ada nilai kesopanan terhadap satu sama lain, ia juga akan meruntuhkan kemajuan negara tersebut. Begitu juga halnya dengan pentingnya unsur modal insan bagi generasi sekarang. Amalan penerapan modal insan yang berteraskan kesopanan ini harus disemai terutama dalam:
a)      Institusi Kekeluargaan
b)      Institusi Kemasyarakatan
c)      Institusi Pembelajaran
d)     Institusi Perkhidmatan.

Contohnya seperti yang terdapat dalam novel Jeriji Kasih ini, memaparkan watak utama iaitu Anuariza  yang bersopan santun terhadap orang tua dan mengamalkan prinsip tidak meninggi diri.Anuariza  tidak  mahu pujian yang diberikan oleh orang lain melalaikannya suatu hari nanti. Oleh  itu, beliau lebih selesa merendah diri. Hal ini ditunjukkan dalam petikan dialog di bawah ini:
         “ Ini Nuar. Guru Tuisyen Fariz, Iesya pun boleh belajar sama ”
          “Cikgu” Syarifah Farisya mengangguk menegur Anuariza.
          “ Jangan panggil cikgu, saya pun masih belajar lagi”
           “Tak apa, bakal guru juga,” Nek Siah menyampuk  sambil membantu Azuera menyusun cawan yang sudah dituang kopi panas.
           “Belum tentu lagi...Perjalanan saya masih jauh” Terlalu perlahan ungkapannya. Malu.
                                                                                                (Halaman 11)







2.2  Bertakwa  Kepada Allah SWT.
Dalam kehidupan kita, amatlah tidak sempurna jika kita tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh dan utuh kerana pegangan agama yang kukuh itulah yang menyelamatkan kita daripada terpesong ke jalan yang tidak diredhai Allah. Oleh itu, al-Quran dan Al-Sunnah itu haruslah menjadi pegangan. Sumbangan generasi yang bertakwa kepada Allah SWT akan membantu pencapaian ummah sepanjang zaman.

 Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk.” (Surah al-Kahfi: 13)

Sikap bertakwa kepada Allah SWT  juga amat nyata dalam novel Jeriji Kasih ini. Hal ini dibuktikan di dalam petikan berikut:
“Saya pernah terserempak dengan Pak Belang, tapi alhamdulillah...Dengan membaca ayat Kursi dan surah al-Ikhlas, Allah menutupkan pandangan pahlawan rimba itu”, Dia tersenyum merendah diri
“Awak yakin?”
“Allah sentiasa  bersama-sama dengan orang yang benar dan menyukai hambanya yang meminta darinya dan tidak dari makhluk yang lain
                                                                                                  (halaman 27)








2.3  Mengamalkan Al-Quran dan Al-Sunnah
Orang yang mengamalkan sunnah hatinya akan hidup, jiawanya akan bersinar. Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan kehidupan dan cahaya dalam kitabNya dalam banyak kesempatan dan menjadikannya sebagai sifat orang beriman. Karena hati yang hidup dan bercahaya itu adalah yang mengerti tentang Allah, selalu tunduk kepadaNya dan memahamiNya, pasrah dalam bertauhid kepadaNya, serta selalu mengikuti ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang diutusNya. Begitulah juga dengan orang yang mengamalkan ajaran al-Quran, kerana segala yang halal dan haram itu adalah dinyatakan di dalam al-Quran. Contohnya seperti yang terdapat di dalam petikan novel  Jeriji kasih  di bawah ini.

“ Tapi apa yang saya tahu, kita wajib bertuhankan Allah. Percaya kepada para  
nabi dan rasul serta kitab suci al-Quran. Adanya hadis-hadis sahih dna sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Jika  kita  didatangi orang yang mengakui dialah pesuruh Allah selepas wafatnya  Nabi Muhammad  SAW bermakna sahlah dia pendusta.”
           “ Awak ada mendengar  berkenaan ajaran-ajaran sesat? Khususnya agama Islam?
            Anuariza menggangguk.
         “ Satu pun awak tak percaya?”
        “Saya hanya percaya  pada apa yang terdapat  dalam al-Quran dan kalimah Syahadah,”Kata Anuariza  sambil mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar.

