Perkembangan Kesusasteraan Di Nusantara( Malaysia, Brunei ,Singapura dan Indonesia)
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abstrak
Bidang sastera di nusantara pada dasarnya tidak kurang hebatnya daripada bidang lain di negara-negara Nusantara. Perkembangan sastera Nusantara dari awal kewujudannya sehinggalah ia merentas era globalisasi seperti pada masa kini. Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia merupakan negara yang masih bergiat aktif dalam memperkembangkan dunia sastera walaupun tidak dapat dinafikan banyak kekangan yang menjadi cabaran kepada penulis-penulis pada masa kini misalnya kekangan dari segi ekonomi, perkembangan teknologi maklumat yang menyebabkan sastera kurang mendapat perhatian,kelemahan dalam dunia kritikan sehinggakan ramai dalam kalangan penulis yang menulis tanpa sebarang penilaian daripada pengkritik-pengkritik sastera. Di hadapan kita misalnya merupakan zaman teknologi maklumat yang penuh dengan cabaran dan juga perlumbaan. Dengan adanya teknologi maklumat yang canggih serta maklumat yang hanya di hujung jari ini, para penulis sastera juga kian giat menjalankan penyelidikan untuk memperkembangkan hasil sastera mereka. Oleh itu tidak hairanlah jika hasil sastera pada zaman sekarang diadaptasikan menjadi filem dan skrip drama dan ternyata hasilnya juga begitu memberansangkan. Meskipun pada akhir abad ke -20 ini negara Asia mengalami kemerosotan ekonomi yang menggoncang kestabilan politik dan sosial namun para sasterawan sentiasa peka terhadap perkembangan ekonomi ini dan sentiasa bersifat universal terhadap apa jua keadaan.
Pengenalan
Pemahaman kita tentang sastera atau karya sastera pasti akan menampilkan gambaran sesuatu yang dalam bentuk tulisan. Karya sastera yang dipamerkan mungkin berupa puisi,cerita pendek, novel, bahkan nashkah drama. Oleh itu, pemikiran kita sering disogokkan bahawa sastera itu adalah sesuatu yang sempit. Perkembangan sastera pada masa kini dikaitkan dengan persaingan sastera dengan bidang-bidang lain misalnya seni, muzik, sains dan juga bidang-bidang lain.
Di negara kita, seperti yang kita saksikan, dunia sastera kian tenggelam dibawa arus zaman. Masyarakat seolah-olah memandang rendah terhadap para penggiat sastera. Hal ini kerana, masyarakat pada zaman ini suka menganggap sastera tiada masa depan, sedangkan pada dasarnya orang sasteralah yang membangunkan negara. Corak pimpinan negara lebih banyak dipengaruhi oleh orang-orang sastera. Di Indonesia misalnya begitu mengagung-agungkan Kesusasteraan Melayu. Sehinggakan banyak hasil sastera mereka dijadikan filem dan dapat menembusi pasaran tempatan dan luar negara.
Sastera di tiga buah negara ini masing-masing bersaing dengan perkembangan teknologi yang kian pesat sehinggakan masyarakat pada masa kini jarang mencari buku dan membacanya. Masyarakat pada masa kini lebih teruja duduk di hadapan komputer untuk bermain game, membuka laman web sosial seperti facebook, friendster, tagged dan sebagainya daripada menghabiskan masa membaca buku-buku dan hasil karya sastera yang lain.
