Klik Jangan Tak klik!

Followers

Monday, November 22, 2010

Sastera Islam dan Sejarahnya


Pengenalan.
 Peradaban Islam telah memberikan banyak kesan dan pengaruh terhadap manuskrip lama.  Kedatangan Islam ke Nusantara misalnya telah menambahkan hasil kesusasteraan Melayu yang ditulis dalam manuskrip lama.  Para pengkaji Barat telah menggolongkan semua hasil penulisan zaman Islam di Nusantara sebagai hasil sastera. 

Kedatangan pengaruh Islam telah banyak menyebabkan wujudnya kitab-kitab yang berkaitan dengan Islam yang menjadi akidah dan syariat penganutnya.  Misalya, Tafsir Al-Quran, Usul Agama Islam, Hukum Islam, Hukum Haji dan sebagainya.  Di samping itu, terdapat cerita atau hikayat yang disadur daripada Arab dan Parsi seperti Hikayat Zulkarnain, Hikayat Isma Yatim, Hikayat Kalilah  wa-Daminah, Hikayat  Muhammad Hanafiah dan sebagainya.  Selain itu juga, terdapat naskhah atau manuskrip lama yang bercorak ketatanegaraan seperti Sulalalatus Salatin, Tajul Salatin dan Bustanus Salatin (Mat Jani Hassan, 1998 :100)

            Sebelum munculnya zaman Islam, pengaruh Hindu telah muncul dalam penganut Islam sehingga banyak hasil karya sastera yang berunsurkan Hindu Islam dihasilkan. Dengan  itu, terdapat pengubahsuaian unsur-unsur Hindu kepada unsur-unsur Islam.  Para pengkaji sastera berpendapat bahawa pengubahsuaian itu terdapat pada nama-nama dalam jampi, mantera dan serapah yang telah berganti dengan nama-nama berunsur Islam.  Misalnya nama-nama seperti Vishnu dan Siva diganti dengan nama-nama seperti Saidina Ali atau Nabi Sulaiman. 

            Di samping itu juga, di dalam  hikayat-hikayat yang dihasilkan pada zaman Islam juga turut mengekalkan unsur-unsur kehinduan tetapi nama wataknya telah ditukar dengan nama yang bercirikan Islam.  Misalnya, nama-nama Candera Kirana diganti dengan nama Cendera Noor Lela dan Maharaja Bikrama Indera Dewa diganti dengan nama Paduka Sri Sultan Putera Jaya Pati.  Nama-nama tokoh Islam juga terbit dalam hasil kesusasteraan. Nama Nabi Adam, Nabi Sulaiman dan Iskandar Zulkarnain telah dimasukkan dalam hasil kesusasteraan Melayu terurtamanya dalam cerita penglipur lara dan cerita binatang.  Contohnya dalam Hikayat Seri Rama versi Melayu terdapat Nabi Adam berdoa kepada Allah (Mat Jani Hassan, 1998 :126).


2.0       Kedatangan Islam dan Dinamika Perubahan Zaman Hindu Ke Zaman Islam dalam Sastera Tradisional di Alam Melayu.

Kedatangan agama Islam ke alam Melayu telah mengubah  sastera di alam Melayu daripada pengaruh Hinduisme kepada pengaruh Islam.  Walaubagaimanapun, terdapat unsur-unsur Hindu yang masih dikekalkan walaupun pengaruh Islam mula menapak di Tanah Melayu.  Misalnya, terdapat pengaruh  Hindu yang masih ada dalam hasil karya penulis-penulis walaupun diganti dengan kedatangan Islam.  Pada peringkat awal perkembangan sastera Islam adalah melalui lisan kemudian disalin ke dalam buku.  Karya- karya yang dihasilkan pada zaman Islam telah diubahsuai dengan sifat-sifat keislaman  sesuai dengan prinsip dan pemikiran Islam. Oleh itu, ciri sastera zaman peralihan ini ialah terdapatnya kombinasi unsur atau campuran antara unsur Hindu dan Islam.

            Peralihan zaman sastera Hindu ke zaman Islam adalah kerana keistimewaan yang terdapat dalam kesusasteraan itu sendiri[1].  Antaranya ialah, kesusasteraan Islam mementingkan hubungan realiti dan imiginasi dalam kreativitinya. Ini merupakan paralisme dengan motif sastera.  Di samping itu juga, sastera Islam dilihat sebagai karya yang mampu menggambarkan kelemahan dan kekuatan kehidupan.  Islam juga memandang berat terhadap gaya bahasa supaya dapat mengekspresikan idea yang berkesan. Sementara dalam menyampaikan objektifnya pula, Islam tidak menggalakkan cara-cara yang menggunakan kekerasan dan haruslah mencontohi al-Quran(Mana Sikana, 2003 : 87).