                                                                                                         (halaman 28)



     


2.4  Kemampuan Untuk Bersaing Secara Sihat.
Dalam mengejar kebendaan hidup, kita sebagai insan sewajarnya mampu bersaing secara sihat dan  memajukan diri bersama tekad. Di samping itu juga, tidak menganiaya orang lain untuk kepentingan kita sendiri. Hal ini kerana Tuhan itu lebih berkuasa dan  mengetahui setiap baik buruk yang dilakukan oleh umatnya di dunia ini. Selain itu juga, arus pemodenan yang pesat membangun ini juga memaksa manusia untuk  turut sama memperjuangkan kehidupan agar tidak ketinggalan. Persaingan yang wujud mungkin daripada beberapa perkara berikut:
a)      Persaingan dalam menuntut ilmu
b)      Persaingan dalam mengejar kemewahan
c)      Persaingan dalam memajukan diri dan institusi kekeluargaan
d)     Persaingan dalam mendapatkan sanjungan dan pengikhtirafan

Daripada aspek-aspek persaingan tersebut, jelas sekali bahawa individu yang dapat bersaing dengan sihat bagi aspek tersebut adalah individu yang  jiwanya bersih dan berpandukan ajaran agama. Unsur modal insan ini turut digambarkan dalam  novel Jeriji Kasih seperti berikut:
                        “Tak ada apa, sekadar berbual kosong.Nuar tahu kan? Dua isu yang hangat diperkatakan sekarang ini?”
                        “Insya-Allah, selagi saya waras  rasanya saya dapat membezakan di antara yang lurus dengan yang rencong. Arwah Tuk Syed pernah mengingatkan saya betapa pentingnya kesederhanaan dalam semua hal”
                        “Ya, kita tidak boleh keterlaluan”
                        “Sentiasa mengganggap diri kurang tahu dan kurang arif serta jahil. Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Tetapi, jangan pula menerima apa saja ajaran dek taksub dalam menuntut ilmu. Akal juga penting. Allah sudah kurniakan kita fikiran kan?
                                                                                                (Halaman 30)



2.5 Tidak  Takut Untuk Berhadapan Dengan Kegagalan
            Generasi yang sentiasa tekun dan sabar dalam  memburu kejayaan adalah generasi yang tidak takut berdepan dengan kegagalan. Perjuangan hidup perlu diteruskan walaupun terpaksa melalui kegagalan. Sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya. Prinsip itulah yang harus dipegang dalam diri seseorang. Hal ini kerana semua individu pernah mengalami kegagalan di dalam hidupnya. Tetapi kegagalan  itu akan mengajar kita untuk lebih giat berusaha dan berjuang dalam kehidupan kita.

Dalam novel ini misalnya, watak utama iaitu Anuariza tidak takut untuk gagal dalam kehidupannya. Berkat dorongan ibu  yang tercinta, Anuariza yang asalnya merupakan seorang anak yang cacat di mana ibunya pula tidak dapat membantunya meneruskan pelajarannya. Dia terpaksa mencuri untuk belajar dari luar kelas, untuk mendengar apa yang diajar oleh guru kepada kawan-kawan sebayanya. Begitulah hal nya dengan kegigihan  sikap Anuariza yang tidak pernah jemu dalam memburu kejayaan.

Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini. Hal ini dibuktikan menerusi petikan berikut:
                        “Kan Nuar dah berusaha?”
            “Ya, tapi sebarang kemungkinan boleh berlaku. Walaupun Nuar tak pernah gagal dalam sebarang peperiksaan, tetapi kita tidak boleh mengetepikan takdir Allah dan nasib.”
“Nuar sudah berusaha, emak dan adik dah turut berdoa. Selebihnya  serahkan  pada Allah. Jika dia mengkehendaki Nuar cemerlang, syukur alhamdulillah, tapi jika  sebaliknya,pasrahlah kepada Allah. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Kembalilah kita kepada qadak dan  qadar Allah”
           
                                                                        (Halaman 38)




2.6 Menjaga Amanah dan Janji
Amanah merupakan sesuatu kepercayaan orang lain  yang diberikan kepada kita yang harus dipegang. Begitu juga dengan janji. Amanah dan janji dengan orang lain, sekiranya tidak dipegang dengan baik, akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap kita. Oleh itu sebagai seorang yang telah diamanahkan, kita seharusnya melakukan yang terbaik  dalam tugasan atau apa jua yang diberikan kepada kita. Kata amanah seakar dengan iman. Ini bererti sikap amanah mempunyai kolerasi erat dengan iman seseorang. Orang yang tidak amanah bererti tiada iman dalam dirinya, meskipun lidahnya mengaku yang dia adalah merupakan orang yang beriman.

