PERKEMBANGAN PENULIS MUDA DI MALAYSIA: CABARAN DAN MASA DEPAN
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abstrak
Perkembangan penulis muda di Malaysia adalah tidak jauh berbeza dan ketinggalan daripada negara-negara lain seperti Indonesia, Singapura mahupun Negara-negara yang masih teguh menerima bidang kesusasteraan. Melangkah ke abad 21, penulis muda di Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang positif. Namun demikian, apa yang perlu diberi perhatian pada masa ini ialah tingkat kesedaran dan perhatian para penulis muda dalam mengharungi dunia sastera yang kian tenggelam setelah masyarakat leka dan lalai dengan dunia sains dan teknologi. Wacana ini akan meneliti tentang cabaran dan masa depan penulis muda di Malaysia yang banyak berdepan dengan cabaran globalisasi. Para pencinta sastera Melayu akan mempertahankan sastera Melayu sebagai khazanah bangsa tetapi masyarakat pula ramai yang menidakkan kesusasteraan Melayu dalam kalangan masyarakat. Inilah yang menjadi cabaran kepada penulis-penulis muda di Malaysia ini. Penulis-penulis muda perlu membangunkan semula keadaan ini dan menghasilkan karya yang bermutu untuk memberikan keyakinan kepada masyarakat tentang sastera. Penulis- penulis muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seharusnya sentiasa mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menambahkan pengetahuan, pengalaman, kematangan, umpamanya ialah melalui seminar , bengkel, forum dan ceramah yang bersifat ilmu. Mereka juga perlu menguasai seberapa banyak ilmu teori dan kritikan sastera untuk memantapkan lagi hasil karya yang bermutu dan mempunyai nilai keintelektualan.
Pengenalan
Persoalan visi dan harapan akan terus dan sentiasa disodor setiap kali datangnya era baru. Penyataan ini boleh mendatangkan dua konotasi pesanan di mana ia boleh merupakan ingatan tulus ikhlas daripada penulis-penulis mapan tentang tanggungjawab yang harus dipikul oleh penulis baru. Atau boleh juga merupakan sindiran kepada penulis baru yang sering teraba-raba dalam perjuangan, kurang persediaan dan mabuk dengan dunia glamour, ( Hizairi Othman(2006:444)
Dan ramai pula penulis muda baru yang muncul dalam tempoh itu, ianya juga merupakan satu perkembangan yang baik sebenarnya terhadap dunia penulisan di Malaysia. Kemunculan ramai penulis muda baru yang mewarnai jagat kesusasteraan Malaysia pastinya akan lebih menyemarakkan lagi dunia penulisan di tanah air kita. Pelbagai idea dan buah fikiran daripada generasi muda akan dapat digembleng bagi memperkasakan lagi perkembangan sastera dan penulisan pada alaf yang penuh cabaran ini. Orang muda yang masih bertenaga kudratnya dan masih segar serta bernas ideanya pasti dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dunia kesusasteraan lebih-lebih lagi terhadap perkembangan penulisan penulis muda itu sendiri. (Harakahdaily.net).
Dunia Sastera merupakan dunia glamor seperti dunia filem, seni dan muzik yang mempunyai harapan tetapi ia juga mempunyai cabaran dan permasalahannya yang tersendiri yang menimbulkan frust, patah hati dan juga kekecewaan. Sesungguhnya memang banyak penulis yang mengimpikan untuk menjadi penyajak terkenal seperti Usman Awang , dan penulis terkenal seperti Keris Mas dan menjadi Novelis yang disanjung tinggi seperti Shahnon Ahmad. ( Abdullah Hussain: 104:2006).
Pada hakikatnya kita mempunyai bilangan penulis yang ramai dan di bawah ini ialah merupakan fakta yang kita boleh kenalpasti sebagai cermin kepada penulis-penulis di negara kita. (Kassim Ahmad ,527:2006)
1) Kita mempunyai bilangan penulis yang ramai
2) Kita juga mempunyai bilangan penerbit yang ramai
3) Kebanyakkan penulis adalah terdiri daripada generasi muda
4) Pihak pemerintah mengakui taraf dan peranan penulis muda dalam masyarakat
5) Jumlah pembaca yang semakin ramai
6) Keadaan negara dan masyarakat kita telah berubah
Inilah kenyataan yang penting kenyataan- kenyataan penting yang wujud sekarang yang mungkin mempengaruhi fikiran dan peranan penulis kita pada hari ini. Penulis- penulis muda kita hari ini mempunyai tanggungjawab sosial dan satu perjuangan yang dipikul bersama bangsanya untuk menggembeleng fikiran dan tenaga rakyat. Namun demikian tanggungjawab ini seakan-akan tidak timbul pada masa kini kerana kebanyakkan mereka menolak ideologi dan politik . Oleh itu, masalah-masalah dalam penulisan seaka-akan tidak dapat dileraikan dengan begitu sahaja sehingga menjadi cabaran kepada penulis-penulis muda ini.
