Klik Jangan Tak klik!

Followers

Tuesday, November 16, 2010

Aspek Kejiranan dalam Pantun Melayu

Aspek Kejiranan dalam Pantun Melayu.

            Pantun adalah puisi Melayu tradisional yang paling popular berbanding dengan jenis-jenis puisi tradisionla yang lain. Populariti pantun ini adalah sororotan daripada aspek tema dan juga fungsi pantun itu sendiri yang  memperihalkan kehidupan masyarakat(Abdul Halim Ali, (2006:20). Dalam struktur dan bentuk pantun, terdapat pelbagai tema dan juga persoalan yang  ditampilkan oleh pengarang dalam pantun Melayu. Tema-tema ini banyak menjurus kepada kemasyarakatan dan juga kemanusiaan. Pengkelasan pantun ini adalah dari segi tema dan persoalan. Pelbagau aspek yang ditimbulkan dalam pantun Melayu.

            Aspek kjiranan misalnya. Aspek kejiranan ditimbulkan di dalam pantun Melayu adalah aspek yang ada pada pantun yang menjurus ke arah kemasyarakatan dan juga budaya hidup berjiran masyarakat Melayu mengikut tradisi dan juga cara hidup masing-masing. Pantun yang ada menyentuh tentang aspek kejiranan ialah pantun ini ada kaitannya dengan budaya hidup masyarakat Melayu yang masih utuh dengan tradisi hidup berjiran suatu ketika dulu. Tetapi sekarang, budaya masyarakat berjiran ini sudah tidak lagi diamalkand dalam kalangan masyarakat Melayu khasnya masyarakat yang tinggal menetap di kota. Bahkan budaya hidup berjiran yang dulunya diamalkan kini diganti dengan budaya materialistik masyarakat Melayu. Tiada lagi amalan hidup berjiran. Bahkan ada di kalangan mereka yang tidak mengenali siapa jiran di sebelah mereka. Segala kesusahan jiran mereka pun tidak diambil peduli oleh mereka.

            Dalam pantun  Melayu yang ada menyelitkan unsur kejiranan, kita dapat mengetahui betapa pentingnya peranan pantun ini sebagai medium untuk menyampaikan  tema dan mesej  melalui cara yang lebih halus. Pelbagai aspek kejiranan telah ditonjolkan dalam pantun Melayu. Amalan hidup berjiran orang Melayu khasnya dalam musim perayaan dan juga gotong-royong yang menggambarkan pemuafakatan di kalangan masyarakat Melayu pada zaman dahulu.


2.0 Amalan Bergotong-Royong.

Aspek kejiranan yang pertama terdapat dalam pantun Melayu ialah amalan hidup bergotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu. Amalan bergotong-royong sememangnya begitu sinonim dengan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Amalan gotong-royong akan membantu mempercepatkan lagi sesuatu kerja dalam kalangan masyarakat pada zaman dahulu. Contohnya seperti yang terdapat pada pantun ini.
Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.

Jika pelita sudah menyala,
Bawalah pula ke anjung surung,
Jika kita semua bersaudara,
Sama-samalah hidup  bergotong-royong.

Berdasarkan  dua rangkap pantun di atas kita dapat mengetahui bahawa amalan bergotong-royong adalah amalan yang amat dititikberatkan dalam kalangan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Amalan bergotong royong adalah amalan masyarakat yang tolong-menolong suatu ketika dulu. Sekarang, amalan itu tidak diamalkan lagi dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana, pada zaman moden sekarang, masyarakat masing-masing sibuk dengan dunia dan pekerjaan masing-masing.

Walaubagaimanapun, aspek kejiranan  khususnya dalam amalan bergotong-royong di kalangan masyarakat adalah masih kukuh dan masih diamalkan di kampung-kampung kerana masih mengekalkan budaya ini yang dianggap sebagai kemestian dalam kehidupan berjiran.



3.0 Amalan  Kerjasama Sesama Jiran.

Seterusnya, aspek kejiranan yang ada dalam pantun Melayu ialah aspek kerjasama di kalangan masyarakat Melayu yang  ada pada suatu ketika dulu. Kerjasama dalam kalangan mereka akan meringankan lagi kerja yang dilakukan oleh mereka. Walau sebesar mana pun dugaan dan juga masalah yang dihadapi, jika semua orang bekerjasama, semua itu akan dapat diselesaikan dengan mudah. Contoh aspek kejiranan yang menceritkan tentang perihal masyarakat yang bekerjasama ialah pada pantun di bawah ini.