            Allah berfirman,“Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati Rasulullah dan Rasul dan juga mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu  sedangkan kamu dituntut menjalankan dan menyampaikannya kepada yang berhak menerimanya”.  Memiliki sikap amanah penting  dalam kegiatan muamalah. Sikap amanah yang dimiliki oleh seseorang dapat dijadikan tolok ukur  mengangkatnya menjalankan tugasan tertentu. Rasulullah pula menjelaskan“ Apabila amanah telah disia-siakan, tunggulah kehancurannya.” Seorang sahabat bertanya,“Ya Rasulullah, bagaimana maksud menyia-nyiakan amanah itu?” Nabi menjawab,“ Iaitu menyerahkan sesuatu urusan ditangani oleh orang yang bukan ahlinya. Untuk itu tunggulah saat kehancuran urusan tersebut” HR Bukhari.

Hal ini adalah bertepatan dengan nilai amanah yang  dipegang oleh Anuariza dalam novel Jeriji Kasih. Contohnya seperti yang digambarkan dalam petikan di bawah ini:
“ Apa masalah Fariz, cuba ceritakan pada abang? Abang ke sini kerana disuruh oleh ayah Fariz. Abang dibayar, jadi kalau Fariz tak mahu belajar, abang rasa tak sedap hati.”
                        “Tak apa, Fariz tidak akan memberitahu ayah yang abang tak mengajar Fariz,” “ Tak boleh macam tu, yang ruginya Fariz sendiri, sampai PMR nanti Fariz gagal kerana tak mahu belajar, macam mana dengan masa depan Fariz?”
(Halaman 70)

2.7 Mempunyai  Kemampuan dalam Menangani Isu-Isu Semasa.
Generasi yang disebut sebagai generasi yang mampu menangani isu semasa adalah generasi bertindak untuk menyelesaikan apa jua permasalahan yang ada. Generasi seperti ini amat diperlukan dalam komuniti masyarakat. Isu semasa yang harus ditangani oleh generasi pada masa kini adalah seperti berikut:
a)      Isu globalisasi
b)      Isu politik dan Integrasi
c)      Isu  Sosial( Keagamaan, pendidikan, Kesihatan dan juga permasalahan-permasalahan yang lain)
d)     Isu Ekonomi

Kebijaksanaan generasi baru pada masa sekarang ini adalah bukan sahaja dalam mengejar kebendaan, bahkan juga memperjuangkan ilmu pengetahuan  untuk membangkitkan kesedaran masyarakat di negara kita tentang betapa pentingnya pendidikan  dalam era yang serba mencabar sekarang ini. Contohnya adalah seperti yang terdapat dalam petikan novel Jeriji Kasih di bawah ini.

            “Macam mana sekolah? Boleh sesuaikan diri?”
            “Biasa sekolah kampung”Jawablah sambil lewa
            “Ya, sekolah kampung tak macam sekolah di bandar, tapi pencapaian peratusan  kecemerlangan pelajar tu  sama. Malah Kementerian Pelajaran lebih memberi perhatian pada pelajar luar bandar.”
            “Yakah? Tengok tak ada apa pun...”
            “Apa yang Fariz cari tapi tak ada? Cikgu di bandar dengan luar bandar semuanya sama...Ilmu yang mereka ada itu lebih berguna..”Bijak Anuariza memancing Syed Fariz.

                                                                                                (Halaman 69)


2.8 Membantu Sesama Manusia Demi Kebaikan Bersama.                                 
Dalam kehidupan seharian kita, amalan hidup membantu orang lain adalah amalan yang amat dituntut oleh setiap agama. Agama yang ada dalam negara kita kesemuanya mengajar ke arah kebaikan dan hidup dalam persaudaraan dengan saling membantu antara satu sama lain. Dengan memberikan pertolongan yang ikhlas, maka sesuatu  yang kita lakukan pun akan menerima balasan yang setimpal. Tuhan lebih tahu dan adil dalam membalas apa yang kita berikan. Bak kata pepatah, orang berbudi kita berjasa, orang memberi kita menerima.