Usaha memartabatkan sastera sesungguhnya tidak memakan masa lima enam tahun tetapi berpuluh-puluh tahun, misalnya ASAS 50 yang masih dikenang dan nostalgia Anak Alam 1970-an yang masih diigat. Daripada baru dan muda, mereka akan lebih matang, menyumbang dan kemudian mantap.
“Penulis generasi baru hanya boleh gigih berusaha meningkatkan diri, tetapi ekstensi dan sumbangan mereka hanya kukuh apabila karya mereka tahan uji pada mana-mana era, serentak diakui khalayak, birokrat dan para pengkritik sastera”
( Hizairi Othman: 2006)
Perkembangan Penulis Muda
Era Penulis Muda, ialah pada 1980-an yang pada masa itu telah mula bekarya dan hasil mereka telah didedahkan kepada birokrat sastera khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya dan para pengkritik sastera. Polemik berlaku pada masa itu kerana ramai penulis muda yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka tentang penyiaran karya mereka oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun demikian polemik itu lenyap begitu sahaja dan ramai daripada kelompok penulis pada masa itu terus bertahan dan ramai pula yang namanya semakin tenggelam.
Dalam era 1990-an pula, muncul gerakan yang paling jelas oleh Masli N.O menerusi gagasan Sasterawan Generasi Baru. Penulis yang lebih dikenali sebagai penyair dan cerpenis ini mengkategorikan semua penulis yang lahir selepas merdeka sebagai generasi baru yang gaya penyampaian mereka tentunya berbeza dengan gaya penyampaian dan penulisan pada tahun 1950. Pengkaji sastera yang sering mengikuti perkembangan para penulis ini ialah Prof Madya Dr. Othman Puteh yang menamakan gelombang baru penulis baru ini sebagai “ Penjalur Kedua” dengan mempertaruhkan karya-karya yang berbentuk konvensional dan eksperimental sebagai cirri utama. Jalur pertama menurut beliau ialah penulis yang sedia teguh dengan cara tersendiri seperti Anwar Ridhwan, Abdullah Tahir, dan Azizi Abdullah. Karya mereka lebih menjurus kepada multi pendekatan namun demikian sering juga diasosiasikan dengan pemilihan tema dan gaya konvensional. Ia telah menampakkan perbezaan dalam mengutarakan pemikiran, lebih bersifat penerokaan , kadangkala agresif dan memberontak, bergaya baru tidak setakat berbakat alam dan imaginasi tetapi juga menggunakan penyelidikan dalaman.
Sementara penulis terkenal Faisal Tehrani ini menamakan kelompok paling mutakhir ini sebagai “ Angkatan 90-an”. Dalam era 1990-an ini permulaan bibit teknologi maklumat dan prabandar siber telah digunakan dalam hasil karya. Penulis-penulis muda yang mula mengukir nama pada era ini ialah Zaen Kasturi, S.M Zakir, Azmah Nordin yang masih meneruskan daya prolifik sehingga ke hari ini. Berbanding dengan kelompok pertama pada tahun 1980-an yang aktif menghasilkan hasil karya yang filosofikal,absurd dan sering menjadikan tradisi dan agama sebagai tunjang karya. Kelompok kedua pada tahun 1990-an pula lebih sederhana dalam pembawaan mereka dan sering memperkatakan isu-isu yang berat-berat dan sesekali bersifat saintifik di mana hasil karya mereka seringkali disusuli dengan penyelidikan dan karya yang mementingkan ilmu bantu. Ramai yang menggemari karya mereka kerana ia bersifat hiburan dan katarsis yang bijaksana. Tidak kurang pula yang berprinsip karya sastera perlu dominan dan ditolak oleh unsur perasaan bukannya intelektual. Namun kehadiran karya ini sekurang-kurangnya memberikan imej baru terhadap dunia penulisan pada hari ini.