Oleh itu beranjak ke abad ke- 21 ini kita menyaksikan bahawa sastera di negara kita kian tenggelam. Dalam aspek kajian saya kali ini, saya menyelidiki tentang perkembangan Kesusasteraan Melayu di Nusantara iaitu di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Perkembangan Kesusasteraan Melayu di tiga buah negara ini pada dasarnya sudah bermula sejak tahun 1920-an lagi. Indonesia misalnya antara tamadun Melayu terawal yang mula memperkenalkan Kesusasteraan Melayu ini. Oleh itu, lahir ramai tokoh-tokoh sastera terkenal seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin Al Sumatrani, dan ramai lagi. Perubahan dari lisan ke tulisan ini semata-mata untuk menyangkut bentuk penyampaian. Hakikatnya sastera itu sendiri memang tidak mengalami perubahan. Yang berubah hanyalah yang tersurat ( Hassan Alwi:2006:19)
Sastera di Malaysia juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan sastera di negara lain. Ditambah lagi dengan perkembangan era teknologi maklumat pada masa kini. Perubahan yang baru dari segi bentuk dan isi kini lebih menampakkan perubahan yang positif berbanding dengan sastera pada masa sebelum ini. Para penulis Malaysia kini semakin peka dalam membuat pembaharuan. Prasarana yang dibina untuk mengembangkan kesusasteraan Melayu kebangsaan juga semakin giat dijalankan. Kini Bahasa Melayu telah menjadi Bahasa moden di dunia. Namun terdapat juga kelemahan yang masih tidak dapat diubah dalam dunia kesusasteraan di Malaysia ini. Misalnya, sikap segelintir penulis kita yang terlalu mudah berputus asa. Begitu juga dengan dunia kritikan di negara kita pada masa kini yang masih terlalu lemah menyebabkan sastera tidak dapat bersaing di peringkat global. Ramai pengkritik yang hangat-hangat tahi ayam sahaja dan
Sementara bagi sastera Brunei pula, turut menampakkan perkembangan . Bermula daripada karya Yura Halim iaitu Pengiran Bendahara Menjadi Sultan, Brunei terus melebarkan sayapnya sehingga menghantar karya mereka ke Sarawak untuk diterbitkan oleh Borneo Literature Bureau yang pada masa yang sama turut menerbitkan karya Muslim Burmat. Pada masa sekarang Brunei masih giat mengembangkan karya sastera mereka dan juga memperkembangkan Bahasa Melayu.( Abdul Hakim Mohd Yassin 2006:42)
Perkembangan Sastera di Malaysia
Perkembangan sastera di Malaysia pada abad ke -21 ini adalah seiring dengan perkembangan bidang-bidang lain di Malaysia. Pembangunan dan pemodenan Kesusasteraan Melayu menjadi bertambah jelas pada abad ke-21 ini. Perkembangan dalam bahasa dan persuratan ini telah memesatkan lagi alam persuratan Melayu. Bentuk-bentuk sastera Barat seperti cerpen, drama, sajak, esei dan kritikan telah diperkenalkan di Malaysia. Hal ini telah menjadi bentuk ekspresi sastera di Malaysia pada masa kini. Keadaan ini telah mengukuhkan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa Sastera. Kemunculan genre novel pada tahun 1920-an seperti Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Syeikh Al- Hadi, Kawan Benar oleh Ahmad Rasyid Talu, cerpen kecelakaan pemalas oleh Nor Ibrahim (1920) serta juga genre puisi iaitu Angan-angan dengan gurindam oleh Omar Mustaffa telah menandakan wujudnya kesusasteraan nyata dalam Kesusasteraan Melayu.
Hasil sastera lama yang hanya mewakili zaman lampau mulai ditinggalkan. Masyarakat yang susah terdedah kepada berita-berita semasa melalui akhbar dan majalah, tidak berminat lagi dengan dunia dan alam fantasi. Namun demikian perubahan yang berlaku adalah secara tidak mendadak tetapi sedikit demi sedikit. Pada dekad 1950 pula telah dibentuk dan ditubuhkan ASAS 50 yang menemukan hasil karya yang lebih meyakinkan. Karya yang dicipta oleh golongan sasterawan pada era ASAS 50 di Singapura dan lebih menyerlah kekuatan isi dan bentuknya. Genre puisi dan cerpen pula lebih menonjol pada ketika itu. Para sasterawan lebih didokong oleh slogan Seni Untuk Masyarakat yang memperjuangkan perubahan masyarakat hasil karya sastera. Golongan yang tertindas dipaparkan secara nyata dalam cerpen dan puisi. Kesusasteraan pada masa itu menjadi sebahagian daripada wahana yang meniupkan semangat dan kesedaran rakyat dalam menuntut kemerdekaan.
Dalam dekad 1960-an pula, era selepas Malaysia mencapai kemerdekaan(1957) telah menggambarkan pertumbuhan pesat kesusasteraan Melayu dalam semua genre. Pada masa itu penulisan dan penerbitan novel amat menyerlah, di samping puisi dan cerpen melalui akhbar dan juga majalah serta drama. Dalam hal ini, para penulis telah merekamkan semangat negara baru yang sedang membangun. Terdapat juga kritikan terhadap para pemimpin , politik dan pentadbir yang tidak menunaikan janji dan tanggungjawab yang diamanahkan. Pada masa ini usaha mendaulatkan Bahasa Melayu kian giat dijalankan dan dipergiatkan secara besar-besaran oleh kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Tumpuan kepada usaha mengembangkan kesusasteraan Melayu belum dilakukan secara bersungguh-sungguh .