Sama juga dalam konteks agama Islam, bahawa tangan  yang memberi adalah lebih mulia daripada tangan yang menerima. Dalam novel  Jeriji Kasih ini, terdapat aspek tolong menolong sesama insan terutamanya membabitkan guru-guru dengan para pelajar di mana guru memberikan motivasi kepada para pelajar supaya mereka berjaya dalam matapelajaran yang diambil oleh mereka. Hal ini dibuktikan dalam petikan berikut iaitu:

“Esok Haiza datang ke rumah cikgu, cikgu akan pinjamkan buku rujukan cikgu. Majalah-majalah pelajar yang banyak. Haiza boleh pinjam dan salin soalan ramalan di dalamnya untuk dijadikan panduan,”Cikgu Shakinah tersenyum manis.
Ruhaiza menggangguk dengan senyum meleret di samping mengucap terima kasih.
“Berusahalah..Masa depan kita, kita sendiri yang menentukannya. Bukan cikgu, bukan kawan-kawan. Miskin bukan bererti tewas. Semangat dan azamlah jambatan menuju kejayaan. Benar sperti kata orang tua awak, Azuera dan abangnya orang susah, malah anak yatim, tetapi mereka berjaya. Kenapa? Kerana semangat dan azam mereka kuat untuk berjaya.” Cikgu Sakinah tersenyum lebar.

                                                                                    (Halaman 89)




2.9  Berjiwa Besar dan Bercita-cita Menggunung.
            Allah Subhanahu wa ta’ala menciptakan manusia dan menyertakan kepada setiap mereka keinginan dan obsesi, maka tidak ada seorang pun yang Allah biarkan hidup tanpa sebuah keinginan. Setiap daripada apa yang kita lakukan seharusnya didahului dengan cita-cita dan juga matlamat untuk mencapai kejayaan tersebut. Cita-cita itulah yang akan mengiringi usaha kita untuk menjadi insan yang berjaya. Keberanian dan keyakinan untuk bercita-cita tinggi akan menjadikan kita bermuhasabah diri dan mencari ikhtiar untuk mencapai cita-cita kita itu. Oleh itu dalam kehidupan yang serba mencabar ini kita sewajarnya tidak merendahkan diri.

Salafushshalih sentiasa menasihati: “Jagalah cita-citamu kerana itu adalah permulaan dari amalmu, maka barang siapa benar cita-citanya dan jujur maka benarlah amal-amal setelahnya.” Ibnul Jauzi berkata: “Diantara tanda kesempurnaan akal adalah cita-cita yang tinggi.” Beliau juga mengatakan, “Saya tidak melihat aib seseorang sebagai aib layaknya seorang yang mampu mencapai darjat kesempurnaan kemudian dia tidak mewujudkannya.” Adapun obsesi tertinggi seorang mukmin secara mutlak tidaklah fokus kecuali kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, tidaklah meminta selainnya, tidaklah berupaya kecuali untuk keridhaan-Nya, tidak pula menjual ketaatan kepada-Nya dengan gemerlapnya dunia ataupun dengan segala sesuatu yang sifatnya fana, karena Allahlah yang tertinggi dan tempat menggantungkan kecintaan yang tertinggi. Sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Al Qoyyim: “Orang yang tertinggi himmah-nya adalah yang tertinggi merasakan nikmatnya mengenal Allah, mencintai-Nya, serta rindu akan perjumpaan-Nya.”Hal ini digambarkan dalam petikan novel Jeriji Kasih di bawah ini:
“ Saya sudah biasa merancang di saat akhir. Hidup kais pagi makan pagi terlalu mudah. Tak perlu peningkan kepala”Syed Mustafa tersenyum mendengar ungkapan itu.
“Pak Syed punya azam dan cita-cita dan Pak Syed percaya untuk melunaskannya kita perlu berkorban”
“Kalau boleh saya mahu berjaya seperti Pak Syed”
“Boleh! Asalkan berusaha,semua impian boleh dicapai!”
                                                                                                (Halaman 108)

2.10  Memelihara Kehormatan dan Maruah
Maruah dan kehormatan diri itu adalah lambang peribadi kita yang sebenarnya. Oleh itu maruah dan kehormatan harus dijaga, supaya ia tidak tercemar dan tidak memalukan kita. Maruah dan kehormatan ini sebenarnya amat luas konteks dan konsepnya. Maruah yang perlu dijaga adalah seperti berikut:
a)      Maruah dan kehormatan diri
b)      Maruah dan kehormatan ibu bapa dan keluarga
c)      Maruah dan kehormatan bangsa dan negara
d)     Maruah dan kehormatan  Agama