Kalau subang, sama subang,
Kalau sanggul samalah sanggul
Kalau hilang sama hilang,
Kalau timbul sama timbul.
           
            Para-para di dahan dedap,
            Sangkutkan tali berlembar tiga
            Bahaya dan mara sama dihadap,
            Di laut api bersama juga.

Berdasarkan pantun di atas, kita dapat mengetahui bahawa orang Melayu pada zaman dahulu amat  mementingkan semangat kerjasama dalam apa jua sekalipun masalah yang melanda mereka. Gambaran yang terdapat dalam pantun tersebut amat jelas sekali menggambarkan tentang  budaya hidup masyarakat Melayu yang suatu ketika dulu yang terkenal dengan budaya hidup yang bekerjasam dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Oleh itu, amalan kerjasama ini telah digambarkan dalam pantun-pantun Melayu.





4.0 Aspek Tolong-Menolong Sesama Jiran

Aspek kejiranan yang seterusnya yang ada dalam pantun Melayu ialah aspek tolong-menolong sesama jiran. Setiapa masalah akan dapat diselesaikan sekiranya masyarakat hidup tolong-menolong. Aspek ini jelas digambarkan dalam pantun Melayu seperti di bawah ini. Ia adalah gambaran kepada kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Kain daun layur di para,
Buat tudung kuih talam,
Pahit maung sama dirasa,
Sama diharung timbul tenggelam.

Cantiknya wajah Puan Syarifah,
            Manis senyuman tak dapat diucap,
            Hati gajah sama dilapah,
            Hati kuman sama dicecap.
           
Pantun pada rangkap pertama menceritakan tentang kehidupan masyarakat yang saling tolong-menolong dan sanggup menghadapi susah senang bersama. Oleh itu, dalam setiap kerja dan juga kesusahan, mereka akana harunginya bersama. Semua kesukaran itu akan menjadi senang dengan adanya kerjasama di antara mereka.  Di samping itu juga, pada rangkap kedua pantun pula menceritakan tentang kehidupan tolong-menolong sesama insan tidal kiralah sama ada perkara itu kecil atau besar, amalan tolong-menolong ini amatlah penting.

Tanpa amalan tolong-menolong sesama jiran, akan wujud sikap yang mementingkan diri sendiri. Oleh itu, masyarakat Melayu pada masa dahulu begitu mengambil berat tentang  amalan tolong-menolong ini. Sehinggakan keadaan ini diceritakan  dalam pantun mereka.


5.0 Kehidupan Muafakat dalam Kalangan Masyarakat yang Hidup  Berjiran..

Masyarakat Melayu pada masa dahulu terkenal dengan kehidupan saling bermuafakat antara satu sama lain. Amalan muafakat ini adalah amalan yang sangat diperlukan dalam masyarakat yang hidup sekampung khasnya masyarakat Melayu pada masa dahulu. Hidup bermuafakat menggambarkan masyarakat pada suatu ketika dahulu amat intim antara satu sama lain dan hidup di dalam satu rumpun yang bersatu. Ini adalah seperti yang telah digambarkan pada dua rangkap pantun di bawah.

Hendak belayar ke Teluk Betung,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Masa berjalan bawalah tongkat,
Kalau boleh jenis semambu,
Sama sekampung teguhkan pakat
Kita semua bersatu padu.

Berdasarkan pada rangkap pantun yang pertama sekali  kita dapat mengetahui dalam pantun Melayu ini, amalan hidup berjiran sememangnya amat pentingdan juga diamalkan selalu. Oleh itu di dalam pantun Melayu disebutkan bagaimana kehidupan masyarakat yang saling bermuafakat pada ketika dahulu. Di samping itu juga, pada rangkap kedua pula, disebut juga tentang kehidupan sekampung yang berpakat antara satu sama lain akan meringankan lagi bebanan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Oleh itu,amalan muafakat ini amat diperlukan dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Bahkan ia disebut di dalam pantun dan  juga menjadi pegangan kepada masyarakat pada zaman dahulu. Pantun yang bertemakan amalan muafakat sesama jiran sekampung ini akan sentiasa diingati oleh penduduk kampung.

6.0 Amalan Hidup Bersatu Padu dalam Kehidupan Berjiran.

            Amalan hidup bersatu padu sesama jiran ini banyak digambarkan dalam pantun Melayu. Ia menimbulkan aspek teladan dan juga pengajaran kepada pembaca yang membaca pantun tersebut. Di samping itu juga, amalan bersatu padu ini adalah penting untuk mengeratkan lagi hubungan sesama jiran. Sekiranya hidup saling membantu dan juga bersatu padu, tidak akan ada masalah yang berlaku.