Sementara itu, pada dekad 1970-an pula, telah bermula era baru dalam sastera Melayu yang menekankan kepada usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan suku bangsa. Pada masa ini Dasar Ekonomi Baru(DEB) telah mula diperkenalkan dan bertujuan untuk membasmi kemiskinan dalam bidang ekonomi yang dilancarkan, pelbagai dasar baru telah digubal dan dasar-dasar utama telah ditegaskan kembali. Dekad 1970-an adalah merupakan dekad yang sangat penting kepada perletakan asas pembinaan kesusasteraan kebangsaan di Malaysia.
Pemilihan kesusasteraan berbahasa Melayu sebagai kesusasteraan berbahasa Melayu sebagai kesusasteraan dan bahasa Melayu pula sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, Kongres Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah ditakrifkan sebagai hasil-hasil karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dan isi kandungannya haruslah berlatar belakangkan kehidupan masyarakat di Malaysia. Rumusan kongres ini memberikan gambaran yang jelas tentang perkembangan kesusasteraan Melayu sebagai kesusasteraan kebangsaan.
Pada dekad ini, DBP telah mewujudkan Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera dan organisasi pengarang pula bersatu di bawah Gabungan Penulis Nasional(GAPENA) sehingga kegiatan-kegiatan sastera semakin berkembang. Pelbagai peraduan, seminar, bengkel, diskusi , forum,persidangan dan penerbitan kian rancak dijalankan. Dalam tempoh tiga dekad ini ternyata hasil kesusasteraan kebangsaan berkembang bukan sahaja dalam kalangan penulis bahkan bahasa Melayu juga turut berkembang dan banyak karya-karya bermutu yang dihasilkan. (A. Aziz Deraman.2006:13)
Pada abad ke 21 ini dunia sastera di Malaysia kian berubah wajah ekoran daripada kemunculan teknologi maklumat. Penulis pada abad ke-21 ini adalah antara penulis yang mahir menggunakan teknologi maklumat. Oleh itu, tidak hairanlah sastera berkembang mengikut peredaran masa. Ramai dalam kalangan penulis yang mengembangkan hasil karya mereka sama ada melalui laman web sendiri mahupun melalui blog dan juga lain-lain. Pengarang-pengarang juga sudah tampil menghasilkan karya secara online misalnya e-novel, e-sajak, cerpen online dan sebagainya kini boleh didapati di laman web berkaitan. Hal ini menjadikan sastera bukan hanya dikenali di Malaysia sahaja. Bahkan di seluruh negara di dunia ini dengan jaringan yang tanpa sempadan.
Penterjemahan karya sastera dalam pelbagai bahasa juga kian dijalankan. Di samping itu turut dijalankan juga penyelidikan tentang sastera di seluruh dunia. Penulis pada abad ke-21 ini tidak lagi hanya berimaginasi sendiri dalam menghasilkan karya mereka. Mereka sudah tahu mengenalpasti karya yang menjadi kesukaan masyarakat pada era baru ini. Oleh itu, ramai dalam kalangan penulis di Malaysia membuat penyelidikan sehinggakan sanggup merantau ke negara-negara lain untuk mendapatkan maklumat. Antaranya ialah Faisal Tehrani, A. Samad Said, Muhammad Hj Salleh dan ramai lagi yang sudah sebati dengan karya-karya yang digaulkan dengan pengalaman mereka semasa merantau ke negara orang.
Namun begitu, tidak dinafikan juga ada beberapa kelemahan dalam kalangan penulis di Malaysia apabila penulis- penulis di Malaysia kurang bergiat aktif dalam seminar, bengkel dan juga aktiviti-aktiviti dalam komuniti sastera itu sendiri. Bahkan kelemahan penulis pada era baru ini ialah apabila mereka menghasilkan karya yang kurang bermutu menerusi laman web masing-masing sehinggakan telah mencemarkan bahasa Melayu dan menyebabkan masyarakat berpandangan negatif terhadap hasil karya sastera. Suara-suara yang menganggap sastera telah terpinggir pada zaman global haruslah dipinggirkan penulis muda khasnya haruslah bekerjasama dalam memperkembangkan sastera.