Penulis generasi baru kelompok kedua kebanyakannya berusia dalam lingkungan 20-an. Namun ada juga yang berusia 30-an. Usia begini dapat dikatakan masih muda. Oleh itu tidak hairanlah jika karya mereka yang berpasakkan penyelidikan dengan misi menghasilkan karya ilmu bantu. Pengalaman mereka masih belum mencukupi seperti A. Samad Said yang bangga mempersembahkan karya tentang dunia peperangan dan seperti Arena Wati yang bangga mempersembahkan karya tentang lautnya. Usia yang sebegini muda mungkin masih kuat untuk memerah kudrat dan melakukan perubahan yang dikira semulajadi ini.
Justeru itu. Visi dan harapan seorang penulis barangkali tidak dapat memecah impian dan wawasan semua penulis generasi baru, tetapi diharapkan daripada horizon pertimbangan yang sangat luas itu. Menulis dalam era baru dengan berbekalkan imaginasi tanpa disokong oleh penyelidikan tidak akan dapat menghasilkan karya yang bermutu. Hal ini kerana, pembaca yang kreatif akan memerlukan bahan yang setara dengan pemikiran mereka. Hal ini sudah tentu akan menjadikan sastera lebih mencabar dan menggalakkan pemikiran kritis dan bukannya hiburan semata-mata. Keupayaan ini akan mewujudkan penulis yang lebih rajin dan lebih jauh serta bukan hanya setakat bersaing di peringkat domestik sahaja.( Hizairi Othman,451:2006)
Dalam era siber, penulis 1990-an sudah mula menerapkan penggunaan teknologi dan multimedia dalam hasil karya mereka, terutamanya penggunaan internet. Hal ini termasuklah dengan menggunakan laman peribadi seperti yang terdapat di barat misalnya melalui laman blog atau website sendiri .
Cabaran Penulis Muda Di Malaysia.
Masalah Sosioekonomi
Masalah pertama yang membelenggu penulis muda di Malaysia ialah masalah sosioekonomi sehinggakan penulis-penulis yang baru mencuba berjinak-jinak dengan dunia penulisan berasa patah hati dan pulangan daripada hasil tulisan yang tidak seberapa. Oleh itu, penulis muda pada masa kini selalu mempersoalkan di mana kedudukan mereka dalam masyarakat. Untuk siapa mereka menulis? Semua ini menjadi persoalan dalam diri mereka. Ramai dalam kalangan penulis pada masa ini kurang mendapat galakan dan sokongan dan tidak kurang juga yang mempunyai masalah berkaitan dengan penerbitan dan tidak kurang juga yang ditindas oleh orang tengah. Masalah ini menjadikan semangat mereka untuk menulis semakin luntur dan nama-nama yang baru hendak naik pun lama- kelamaan akan tenggelam.
Ketiadaan Tanggungjawab Sosial dalam Kalangan Penulis Muda
Ketiadaan satu tanggungjawab sosial juga merupakan saru sebab besar mengapa penulis pada hari ini kehilangan haluan dan tenaga. Kebanyakan mereka terdiri daripada penulis-penulis muda yang bergiat secara santai dan hanya mengarang novel popular sahaja. Keadaan ini menyebabkan karya mereka kurang menambat hati pembaca kerana lebih banyak karya yang dihasilkan itu hanyalah sesuai untuk bacaan ringan dan juga kandungannya pula lebih banyak berunsurkan imaginasi dan bukannya kisah-kisah nyata. Pada masa sekarang, para penulis muda perlu bijak dalam menambat hati peminat dengan menghasilkan karya yang bermutu memandangkan masyarakat sekarang sudah bijak menilai hasil karya sastera.(Kassim Ahmad: 530:2006)
A.Samad Said, Latiff Mohiddin, Siti Zainon Ismail dan Arena Wati percaya bahawa kembara seni dan kembara ilmu adalah sangat penting dalam upaya membina diri. Oleh itu kesilapan penulis generasi baru pada zaman sekarang ialah tidak percaya bahawa kaedah ini boleh membantu mereka bergerak lebih maju dalam arena sastera.