            Perkembangan peradaban Islam dalam bidang kesusasteraan Melayu lama adalah kerana adanya Al-Quran membawa dan mengajarkan tradisi bertulis dan menyumbangkan tulisan Jawi yang digunakan dalam manuskrip lama. Al-Quran adalah bertujuan mengajar orang bertakwa sekaligus menegaskan konsep Islam itu supaya berbakti kepada Allah.  Oleh itu, para pengkaji telah membahagikan zaman kecemerlangan sastera di alam Melayu selepas kedatangan agama Islam kepada tiga bahagian iaitu, zaman Samudera-Pasai, Zaman Melaka dan Zaman Acheh.
3.0  Sebab dan Kesan Peradaban Islam dalam Manuskrip Melayu Lama di Tanah Melayu. 

Meluas dan mendalamnya kesan kedatangan Islam terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu tidak mungkin terjadi tanpa sebab-sebab tertentu.  Sebab pertama yang mempengaruhi peradaban Islam dalam kesusasteraan Melayu adalah kerana agama Islam mengizinkan penghasilan karya sastera yang bersifat positif.  Kedua pula ialah kerana kecekapan para da’i Islam dalam menggunakan hasil-hasil kesusasteraan sebagai hasil dakwah mereka.  Ketiga pula ialah kesediaan orang-orang Melayu untuk menerima hasil-hasil baru yang disalurkan atas nama kebajikan agama. Kesan keseluruhan daripada keadaan ini ialah perhubungan yang rapat antara suara keagamaan dan corak kesusasteraan .

            Salah satu manifestasi daripada revolusi pemikiran dan budaya ini ialah hasil-hasil kesusasteraan yang dilahirkan oleh masyarakat Melayu yang menganut agama Islam. Oleh itu ramai tokoh yang berpendapat bahawa zaman setelah Islam sehingga kedatangan penjajah Inggeris dan Belanda pada akhir kurun ke-19, adalah merupakan zaman kegemilangan kesusasteraan bercorak Islam.  Kebanyakan khazanah manuskrip yang dikumpul pada abad ke-19 dan abad ke-20 terakam dalam bentuk manuskrip ini diusahakan oleh agensi-agensi ilmu dan orang perseorangan. Oleh itu sebahagian besar daripada koleksi manuskrip itu adalah merupakan hasil karya di zaman Islam[2].

            Selain itu juga, dalam kesusasteraan Melayu lama juga,pelbagai hasil karya telah dihasilkan akibat pengaruh daripada kedatangan Islam ke tanah Melayu.  Antara hasil karya yang ada ialah syair agama, syair adab, syair hikayat, ghazal, nazam dan sebagainya.  Hasil kesusasteraan prosa pula ialah semakin dipelbagaikan dengan memperkenalkan jenis-jenis prosa baru seperti karya kitab, karya adab, salatin, hikayat-hikayat dan pelbagai karya-karya yang lain.

            Dari sudut struktur sebagai contoh, karya-karya bercorak hikayat berbingkai telah mengatasi kekompleksitian roman-roman Hindu.  Cerita-cerita pahlawan Islam seperti Amir Hamzah, dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, telah menandingi hikayat-hikayat pengaruh Hindu  seperti Hikayat Pendawa Lima dan Hikayat Seri Rama. Di samping itu juga, kehadiran syair telah memperkenalkan satu mode baru iaitu melahirkannya dalam bentuk naratif.

            Kesan pengaruh peradaban Islam bukan semata-mata memperkenalkan jenis dan ciri estetik baru, bahkan juga memasukkan pengaruhnya ke dalam naratif bukan Islam (iaitu Hindu dan Animisme) serta membentuk karya peribumi yang unggul yakni karya-karya  bercorak sejarah.  Karya-karya seperti Bustanus al-Salatin, dan Bayan Budiman  adalah daripada bahasa Parsi yang ditulis semula ke dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.  Komponen selebihnya ialah hasil-hasil yang dikarang oleh pengarang-pengarang Melayu sendiri seperti syair-syair sufi dan roman.