Perkembangan Sastera di Brunei
Brunei antara negara Melayu di Nusantara yang aktif dalam menghasilkan karya sastera yang bermutu. Dewan Bahasa dan Pustaka di Brunei antara yang menonjol dalam menerbitkan karya-karya daripada penulis-penulis di Brunei. Perkembangan sastera di Brunei dalam beberapa genre seperti novel, cerpen, sajak dan sebagainya ini dimulakan oleh penulis-penulis Brunei pada awal tahun 1920-an. ( Abdul Hakim Hj Mohd Yasin.2006:42)
Misalnya perkembangan novel, yang melahirkan penulis novel yang terkenal seperti Muslim Burmat yang sering dibicarakan sebagai penulis terbaik di negara Brunei. Antara novel- novel yang menaikkan nama beliau ialah Lari Bersama Musim, Puncak Pertama, Dari Sini Kita Bermula dan banyak lagi. Selain Muslim Burmat\, mereka yang aktif menghasilkan karya berbentuk baru ( avant-garde) . Tidak ketinggalan juga Md. Salleh Abd Latiff dengan antara lainnya. Elemen yang seterusnya menjadi kebanggaan negara Brunei ialah puisi sama ada puisi tradisional mahupun puisi moden. Puisi lama misalnya syair yang menjadi media yang berkesan kepada penyair Diraja Muda Omar Ali Saifuddien. Baginda telah menghasilkan tidak kurang daripada 7 buah syair dan yang lebih terkenal ialah Syair Perlembagaan Negeri Brunei . Sementara itu, antara penulis sajak Brunei yang terkenal ialah Yahya M.S, Adi Rumi Badaruddin atau Yura Halim. Ramai dalam kalangan penulis-penulis Brunei yang menerima hadiah dan pengikhtirafan berikutan hasil karya yang dihasilkan oleh mereka. Antara pengikhtirafan dan anugerah yang diterima ialah S.E.A Write Award dan anugerah yang diberikan oleh negara Thailand.
Sementara dalam drama pula, Brunei banyak menghasilkan drama berbanding dengan sajak dan cerpen. Antara penulis drama Brunei yang prolifik ialah A. Rahman Yusof. Kumpula Kiambang Bertaut beliau telah dipilih menerima anugerah S. E. A Write Award Selain itu juga, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan antologi drama bersama hasil 3 orang pemenang penghormatan dan 4 orang penerima saguhati dalam Peraduan Menulis Drama Pentas sempena kemerdekaan negara Brunei.
Sementara bagi esei dan kritikan pula, Dewan Bahasa dan Pustaka menyediakan majalah, jurnal dan buku untuk memuatkan esei/kritikan. Setakat ini baru dua buah buku kritikan sastera berhasil diterbitkan iaitu Sekitar Kritikan Sastera Melayu Brunei. Buku ini merupakan antologi yang dipetik daripada majalah Bahana. Buku kedua pula telah diterbitkan pada tahun 2000.
Di samping itu juga, penulis-penulis Brunei bertuah kerana banyak sokongan daripada pertubuhan dan juga jabatan tertentu di Brunei. Ditambah pula dengan kemajuan teknologi maklumat yang menggalakkan perkembangan laman web dan perisian bahasa Melayu yang sangat menggalakkan. Namun demikian di Brunei, peranan material atau bahan bahasa dan sastera yang berbentuk buku, majalah, suratkhabar dan seumpamanya yang masih berfungsi dan mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, perkembangan teknologi maklumat digunakan secara baik dan bermanfaat di Brunei hanya ianya belum digunakan lebih meluas. Langkah untuk mempromosikan hasil karya melalui internet juga kian giat dijalankan di Brunei.( Hashim Abdul Hamid .2006:32)
Perkembangan Sastera di Singapura
Perkembangan sastera adalah melibatkan beberapa faktor iaitu sama ada faktor sekunder mahupun faktor dasar. Di Singapura misalnya perkembangan dunia penulisan adalah sama dengan negara-negara Melayu di Nusantara yang lain. Kemunculan sasterawan Singapura selepas penubuhan ASAS 50 pada tahun 1950 , adalah menjadi tunjang kepada para penulis –penulis muda Singapura .Kemudian pada tahun 1970-an pula, ramai penulis yang menceburkan diri secara serius dalam duia sastera contohnya, Suratman Markasan, . A. Ghani Hamid dan lain-lain.