Dalam konteks menjaga maruah dan kehormatan diri, kita seharusnya melakukan yang terbaik untuk diri kita dan tidak merosakkan hidup kita dengan perkara yang tidak baik seperti melakukan jenayah, menagih dadah dan sebagainya. Sementara dalam menjaga maruah dan kehormatan ibu bapa dan keluarga kita pula, kita sewajarnya tidak memalukan mereka dan menjadi anak yang berguna dan berjasa kepada ibu dan bapa.  Dalam konteks menjaga maruah dan kehormatan bangsa dan negara pula ialah dengan memberikan sesuatu yang terbaik untuk mengharumkan nama negara agar negara terbilang di persada dunia. Dan untuk agama pula, dengan mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. Hal ini dibuktikan dalam petikan ini apabila watak Anuariza menjadi penasihat kepada Syed Fariz:

“Memang setiap ibu bapa akan berasa malu jika anaknya menjadi sampah masyarakat. Mereka mahukan anak-anak mereka  menjadi manusia yang berguna bukannya haiwan,”Pintar benar dia merangkap perasaan Syed Fariz sehinggakan Syed Fariz kehilangan kata-kata.
“Fariz hanya mahukan perhatian ayah. Bukannya kekayaan. Fariz mahukan kasih sayang,” Kata Syed Fariz lemah.
“Bukan begini caranya dik, perbuatan Fariz hanya mengundang kemurkaan Allah. Untuk menuntut kasih sayang ibu dan bapa kita, kita perlu berbuat baik. Berdoa pada Allah  agar hati mereka dilembutkan” Manis senyuman di bibirnya.
                                                                                                (Halaman 146)
2.11  Kreatif dan Inovatif  dalam Mengatur Cara.
Dalam membentuk modal insan dalam diri seseorang individu, kekreatifan dan keinovatifan dalam mengatur cara dan strategi yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri individu tersebut. Namun demikian, generasi yang kreatif adalah lahir daripada  pemikiran yang kreatif juga. Oleh itu, dalam memperkukuhkan modal insan dalam diri individu tersebut. Hal ini kerana dengan kekreatifannya akan dapat menyelesaikan permasalahan yang sedang dia hadapi.  Dalam konsep kreatif dan inovatif ini pula, adalah berbeza keduanya. Tapi dalam pembinaan modal insan dan jati diri yang unggul, ia adalah seiring dalam membawa ke arah kejayaan.
           
Dalam konteks individu yang kreatif ini  dilihat dalam kemampuan seseorang menangani perbezaan. Orang yang kreatif adalah orang yang melihat hal yang sama tetapi menggunakan cara yang berbeza. Orang yang kreatif mampu stand out the crowd  dan tampil dalam keramaian orang. Oleh itu, kreativiti adalah penting untuk membuka peluang yang baru. Sementara bagi inovatif pula ialah kemampuan menemukan komersial dan kreativiti inovatif adalah membuat perbezaan dan memiliki nilai komersial. Hal ini dibuktikan dalam petikan novel Jeriji Kasih yang menggambarkan Anuariza yang kreatif dalam mencari jalan untuk dapat belajar seperti kawan-kawannya yang lain.

“Abang pernah berlapar, berkaki ayam dan hanya berseluar yang dijerut dengan tali. Tanpa memakai baju, abang mengendap di belakang sekolah sebab hendak sangat belajar. Emak tak mampu menyekolahkan abang. Abang tahu dan abang faham. Jadi abang tak mendesak. Abang tak dendam emak sebab abang faham kedudukan emak. Abang melihat jerih payah emak” Air mata Anuariza  sudah bergenang, tetapi bibirnya tetap mengukir senyuman.
                                                                                                                                                                                                                                    (halaman 151)
                                                                                                                                                                                                           

2.12 Menjadi Generasi yang Dinamik dan Berubah ke Arah Kebaikan.
Generasi yang dinamik adalah generasi yang sedia untuk berubah dan bersedia memperkembangkan potensi diri ke arah yang lebih baik. Generasi yang dinamik biasanya berpegang pada prinsip dan tekad yang ingin berubah dan menjadi seorang manusia yang berguna dan berjasa suatu hari nanti. Generasi yang dinamik juga tetap pendirian dan tidak akan mudah untuk kembali kepada perkara-perkara lama yang negatif bahkan sentiasa bermuhasabah diri untuk membuat yang lebih baik daripada sebelumnya.
           