            Seterusnya, kesan pengaruh peradaban Islam dalam manuskrip Melayu lama juga dapat  dilihat daripada unsur-unsur lagenda yang bercorakkan Islam yang terdapat dalam manuskrip Melayu lama. Apabila agama Islam telah disebarkan ke tanah Melayu, para pendakwah Islam telah mempergunakan  media cerita ini untuk mengembangkan ajaran Islam di kalangan orang Melayu.   Tindakan ini dilakukan kerana dilihat penuturan cerita merupakan suatu tradisi yang digemari oleh orang Melayu.

            Sebenarnya  penulisan sastera Islam dalam manuskrip lama adalah bertujuan untuk melakukan dakwah dengan menulis cerita-cerita Islam dalam bentuk hikayat lalu disebarkan dalam kalangan orang Melayu untuk dibacakan di dalam sesuatu perayaan atau diperdengarkan kepada sekumpulan peminat cerita  di kalangan masyarakat Melayu.  Untuk menanam bibit keislaman kepada masyarakat umum, maka penulis-penulis Muslim memilih cerita-cerita yang menyentuh tentang sejarah Islam seperti cerita-cerita para nabi Allah dan tokoh-tokoh Islam yang lain.







3.0  Pengaruh Peradaban Islam dari Timur Tengah dalam Manuskrip Melayu Lama.

Mengikut G.E Marrisson dalam rencananya yang  berjudul “Persian Influences in Malay Life” pengaruh Parsi datang ke alam Melayu melalui dua saluran iaitu saluran pertama ialah melalui jalan yang tidak rasmi iaitu melalui melalui perniagaan, dan keistimewaan Parsi sebagai tunggak kebudayaan Islam.  [3]Secara terus, pengaruh Parsi yang datang ke alam Melayu adalah melalui hubungan pengembara-pengembara, alim ulama, guru-guru dan mubaligh-mubaligh yang datang dari negeri Parsi. Saluran kedua pula ialah melalui bangsa Gujerat yang menolong membuka pengaruh baru bagi bangsa Parsi ke dalam kehidupan bangsa Melayu.

Pengaruh Parsi yang besar dapat dilihat dari buku Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Buku yang juga dikenali sebagai Sulalatus Salatin ini memuatkan salasilah keturunan raja-raja Melayu yang bermula dari Iskandar Zulkarnain yang berkahwin dengan puteri Raja India Syahrul Bariah.  Permulaan asal usul raja ini sebenarnya dipetik daripada Hikayat Iskandar Dzulkarnain dari versi Parsi.  Pertembungan dengan kebudayaan Parsi ini telah memperkenalkan pangkat ‘Shah’ kepada raja-raja Melayu.  Perkataan seperti dewan, istana, syahbandar dan sebagainya yang digunakan dalam manuskrip lama adalah perkataan yang dipinjam dari Parsi (Yahya Ismail, 1985 : 71-72).

Selain itu juga, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah yang terkenal itu pernah disebut dalam Sejarah Melayu sewaktu Peringgi sedang beramuk-amukan dengan pahlawan-pahlawan Melayu adalah diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebelum 1511M. [4]Banyak perkataan Parsi dan juga rangkap-rangkap sajak yang sama terdapat dalam bab yang sama dalam Bahasa Parsi dan bukan datang dari hasil tangan orang Melayu mahupun India.
            Misalnya, pengaruh Parsi dalam Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang  pula dilihat daripada bab dalam karya tersebut yang dibahagikan mengikut karya-karya Parsi.  Ia juga meminjam dari Hikayat Iskandar untuk menceritakan asal usul raja.  Ia memberitahu tentang Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah sewaktu Feringgi menyerang Melaka pada tahun 1511. Seterusnya  ialah dua peristiwa tentang Raja Chulan yang merupakan ambilan daripada Raja Chulan yang tidak jadi hendak menyerang benua China dan kedua tentang Raja Chulan turun ke laut.  Seterusnya ialah kehadiran ulama-ulama Parsi di Pasai dan juga cerita Badang yang memakai perkataan “pahlawan” yang dipinjam dari Parsi (Yahya Ismail, 1985 : 76-77). Dengan ini juga turut memetik pendapat R.O Winstedt dalam bukunya yang berjudul “A History of Classical Malay Literature” yang berbunyi:
‘The Malay versions  of the romance of Amir Hamza dan Muhammad Hanafiah came from Persian, and were probably translated in Malacca. The ‘Malay Annals’, written originally in  Malacca and Johore before 1536, contain Persian verses and Persian words rare in Malaya; in the same work the Arabic title makhdum is applied to religious teachers, as it is applied in India but never in Arabia and seldom in Persia itself.’