Dalam tahun 1980-an pula, hadir sasterawan muda yang menggelar kumpulannya dengan nama KUPUJA( Kumpulan Puisi Remaja) dan lahirlah penulis muda yang berbakat seperti Roslan A. Razak dan Nur Effendi Badrun. Kemudian KAMUS( Kumpulan Angkatan Muda Sasterawan telah mengemukakan sasterawannya seperti Mustafa Mohamad, A. Khalid Mohd Lani dan 15 orang sasterawan yang lain. Sementara pada tahun 1990-an pula 154 orang yang terdiri daripada sasterawan pelbagai zaman iaitu dari penulis pada ASAS 50 sehinggalah kepada penulis-penulis mutakhir.
Kajian menunjukkan bahawa Singapura menjadi pusat kegiatan seni, sastera dan penerbitan, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua. Di Singapuralah P. Ramlee memartabatkan filem dan lagu Melayu untuk khazanah bangsa dan di pulau tersebut juga lahirnya beberapa badan penerbitan, akhbar serta sebuah persatuan sastera ketika itu. Namun keadaan tersebut telah berubah sejak Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan semakin berubah setelah Singapura menjadi negara berdaulat dan merdeka pada tahun 1995.( Rasiah Halil,125:2006). Namun demikian seperti yang diketahui pada tahun 1965, di mana pada masa itu wujud ramai penulis-penulis terkemuka seperti Harun Aminurrashid yang merupakan novelis dan penyajak yang sangat terkenal pada masa itu. Semasa dan selepas perang dunia kedua pula, Mahsuri N.S , Salam, A. Ghani Hamid dan ramai lagi masih lagi aktif menghasilkan puisi pada masa itu.
Keadaaan ini kemudian berubah pada tahun 1970 khususnya bidang puisi di Singapura. Sastera Melayu di Singapura terus hidup sehinggga kini walaupun sesekali tenggelam namun penyair dan penulis di Singapura akan tetap ada dari semasa ke semasa. Salah satu sebab kerancakan sastera pada tahun 1970 ialah disebabkan wujudnya akhbar Berita Harian yang selalu menjadi wadah penyampaian karya sastera di Singapura. Melalui akhbar dan risalah pada masa itu, kepelbagaian sastera dan pandangan mengenainya semakin digilap.
Pada tahun 1980-an pula terdapat beberapa kumpulan sastera yang masih bergiat lagi tetapi kerancakan sastera Melayu Singapura masih tidak sehebat pada tahun 1970-an. Pada tahun 1990-an pula muncul sebuah sebuah lagi kumpulan bergelar “ Nadwah”. Ia juga dianggotai oleh Suraidi Parjo, Djamal Tukimin, Mohd Naim Daipi, Isa Kamari dan ramai lagi. Tahun 1990-an juga menyaksikan kemunculan sebuah kumpulan peminat dan penggiat sastera remaja. Setelah wujudnya ruangan coretan remaja ini yang terdiri daripada Syafiq Selamat , Normala Md Yusope, dan lain-lain telah menganjurkan kegiatan sastera dan perbahasan untuk golongan remaja Singapura.
Pada abad ke-21, di Singapura kian berkembang dalam bidang sastera namun tidak dapat dinafikan ada juga masalah yang tidak dapat dielakkan antaranya ialah kurangnya penampungan bagi hasil karya-karya penulis Singapura, kecuali ruangan sastera Berita Minggu Singapura dalam ruangan remajanya. Di samping itu, penerbitan dalam bentuk buku juga kurang diselarikan. Selain itu juga, kecanggihan teknologi maklumat juga banyak mengubah dunia sastera Melayu. Hal ini membawa kepada satu jalinan hubungan yang lebih erat dan mantap antara penulis-penulis nusantara. Oleh itu, dalam alaf baru yang serba mencabar ini, penulis Singapura tidak pernah mundur dan meneruskan langkah mereka walaupun banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka.
Perkembangan Sastera di Indonesia
Dunia kesusasteraan di Indonesia mula berkembang sejak 1920-an lagi berikutan lahirnya ramai ulama-ulama Islam pada ketika itu yang memperjuangkan agama Islam menerusi hasil karya mereka. Antaranya ialah Abdul Rauf Singkel, Shamsuddin Al- Sumatrani, Hamzah Fansuri yang terkenal dengan syair perahu, dan ramai lagi. Selepas itu Indonesia terus memperjuangkan hasil kesusasteraan di negara mereka. Pada tahun 1930-an dunia kesusasteraan di Indonesia sedikit tenggelam berikutan ramai penulis yang tidak menulis lagi.