            Contohnya seperti yang digambarkan pada rangkap pantun di bawah yang membawa tema hidup bersatu-padu dalam masyarakat berjiran.

            Baju baru kain  berdekat,
            Sangkutkan tali berlembar tiga,
            Bahaya dan mara sama dihadap,
            Di laut api bersama juga.

            Orang memukat di Kuala Hulu,
            Cuaca gelap beransur terang,
            Kalau tidak bersatu padu,
            Sengketa kerap membawa perang.

Amalan hidup masyarakat yang bersatu padu pada masa itu adalah menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu yang sentiasa hidup bersatu padu dalam apa jua sekalipun yang melanda kehidupan mereka sama ada baik atau pun tidak baik. Oleh itu, setiap yang mereka lakukan itu telah membawa  kepada kebaikan mereka sendiri. Dengan kata lain, ia menguntugkan semua pihak. Kerana sekiranya semua bersatu padu akan dapat  mengeratkan lagi semangat kejiranan yang ada pada mereka.




7.0 Kemesraan Sesama Jiran

Amalan hidup berjiran yang begitu menebal dalam kalangan orang Melayu suatu ketika dahulu begitu menarik sekali kerana mereka sentiasa bekerjasama dalam setiap apa yang mereka lakukan. Oleh itu, amalan hidup berjiran seperti yang terdapat dalam pantun Melayu bukan sahaja penting untuk memupuk semangat kejiranan sesama mereka.  Di samping itu juga, pantun yang mengandungi aspek kejiranan akan membawa kepada kemesraan. Misalnya, pantun yang mengandungi nilai kemesraan yang terdapat di bawah ini.

            Nasi lemak buah bidara,
            Dihidang bersama bertih pulut,
            Alangkah enak hidup bersaudara,
            Hati tenang nafas tak semput.

            Pokok bunga penghias taman,
            Ditanam bersama lada sulah
            Kenali jiran  erat kemesraan
            Moga terjalin ikatan ukhuwah.


            Berdasarkan beberapa rangkap pantun yang mengandungi aspek kejiranan di atas, jelas dalam pantun Melayu banyak terdapat aspek kejiranan yang tidak dapat dirungkaikan.  Daripada pemikiran dan juga persoalan yang terkandung di dalam struktur pantun tersebut, kita akan mengetahui tentang corak kehidupan masyarakat Melayu terdahulu yang digambarkan menerusi pantun tersebut.




Puisi Rejang

Rejang( Puisi Melayu Tradisional)


Apa Itu Rejang?

Rejang menumpang bentuk syair atau pantun yang menggunakan nama hari atau hari bulan berdasarkan firasat, reaksi dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan nama-nama binatang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.

Istilah rejang mengikut Wilkinson, ada kaitannya dengan ramalan bintang atau astrologi (Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985). Biasanya , masyarakat di Nusantara ini mempunyai cara-cara yang tertentu untuk meramal hari-hari yang baik dalam sebulan. Hal ini dapat dilihat dalam puisi rejang seperti Ketika Rejang yang dikatakan ada hubungan dengan hubungannya dengan ramalan waktu manakala Rejang Ketika dikaitkan pula dengan raksi (nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu).
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun. Oleh itu, genre ini hampir menyerupai bentuk pantun dan syair, Cuma berbeza pada rima akhir yang tidak tetap, sedangkan pantun atau syair memiliki rima yang tetap.

            Menurut Abdul Halim Ali dalam bukunya yang berjudul “ Mendekati Puisi Melayu Tradisional” Rejang merupakan puisi tradisional yang memiliki persamaan dengan syair dan pantun. Ia dikatakan ada persamaan dengan puisi syair kerana  setiap rangkap mengandungi  empat baris secara tetap. Walaubagaimanapun, rima akhirnya tidak tetap  tidak sebagaimana rima syair yang tetap(a/a/a/a).

            Rejang ada persamaan dengan pantun empat kerat kerana dua baris pertamanya ialah pembayang dan dua baris terakhirnya ialah maksud.  Walaubagaimanapun, dua baris pertama puisi rejang tidak berkaitan langsung, tidak sebagaimana pantun, dua baris pertamanya ialah berhubungan.  Rejang juga dapat dikatakan sebagai puisi Melayu tradisional yang bersandar pada puisi warisan Melayu  dan puisi warisan Islam. Contoh rejang yang sering ditemui dalam masyarakat ialah Rejang Sindiran Diri, Rejang Padi Emping dan Rejang Tujuh Hari.
Ciri-Ciri Rejang

Ciri-ciri rejang ialah rejang terdiri daripada empat baris serangkap, dua baris pertama merupakan pembayang dan dua baris berikutnya merupakan maksud. Bahkan kalau diteliti lebih lanjut, rejang ini hampir sama dengan pantun berkait. Selain itu, dua baris pertama tidak berhubungan langsung, tetapi ada pula yang berhubungan seperti syair. Biasanya, pengisian dalam rejang membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan agama, nasihat, teladan dan pengajaran.