Hasil Penulisan Yang Hanya Dihargai Oleh Orang Sastera Sahaja
Setelah sekian lama sastera hanya berperanan dalam kalangan sesama warga sastera sahaja. Warga lain dalam bidang lain hanya memandang bidang ini hanya untuk orang- orang terpinggir. Oleh itu apabila penulis menghasilkan karya sastera, seringkali karya sastera tidak mendapat sambutan. Antara faktornya ialah sistem pendidikan negara yang hanya mengkelaskan pelajar pada usia 16 tahun mengikut aliran. Sastera lazimnya untuk pelajar yang lemah. Hal ini seterusnya mempengaruhi mentaliti masyarakat sehingga tidak mampu membawa mereka melihat sastera dari sisi lain. Apatah lagi apabila wujudnya pelbagai tarikan lain seperti hiburan dan sukan yang mendapat ganjaran lebih lumayan dan priority yang tinggi. Oleh itu, selagi sistem kita tidak diubah, selagi itulah persepsi herot terhadap sastera harus dibuka.
Penulis generasi baru sering menjadi mangsa kepada masalah ini dan harapan mereka untuk naik menjadi penulis terkenal akan tergendala berikutan pandangan masyarakat yang sangat rendah terhadap karya sastera. Oleh itu, penulis generasi baru perlu meminjam kebanggaan daripada generasi dahulu dan antara usaha yang barangkali perlu difokuskan ialah mencalonkan mana-mana sasterawan negara sebagai calon Hadiah Nobel. Penulis baru perlu tahu bahawa kesan positif yang paling ketara hasil daripada tempias teknologi komunikasi terhadap warga sastera ialah globalisasi ilmu apabila apabila fungsi tradisi ilmu iaitu menjana, memperkaya dan menyebarkan ilmu dan informasi menjadi lebih cepat dan efisyen terutamanya menerusi komputer. Bukan sahaja ilmu dapat ditelusuri dan berada di hujung jari, tetapi juga dapat dipecah penulis dan sastera negara di seluruh dunia.
Kelebihan ini bergantung kepada isu ada tidaknya kemudahan yang berkait dengan kesediaan penulis itu melabur sedikit masa untuk masa depannya. Dalam konteks Malaysia, rata-rata penulis baru kini celik komputer dan telah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan terkini untuk memperkembangkan Oleh itu, pada masa kini sastera sebenarnya masih relevan dan menjadi tanggungjawab orang sastera untuk mendidik orang bukan sastera untuk mewarnai bidang sastera agar tidak selalu dipandang rendah.
Kelemahan Teori Dan Kritikan Sastera di Malaysia.
Kelemahan kritikan sastera di Malaysia menyebabkan penulis muda sukar menempatkan diri dalam kalangan penulis yang mendapat sambutan masyarakat. Hal ini kerana ramai pengkritik sastera yang tidak mengkritik hasil karya mereka secara telus dan lebih banyak menjatuhkan daripada membina. Seringkali kritikan lebih kepada untuk kepentingan pengkritik sendiri misalnya mereka yang terlibat dengan ideologi politik, agama dan sebagainya. Tidak dinafikan sememangnya bidang kritikan sastera ini amat diperlukan sebagai perintis kepada perkembangan Kesusasteraan Melayu tanah air, tetapi pembawaan kritikan yang lebih banyak bersifat negatif sudah pasti akan menjatuhkan penulis-penulis baru yang baru mencipta nama dalam arena penulisan tanah air. Seringkali penulis muda menjadi mangsa, oleh itu bagi mereka yang cepat berputusa asa akan hilang begitu sahaja dari dunia sastera dan penulisan.( Yahaya Ismail, 2006:878)
Di samping itu juga, sepuluh tahun kebelakangan ini kritikan Kesusasteraan Melayu dilihat tidak berkembang dan juga tidak mengambil endah tentang kemunculan karya-karya penulis baru. Walaupun pendekatan semakin bertambah namun kepakaran masih belum terjelma. Setiap pengkritik masih kurang memahami dan mendalami pendekatan seperti semiotic, stilistik, formalistik, bandingan, feminism, arketaip dan sebagainya. ( Sahlan Mohd Saman, 329:2006)
Masa Depan Penulis Muda di Malaysia.