Pada era 1940-an pula, kesusasteraan di Indonesia kembali menyerlah. Selama waktu itu, banyak majalah yang dihasilkan dan memuatkan banyak genre sastera seperti, puisi, cerpen, dan sebagainya. Namun demikian pad a era 1960-an, kegemilangan sastera di Indonesia telah jatuh berikutan mula dibangunkan TVR1, iaitu stesen televisyen milik pemerintah Indonesia. Hal ini menyebabkan masyarakat teruja dengan siaran televisyen tersebut lalu sastera dilupakan. Sementara itu, pada tahun 1970-an pula, terdapat banyak stesen radio swasta yang ditubuhkan dan dari itu bermulanya perubahan yang besar melanda dunia kesusasteraan di Indonesia. Kebiasaan membaca yang terbina sebelumnya telah diganti dengan keseronokan menonton televisyen dan mendengar radio.( Hasan Alwi.26:2006)
Namun demikian, penerimaan karya sastera menunjukkan perkembangan pada tahun 1980-an. Kemajuan dalam teknologi dan informasi telah menjadi wadah penyampaian bahan-bahan sastera di Indonesia. Pada masa itu banyak drama-drama hasil karya penulis-penulis Indonesia disiarkan di dalam radio-radio swasta dan tempatan sehingga menambahkan lagi minat membaca hasil karya sastera di Indonesia. Kemudian pada Alaf 21 ini, di Indonesia kini semakin gemilang dari segi karya sastera. Banyak novel-novel di Indonesia yang diadaptasikan menjadi filem terutamanya novel kemanusiaan dan keagamaan. Contohnya ialah novel Laskar Pelangi, Ayat-Ayat Cinta dan banyak lagi yang menjadi filem terkenal bukan sahaja di Indonesia, tetapi berjaya menembusi pasaran luar negara.
Pelbagai langkah murni telah dipergiatkan di Indonesia untuk meningkatkan kecemerlangan dan kegemilangan sastera di Indonesia. Antaranya ialah, bengkel sastera yang diikuti oleh pelajar sekolah menengah, pertemuan sasterawan yang secara tidak langsung menemukan pelajar dan guru dengan sasterawan di negara itu. Keadaan ini memberikan kesempatan kepada guru dan murid untuk berbicara secara bersemuka sendiri dengan para sasterawan tersebut.
Dalam pada itu juga, majalah “ Kakilangit” yang merupakan majalah sastera yang memberikan manfaat kepada para pelajar dan ianya diterbitkan setiap bulan untuk memberikan pemahaman pelajar terhadap dunia kesusasteraan Melayu. Dijalankan juga Sayembara Mengarang cerita pendek atau esei sastera di Indonesia yang menawarkan banyak hadiah menarik telah mampu memupuk minat para siswa SMU di Indonesia. Di Indonesia juga diadakan bulan sastera pada setiap tahun selama sebulan di bulan Oktober. Pelbagai kegiatan yang menjurus ke arah sastera telah dibuat pada bulan ini.
Kesimpulan
Perkembangan kesusasteraan di Nusantara dilihat masih lagi relevan dan memberansangkan meskipun tidak dapat kita nafikan bahawa ia juga semakin kurang diminati masyarakat berikutan banyak hiburan daripada sumber teknologi dan multimedia pada masa kini yang banyak memesongkan pemikiran masyarakat sehingga mengabaikan bahan-bahan karya sastera. Namun demikian, dalam merintis era globalisasi ini juga, para penulis sudah pandai menggunakan kemudahan teknologi maklumat ini untuk berkarya misalnya menghasilkan e-novel, e-sajak, kritikan sastera dan pelbagai jenis genre sastera di alam maya. Hal ini sedikit sebanyak telah memperkembangkan sastera bukan sahaja di dalam dunia nusantara bahkan di seluruh dunia. Namun begitu, sebagai penggiat sastera,para penulis perlu bekerjasama dengan para pengkritik untuk memperkembangkan dunia kesusasteraan ini. Kedua-dua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menambat hati masyarakat supaya sastera ini tidak dilupakan.
1 comments:
sumber rujukan? abdul hakim haji mohd yasin?
Post a Comment