Fungsi Rejang

            Rejang secara amnya berfungsi sebagai  salah satu alat komunikasi masyarakat pada zaman dahulu yang digunakan sebagai hiburan di samping turut mengandungi kata nasihat, sindiran secara halus terhadap sesetengah masyarakat tertentu, di samping itu merupakan  saluran  untuk meramalkan hari-hari yang baikd alam satu- satu bulan. Hal ini kerana istilah Rejang sendiri adalah berkaitan dengan ramalan tentang ramalan bintang  atau astrologi.

            Dari sudut hiburan pula, rejang akan dilagukan oleh masyarakat pada zaman dahulu sebagai salah satu alat hiburan kerana masyarakat Melayu pada masa dahulu tidak ada hiburan seperti masyarakat pada zaman sekarang. Oleh itu, nyanyian Rejang itu akan diingati sampai bila-bila dan menjadi alat hafalan masyarakat dahulu. Walaubagaimanapun, ia tidak seperti pantun dan syair yang kelihatannya lebih popular dan semua masyarakat mengetahuinya.






Unsur Keindahan dalam Rejang.

Rejang juga seperti puisi melayu tradisional yang lain yang mempunyai unsur keindahan yang tersendiri dan juga struktur yang menarik. Hal ini menyebabkan rejang menjadi salah satu puisi yang senang dinyanyikan kerana strukturnya hampir sama dengan syair. Pada dasarnya rejang ini adalah merupakan puisi tumpang yang mempunyai persamaan dengan pantun dan syair, tetapi yang membezakannya adalah isi kandungan yang ada pada rejang tersebut.

Aspek keindahan yang ada pada rejang ini adalah dapat dilihat daripada  aspek yang ada pada setiap  rangkap iaitu aspek rima akhir rejang, yang hampir sama dengan pantun dan syair yang kebanyakannya adalah berbentuk (a/b/a/b).  Contohnya seperti yang terdapat pada rejang yang  di bawah ini .

Sementara itu dari aspek gaya bahasa yang digunakan dalam rejang ini pula, rejang ini mempunyai gaya bahasa yang indah dan mempunyai nilai estetika yang tinggi sebagaimana puisi tumpang mahupun puisi tradisional yang lain. Di samping itu juga, apa yang menarik tentang rejang ini ialah dia seakan sebuah puisi berkait dan oleh itu mempunyai perkaitan  antara setiap rangkap.  Bahasa yang digunakan lebih banyak menggunakan bahasa sindiran yang halus untuk  menasihatkan  sesiapa yang membaca rejang tersebut.

Dari aspek  bunyi pula, rejang  lebih banyak yang dinyanyikan dan bertujuan untuk  menarik perhatian pendengarnya. Ia dinyanyikan dengan intonasi yang tersendiri dan ini akan memudahkan pendengar yang mendengar menyampaikan maklumat kepada  pembaca yang mendengar rejang tersebut.  Bunyi yang betul dan sedap didengar akan membantu pendengar lebih memahami nasihat dan juga sindiran yang hendak disampaikan.



Contoh  Rejang yang Dinyanyikan  Oleh  Masyarakat Melayu Tradsional.


1. Rejang Hari Bulan ( Rejang haribulan ini mengandungi  tarikh dan  masa tertentu serta berkaitan dengan nama-nama haiwan seperti kuda, kijang, tikus dan sebagainya).

Rejang Tiga Puluh Hari:

Sehari bulan rejangnya lotong.

Selikur hari bulan rejangnya lotong,
Sebarang kerja baik dimula,
Tuanku raja yang sangat untung,
Redakan kada  Azzawajalla,

Sebarang kerja baik dimula,
Jika beranak dilafazkan Tuhan,
Redakan kada Azzawajalla,
Padamkan masygul jadi kesusahan.

Dua likur rejangnya landak,

Dua likur rejangnya landak,
Perian baik beranak bakti,
Hasilkan abang punya kehendak,
Khadamlah kata sehingga mati.

Perian baik beranak bakti,
Dikasihi raja orang besar-besar,
Khadamlah kata sehingga mati.