Masa depan para penulis muda sesungguhnya adalah terletak pada kesungguhan penulis itu sendiri. Oleh itu, penulis muda yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan mereka sendiri. Pada abad ke-21 ini, prasarana yang yang dibina untuk memajukan sastera serta mengembangkan kesusasteraan Melayu bukan hanya diletakkan pada bahu Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. DBP sememangnya telah bergiat aktif dalam mengembangkan karya –karya penulis-penulis muda. Ribuan judul penerbitan karya asli atau terjemahan telah berada di tengah khalayak dari hasil usaha yang berterusan. Untuk memantapkan lagi, para penulis muda perlu cekal dan gigih dalam memperjuangkan hasil tulisan mereka sama ada bergerak seiring bersama hasil karya mahupun menggembleng tenaga bersama pihak luar. ( Abdul Ghani Othman ,2006: 5)
Masa depan penulis muda juga terletak pada kaedah penyebaran karya sastera. Misalnya pada masa kini, penyebaran melalui multimedia misalnya mampu menjangkau khalayak yang lebih luas, melewati sempadan, geografi dan politik. Melalui penyebaran karya sastera secara mudah dan meluas, sastera kebangsaan akan tetap berfungsi seperti yang kita harapkan. Penulis- penulis muda pada masa sekarang akan mempunyai masa depan yang terjamin sekiranya bersedia membuat perubahan dan pembaharuan dari sigi bentuk dan isi karya mengikut citarasa masyarakat. Penulisan pada masa sekarang haruslah tidak mengikut gerak rasa semata-mata tetapi diselitkan dengan penyelidikan dan juga pengalaman. Hal ini kerana masyarakat pada zaman sekarang sudah pandai menilai dan mengetahui karya mana yang bermutu atau tidak bermutu.( A. Aziz Deraman , 2006:14)
Teori Efek dan Teori Ekspresi dalam Dunia Penulis Muda.
Teori Efek merupakan satu teori yang berkaitan dengan penerimaan orang ramai yang menganggap sastera itu sebagai wadah perhubungan dengan masyarakat. Dalam teori ini jelas menyatakan bahawa masalah penulis muda akan dapat diatasi sekiranya kesedaran timbul dalam diri mereka. Aristotle dan Quantilian mengatakan bahawa tujuan utama sastera ialah menimbulkan tindak balas emosi yang kuat dan akhirnya memberikan kenikmatan. Daripada itulah, penulis muda harus tidak menyerah kalah kerana setiap sumbangan mereka begitu berharga bagi masyarakat.
Bagi teori ekspresi pula, dikaitkan dengan pengarang dan penciptanya. Menurut teori ini, sastera diibaratkan sebagai kebijaksanaan yang dalam, yang diilhamkan oleh Tuhan secara spontan ke dalam diri pengarangnya ketika ia dalam keadaan ekstase.( Abdullah Hussain , 2006:112) . Oleh itu, berpaksikan teori ini, para penulis muda seharusnya tidak mudah berputus asa walaupun mungkin gagal menempatkan diri dalam hati masyarakat pada awalnya. Para penulis muda harus sentiasa berani tampil ke hadapan menonjolkan diri mengangkat bidang sastera agar tidak ketinggalan daripada bidang lain. Para penulis muda perlu sedar bahawa sastera berperanan besar dalam masyarakat bukan sahaja sebagai bahan bacaan yang menambahkan pengetahuan tetapi sebagai bimbingan dalam kehidupan seharian.
Kesimpulan
Dalam memperjuangkan kesusasteraan Melayu, tugas penulis muda amatlah besar dan peranan mereka dalam mengubah mental dan pemikiran masyarakat juga amat diperlukan. Penulis muda pada zaman sekarang haruslah mencotohi masyarakat Barat yang begitu mengagungkan Kesusasteraan. Dalam hal ini, hasil karya yang dihasilkan haruslah dijadikan sebagai wadah penyampaian mesej yang membantu dalam pembangunan rohani, fikiran, peribadi dan keperibadian bangsa. Tidak dinafikan memang banyak halangan dan juga cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh penulis-penulis muda sama ada cabaran dari dalaman dan juga luaran.
Namun para penulis muda seharusnya tidak menyerah kalah dan patut memikirkan masa hadapan mereka dalam mencorakkan sastera tanah air. Pelbagai aspek dalam kesusasteraan Melayu yang harus diperbaiki. Misalnya dunia kritikan sastera Melayu yang haruslah dipergiatkan dengan lebih aktif. Di samping itu juga, penulis muda perlu membuat seberapa banyak penyelidikan tentang hasil karya dan juga penerimaan masyarakat terhadap hasil kerja mereka. Dengan ini mereka akan dapat bersaing di peringkat global dan bersama-sama mengangkat martabat sastera Melayu setanding dengan negara lain.
1 comments:
salam, penulisan yang sangat menarik. Harap dapat letak sumber atau senarai rujukan... Terima kasih. :)
Post a Comment