Begitulah halnya dengan watak-watak yang terdapat di dalam novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd. Rasyid ini.   Ia mengungkapkan kisah hidup Syarifah Farisha yang merupakan adik kepada Syed Fariz dan anak kepada  Syed Mustafa dan beliau amat tidak bersetuju apabila ayahnya Syed Mustafa berkahwin dengan emak Anuariza kerana dia amat menyukai dan mencintai Anuariza. Tetapi kemudian dia berubah fikiran dan berfikir secara positif  dan percaya bahawa itulah pilihan ayahnya dan dia dan Anuariza pula lebih sesuai menjadi adik-beradik sahaja. Hal ini dibuktikan dalam petikan berikut:
“Wau, sekejapnya berubah! Apa dah jadi? Hari tu berapi-api..Hari ni pula,lain jadinya”Sindir Azrul Iskandar yang duduk di sofa di hadapan Syarifah Farisya.
“Entahlah, hari tu Eisya terlalu bodoh dan  singkat fikiran dan mementingkan diri sendiri”
Hajah Munirah tersenyum dan menepuk bahu Syarifah Farisya, bersetuju memberi sokongan.
“Hari tu Eisya ikutkan hati. Tidak berfikir secara rasional. Tapi Abang Nuar dah sedarkan Eisya. Kalau dia sanggup berkorban besar untuk emak dan ayah, mengapa tidak Eisya berkorban sedikit untuk ayah?” Terlalu syahdu ungkapan Syarifah Farisya.

                                                                                                (Halaman 297)





2.14  Mengisi  Kebangkitan Ummah Dalam Setiap Bidang.
Situasi kebangkitan Ummah dalam umat Islam khasnya menurut Ustaz al-Banna menurut pandangan Dr. Abdul Hamid Al Ghazali adalah seperti berikut:
a)      Kerja keras untuk mengenal pasti situasi secara menyeluruh dari segala aspek
b)      Mengenal pasti punca
c)      Mengenal pasti jalan penyelesaian.

Oleh itu dalam ajaran Islam mengatakan: “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusuf:108)

Begitulah yang dipaparkan dalam petikan novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd. Rasyid ini yang berjaya menampilkan  bagaimana kesatuan dan kebangkitan ummah yang memberikan perkembangan kepada masyarakat dalam pelbagai bidang. Hal ini dibuktikan pada petikan novel Jeriji Kasih seperti di bawah ini:
“Tinggi sangat angan-angan abang Syed, tinggi lagi imaginasi Nuar. Abang hanya melunaskan sahaja. Terima kasih bang..” Kata Solehah yang tiba-tiba muncul di situ menyampuk.
“Tak perlu berterima kasih. Kita saling memerlukan. Nuar ada segala-galanya, kecuali kewangan. Abang hanya mampu memberi galakan. Haji ada kewangan yang cukup kan? Ha! Apa lagi? Kita satukan semuanya. Bentuk taman imaginasi Nuar menjadi ladang terunggul”
“Barulah bangsa kita dipandang gah di seluruh pelosok dunia” sambung Azrul Iskandar pula”
                                                                                                (Halaman 309 dan 310)




Kesimpulan

Secara ringkas, Falsafah Pendidikan Negara menggariskan bahawa individu yang diimpikan ialah individu yang baik, seimbang dan harmonis dalam pelbagai aspek iaitu meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. 'Seimbang' di sini membawa pengertian bahawa individu yang ingin dilahirkan adalah individu yang tidak melampaui batas, dan tidak mengutamakan satu aspek dan mengabaikan aspek yang lain. 'Harmonis' pula mengertikan bahawa keempat–empat aspek berkenaan perlu wujud secara bersama dan saling kukuh–mengukuhkan antara satu sama lain.

Di sinilah akan dikaji dan dinilai sejauh manakah proses pengajaran dan pembelajaran subjek kesusasteraan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia dapat dimanfaatkan ke arah pembentukan dan pembinaan modal insan sepertimana yang diingini. Walau bagaimanapun, dalam kita merencanakan halatuju pembentukan insan yang diimpikan, satu aspek yang tidak boleh dikesampingkan adalah asas atau dasar kepada pembentukan insan itu sendiri dalam konteks pendidikan di Malaysia.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah perlunya modal insan yang ingin dilahirkan tersebut selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Malaysia sendiri yang merupakan batu asas kepada corak pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang merupakan asas kepada pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia menggambarkan suatu impian yang cukup besar untuk melihat lahirnya dari sistem pendidikan Malaysia ini individu–individu unggul dan seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek.
Hal ini dapat dinilai daripada dua entiti penting yang terkandung di dalamnya, iaitu wajah insan yang dihajati dan kaedah atau pendekatan untuk mencapai wajah insan itu.






;;

Template by:
Free Blog Templates