Saturday, August 7, 2010

PANTUN & SYAIR

1.0 Pengenalan.
Puisi melayu tradisional merupakan khazanah sastera yang menghimpunkan pelbagai jenis puisi seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, talibun, mantera, bayt, nazam, rubai, kit’ah, masnawi, ghazal, zikir dan selawat, berjanzi, teka-teki, endoi, rejang, hadrah dan dabus. Masyarakat melayu tradisional yang dianggap buta huruf, simple, kolektif dan serba kekurangan telah menghasilkan puisi-puisi yang banyak jumlahnya dan tinggi kualitinya. Secara umumnya puisi-puisi yang terhasil merangkumi pembawaan falsafahnya dan unsure puitis secara tidak langsung. Puisi-puisi memperlihatkan perkembangan dan liku-liku sejarah peradaban kehidupan masyarakat yang melahirkannya, world-view masyarakat yang mengucapkannya, dan kekreatifan masyarakatnya. Puisi-puisi telah digunakan di dalam semua aspek kehidupan sama ada untuk senda gurauan, hiburan, di dalam upacara perdukunan, adapt istiadat dan alat perundingan.



Pantun.



Latar Belakang.

• Merupakan puisi Melayu tradisional yang paling popular dan penggunaannya adalah meluas.

• Merupakan puisi Melayu Tradisional yang tidak diragukan sifat keasliannya.

• Tidak terdapat bentuk dalam puisi-puisi bangsa lain secara asli, melainkan bangsa Melayu di kawasan nusantara.

• Kelebihannya menarik minat pengkaji dari negara asing untuk datang mengkaji, seperti Pijnappel,Van Ophusyen,R.J Wilkinson, R.O Winstedt dan ramai lagi.
Definisi dan fungsi.

Definisi adalah berdasarkan beberapa pendapat dan kajian terhadap pantun.

• Brandsetter dan R.O Winstedt (1955) mengatakan, pantun berasal daripada pelbagai kata akar daripada pelbagai bahasa. Dalam perkataan “Pantun Sunda” itu akarnya ‘tun’ yang terdapat dalam bahasa Pampanga ‘tuntun’ yang bermakna teratur.

• Harun Mat Piah (1989), mendefinisikan pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur Visualnnya. Aspek dalaman meliputi estetik dan isi (tema dan persoalan).

• Za’ba, pantun itu kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan melayu betul.

• Drs. Liaw Yook Fang, pantun adalah senandung rakyat yang dinyanyikan.

• Drs.Ghazali Dunia, erti pantun asalnya ialah seumpama. Sepantun maksudnya seumpama.

• Pantun sering diadakan dalam majlis-majlis nyanyian, rentak kuda, dondang sayang, ronggeng, joget, upacara meminang dan jampi mantera.

• Banyak membicarakan soal kanak-kanak, cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat.

• Sebagai renungan masyarakat umum untuk dibuat iktibar, pengajaran dan sempadan dalam mengharungi hidupyang penuh dengan kemungkinan.



Ciri-Ciri Pantun.

• Pantun mempunyai rangkap-rangkap berasingan. Setiap rangkap terbina daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan seperti 2,4,6,hingga 16. rangkap umum empat baris serangkap. Pembentukan rangkap berdasarkan baris menjeniskan pantun melayu seperti pantun dua kerat,empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya.

• Setiap baris mengandungi kata dasar antara 4-5 patah perkataan dengan jumlah sukukata antara 8 hingga 12. Biasanya lapan hingga 10 suku kataa dalam sebaris.

• Setiap stanza/rangkap mempunyai dua unit atau kuplet iaitu unit/kuplet pembayang/sampiran (separuh jumlah baris bahagian pertama) dari unit/kuplet maksud (separuh jumlah baris bahagian kedua).

• Mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b,a-b dengan sedikit variasi a-a,a-a,a-b,a-a,a-b,b-a dan sebagainya. Tetapi jumlah lumrahnya ialah a-b,a-b.

• Setiap rangkap pantun merupakan keseluruhan iaitu mengandungi satu fikiran yang bulat dan lengkap yang dikesan melalui maksud pantun dalam rangkap tersebut. Namun terdapat juga pantun yang tidak lengkap jika hanya satu rangkap sahaja seperti pantun berkait.

• Pembayang penting untuk memberi persamaan bunyi dan kadang-kadang bayangan kepada maksud.

• Maksud bahagian yang penting iaitu penyampaian tersirat yang hendak disampaikan oleh si pemantun.



Syair.



Sejarah.

• Berasal dari Arab, namun syair melayu berbeza daripada bentuk syair dalam kesusasteraan arab.

• Muhd.mansur Abdullah mengatakan walaupun syair bukanlah hak mutlak atau kepunyaan bangsa melayu, namun memandangkan ia sudah berakar umbi di Alam Melayu sejak sekian lama, maka ia telah dianggap dan diterima oleh orang melayu sebagai tradisi mereka.



Maksud dan Fungsi.

• Aripin Said (1994), syair menyerupai pantun empat kerat. Namun terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua jenis puisi iaitu pentun mempunyai pembayang maksud manakala syair tidak mempunyai pembayang maksud dan keempat-empat bait syair ialah maksud.

• Za’ba (1939),Berasal dari perkaraan Arab shi’r yang secara umumnya bermaksud puisi. Shi’r bererti perasaan atau pengetahuan yang terbit dengan jalan terasa, kemudian makna ini berkembang dalam kesusasteraan sebagai perasaan seni yang indah dengan pelbagai warna fikiran yang menarik dan diucapkan dengan bahasa berhias indah, istimewa dalam perkataan yang bersukat dan berangkap.

• Dalam masyarakat melayu, syair bererti karangan berangkap yang terdiri daripada 4 baris dengan persamaan bunyi pada hujung barisnya. Idea yang dikemukakan bersambung-sambung dan menjadi kesatuan yang sistematik dan berkembang .

• Berfungsi sebagai penyampai ajaran, nasihat, alat hiburan,dan penceritaan kisah-kisah sejarah.

• Syair menyampaikan sesuatu yang berat dan mendalam kerana mengemukakan fikiran bercorak falsafah , pengetahuan agama, tamsil, ibarat atau pun nasihat dan puji-pujian.



Ciri-ciri.

• Syair berbentuk tetap, terdiri daripada rangkap-rangkap yang mengandungi empat baris.

• Setiap baris mengandungi empat atau lima patah perkataan dengan jumlah satu kata antara lapan hingga dua belas.

• Rima hujung setiap baris adalah sama aa aa.

• Untuk menyampaikan satu-satu idea atau tema, unit-unit rangkap syair tidak berdiri sendiri tetapi bersambung-sambung dan menjadi satu kesatuan yang sistematik dan berkembang. Oleh itu syair sangat sesuai untuk menyampaikan ajaran, nasihat, cerita-cerita, kisah-kisah sejarah dan sebagainya.

• Harun Mat Piah (1989), syair dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa variasi yang bergantung pada bentuk rimanya, seperti;



i. Dua baris serangkap dengan rima abb dan memerlukan beberapa Rangkap.

ii. Tiga baris serangkap dengan rima aab

iii. Empat baris serangkap dengan rima aa aa

iv. Empat baris serangkap dengan rima ab ab

v. Empat baris serangkap dengan rima aa bb

vi. Empat baris serangkap dengan rima aaab, cccb, dddd dan seterusnya.

vii. Empat bariss seirama (monorhyme)

viii.Empat baris berkait

• Berdasarkan isi dan tema, syair melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita (naratif) dan bukan cerita(bukan naratif). Syair yang berupa cerita seperti syair romantis, syair sejarah, syair keagamaan dan syair kiasan (alegoros). Manakala syair bukan cerita seperti syair agama dan nasihat.



Jenis Syair.

• Kumpulan syair dalam kesusasteraan melayu tergolong dalam beberapa jenis, iaitu;



I. Syair daripada rekaan pengarang yang berisi cerita misalnya syair Bidasari, Syair Dandan Setia, Syair Yatim Nestapa.

II. Syair yang mengandungi cerita atau hikayatlama, misalnya Syair Ken Tambuhan, Syair Darmarwulan, Syair Panji Semirang.

III. Syair mengenai sesuatu peristiwa atau sejarah, misalnya Syair Singapura Terbakar, Syair Himop (menceritakan perang antara Belanda dengan orang China) dan Syair Speelman.

IV. Syair yang bersifat kiasan dan sindiran, misalnya Syair Burung Pungguk, Syair Nuri, Syair Kumbang dan Melati.

V. Syair yang berisi nasihat dan pengajaran agama seperti Syair Perahu, Syair Ibadat dan Syair Kiamat.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, puisi Melayu Tradisional adalah puisi yang amat menarik sekali dan mengandungi banyak unsur nilai dan pengajaran. Dengan olahan gaya bahasa yang menarik, puisi Melayu Tradisional mampu menjadi alat untuk menyindir, menyampaikan pengajaran dan unsur didaktik. Puisi tradisional juga mampu menghibur dan jika diamati dan dihayati, orang dahulu mencipta puisi ini dengan penuh ketelitian dan merupakan ilham daripada kejadian sekeliling. Walaupun ia nampak sangat tradisional dan kedapatan budaya yang ada dalam puisi tradisional itu adalah tidak lagi diamalkan pada zaman sekarang,namun sebagai generasi pewaris, kita sewajarnya tidak melupakan atau meninggalkan tradisi yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang kita ini.

Universiti Pendidikan Sultan Idris


1.0 PERIBAHASA MELAYU
Peribahasa merupakan susunan perkataan yang mengandungi maksud tersirat . Peribahasa juga merupakan satu bentuk alat komunikasi masyarakat pada zaman dahulu dan lahir daripada cetusan fikiran mereka. Walaubagaimanapun, pada zaman moden ini, terdapat juga pelbagai peribahasa yang diubahsuai seiring dengan perubahan zaman. Walaubagaimanapun motif dan tujuan penyampaian peribahasa moden ini adalah lebih banyak bertujuan untuk menghiburkan di samping itu juga turut memberikan pengajaran dan nasihat kepada pembaca yang membacanya.



Peribahasa ini juga adalah digunakan dalam pertuturan untuk menggambarkan

a) Sifat

b) Kelakuan

c) Keadaan



Peribahasa pada zaman dahulu juga seringkali digunakan sebagai alat sindiran yang mengandungi unsur-unsur nasihat. Penyampaian peribahasa pada zaman dahulu juga turut diselitkan dengan unsur nyanyian, disampaikan dengan puisi tradisional yang lain seperti pantun, peribahasa berangkap, syair dan sebagainya. Semuanya ini adalah untuk memberikan keindahan kepada peribahasa tersebut dan menampakkan lagi motif dan juga mesej yang hendak disampaikan dalam peribahasa tersebut.



Beberapa peribahasa yang dikaji seperti di bawah ini iaitu 16 buah peribahasa Melayu lama dan 6 buah peribahasa moden. Kesemua peribahasa ini mempunyai maksud dan keistimewaan yang tersendiri.


2.0 Peribahasa Melayu Lama

Contoh peribahasa yang sering digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu pada zaman dahulu adalah seperti yang terdapat di bawah ini.

1) Hujan emas di negeri orang,

Hujan batu di negeri sendiri

Lebih baik di negeri sendiri.

- Maksud peribahasa ini ialah walau sebaik mana pun tempat orang lain, dan seburuk manapun tempat diri kita sendiri, adalah lebih baik tempat di negeri kita sendiri.



2) Harimau mati meninggalkan belang

Manusia mati meninggalkan budi

- Maksud peribahasa ini adalah kita hidup biarlah berbudi, kerana budi itu

akan sentiasa dikenang orang walaupun kita sudah tiada lagi di dunia ini



3) Bulat air kerana pembentung

Bulat manusia kerana muafakat

- Maksud peribahasa ini ialah permuafakatan adalah sesuatu yang sangat

penting dalam kehidupan kita terutamanya bagi masyarakat yang berbilang

kaum untuk mengeratkan lagi perpaduan.



4) Berdiri sama tinggi

Duduk sama rendah

Bersukat sama paras

- Maksud peribahasa ini ialah memperlihatkan sesuatu yang tiada perbezaan.


5) Besar jangan disangka anak

Kecil jangan disangka bapa

-Maksudnya kepandaian dan kecerdikan seseorang bukannya terletak pada

keadaan fizikal mahupun usianya.

6) Tak lekang dek panas

Tak lapuk dek hujan

- Maksudnya ialah sesuatu adat dan budaya yang masih kekal diamalkan sehingga

ke hari ini walaupun kita pada masa sekarang adalah hidup penuh dengan kemodenan.



7) Guru kencing berdiri

Murid kencing berlari.

- Maksudnya ialah seseorang guru yang gagal menjadi teladan yang baik kepada

anak muridnya.



8) Hendak seribu daya

Tak hendak seribu dalih

- Maksudnya sekiranya kita hendakkan sesuatu itu, kita akan melakukannya dengan

sehabis daya kita, tetapi sekiranya kita tak nak akan sesuatu itu, maka kita akan

membuat sebarang alasan.



9) Kalau asal benih yang baik

Jatuh ke laut menjadi pulau

Maksudnya : Kalau seseorang itu memang orang yang baik, kemana-mana pun dia pergi akan tetap baik juga sikapnya.



10) Setinggi terbang bangau

Akhirnya hinggap di belakang kerbau

Maksudnya: walau sejauh manapun seseorang itu mengembara, dia akan tetap juga pulang ke kampung halamannya



11) Hati gajah sama dilapah

Hati kuman sama dicecah

Maksudnya: Berkerjasama dalam melakukan sesuatu kerja sama ada pekerjaan itu berat atau tidak.



12) Yang dikejar tak dapat

Yang digendong berciciran

Maksudnya : Nasib malang yang menimpa seseorang



13) Cubit paha kanan

Paha kiri sakit juga

Maksudnya : Sekiranya seseorang daripada ahli keluarga susah, seluruh ahli keluarga juga turut merasakan kesusahan tersebut.

14) Harapkan  Pagar ,Pagar  Makan Padi
     Harapkan  padi, padi  tak  berbuah


Maksudnya: seseorang yang diamanahkan untuk melakukan sesuatu rupa-rupanya penyeleweng dan tidak boleh dipercayai.


15)Tak  Tumbuh  Tak  Melata
Tak  Sungguh  Orang  Tak  Mengata
Maksudnya: sekiranya sesuatu itu benar-benar berlaku,pasti ia akan menjadi buah mulut atau perbualan orang.


16)Ke  Bukit   Sama  didaki 
Ke lurah  sama dituruni

Maksudnya: Sentiasa bersama tanpa mengira susah dan senang.



PERIBAHASA MELAYU MODEN

Peribahasa Melayu moden ini adalah merupakan peribahasa yang sudah diubahsuai dan agak mempunyai unsur-unsur humor walaupun pada hakikatnya ia mempunyai pengajaran dan mesej yang tersendiri. Peribahasa moden ini juga mengikut perkembangan zaman. Contoh peribahasa moden ini ialah

1) Seperti mencurah air ke dalam tandas tersumbat

Maksudnya: Orang yang sudah menerima sesuatu walaupun sudah diajar berkali-kali.


2)Biar  Putih Tulang
Jangan  Putih  Muka
Maksudnya: Sekiranya kita adalah anak Melayu, janganlah berhabis daya hendak menjadi Mat Salleh dan seharusnya mengekalkan jati diri bangsa kita sendiri.


3) Setinggi Terbang  Bangau 
 Akhirnya  hinggap  di  atas tahi

Maksudnya : Walau bagaimana jauh sekalipun seseorang itu meninggalkan kampung halaman dan menetap di negara atau tempat orang lain, namun akhirnya dia tetap juga balik ke kampung halamannya yang dianggap tidak seindah tempat barunya.

4) Tiada rotan, pelempang pun berguna juga

Maksudnya : Sekiranya seseorang anak itu tidak dapat mendidik anaknya dengan cara yang lebih hormat disebabkan anak tersebut degil dan tidak mahu mendengar nasihat, namun demikian, cara yang keras juga boleh digunakan asalkan betul dan kena pada tempatnya.

5) Cubit paha kanan

Paha kiri tak ada rasa apa-apa

Maksudnya: Pada zaman moden sekarang, masyarakat tidak mempedulikan tentang hubungan persaudaraan dan sekiranya saudaranya susah sekalipun, dia tidak akan mengambil tahu dan tidak ada perasaan apa-apa.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, peribahasa yang telah dipaparkan ini mempunyai motif dan juga mesej yang tersendiri. Oleh itu, peribahasa Melayu lama misalnya nampaknya lebih indah dan mengandungi nilai estetika yang tersendiri. Oleh itu, kelihatan peribahasa Melayu lama ini mempunyai keindahan yang tersendiri.
Walaubagaimanapun, peribahasa moden juga tidak kurang hebatnya, walaupun ia sebenarnya diubahsuai daripada peribahasa lama dan diselitkan dengan unsur humor yang pastinya akan dapat menarik perhatian pembaca. Hal ini kerana, terdapat juga peribahasa yang pada masa sekarang sudah tidak relevan lagi dengan keadaan masyarakat pada masa sekarang. Contohnya, Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.
Peribahasa ini kurang sesuai digunakan kerana ia menyebabkan masyarakat kita pada masa sekarang kurang keyakinan diri untuk melakukan sesuatu yang dirasakan di luar kemampuan. Dengan itu, masyarakat akan mudah menyerah kalah sebelum mencuba sesuatu. Ada banyak lagi peribahasa yang sudah tidak relevan pada masa sekarang.  Oleh itu, adalah tidak salah sekiranya generasi baru pada masa sekarang menggunakan kekreatifan mereka sendiri untuk mengubahsuai peribahasa tersebut.









;;

Template by:
Free Blog Templates