 Oleh itu, dalam manuskrip Melayu lama pelbagai hasil karya yang ditemui berbentuk puisi, prosa, dan  syair dan sebahagian manuskrip yang ditemui adalah dalam bentuk sastera agama,dan pada masa itu, Islam tertanam kuat pada diri orang Melayu namun banyak naskhah-naskhah Melayu lama adalah yang tidak dapat dijumpai di Alam Melayu pada masa sekarang sebaliknya dijumpai dengan banyak sekali di Eropah. Namun  sebahagian besar manuskrip yang ditemui adalah terdiri daripada manuskrip yang mempunyai persamaan dengan manuskrip dari Timur Tengah(Parsi dan Arab)[5].




4.0 Pengaruh peradaban Islam terhadap Sastera(Sastera Kitab,Sastera Hikayat, Cerita Lagenda dan Bidang Sastera Lain  dalam Manuskrip Melayu Lama.

        4.1 Sastera Kitab.         
            Apabila agama Islam mula mendapat tempat di Tanah Melayu, maka para penyair Islam berpendapat bahawa sebagai penganut  agama Islam adalah penting bagi orang Melayu untuk membaca Al-Quran untuk melakukan ibadat , khasnya  sembahyang lima waktu.  Setelah diperkenalkan huruf-huruf Arab atau huruf-huruf Al-Quran, orang Melayu mula mengaplikasikan tulisan Jawi dengan beberapa pengubahsuaian.  Penghasilan   huruf-huruf Jawi ini adalah sebagai pengganti kepada huruf-huruf daripada tamadun Hindu Buddha, iaitu huruf Kawi dan Nagari(Harun Mat Piah, Siti Hawa Haji Salleh, Abdul Rahman Kaeh, Ismail Hamid, Abu Hassan Sham dan Jamilah Haji Ahmad, 2006 :441).

            Pengenalan huruf Jawi itu telah membawa kepada perkembangan ilmu agama dalam kalangan orang Melayu yang mula menerima ajaran Islam dalam hidup mereka. Pada peringkat awal orang Melayu telah menghasilkan tulisan yang menerangkan pokok-pokok ajaran Islam.  Contohnya adalah seperti konsep ketuhanan dan pelbagai peraturan peribadatan yang penting dalam masyarakat Islam.  Perkembangan pendidikan Islam yang berpusat di Acheh , Pasai dan Melaka dengan terdirinya beberapa buah masjid dan istana raja-raja Melayu yang telah membawa kepada kelahiran kitab-kitab yang digunakan sebagai buku teks dalam pengajian Islam. yang telah dihasilkan ialah seperti kitab Sirat Al- Mustaqim, Kitab Mir’at al-Tullah dan sebagainya.

            Selepas lahir pelbagai cabang ilmu pengetahuan Islam yang bukan sahaja tentang hukum-hakam Islam yang menyentuh peribadatan. Justeru  lahirlah penulisan mengenai hukum-hakam agama yang menyentuh kehidupan mereka.  Kelahiran Bahasa Arab sebagai bahasa yang penting dalam Agama Islam telah digunakan dengan meluas sehingga banyak kitab-kitab yang dihasilkan akibat pengaruh peradaban Islam yang meluas di tanah Melayu.




   4.2 Sastera Hikayat.
Sastera hikayat juga adalah merupakan antara sastera yang terhasil sejurus selepas kedatangan agama Islam.  Sastera Hikayat adalah sastera yang menceritakan sesuatu dengan satu penceritaan yang panjang.  Sastera hikayat yang dimaksudkan ialah seperti sastera yang menceritakan tentang Nabi Muhammad, cerita tentang Para Sahabat Nabi, cerita tentang pahlawan Islam dan penyebar Islam dan juga beberapa cerita yang berunsurkan pengajaran seperti Hikayat Bayan Budiman. Sastera Hikayat merupakan peninggalan atau pengaruh sastera Islam dari Arab Parsi.

            Hikayat ini yang adalah terdiri daripada pelbagai bentuk iaitu pertama ialah, hikayat kepahlawanan iaitu seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Raja Khandak.  Seterusnya pula ialah yang berkaitan dengan personaliti nabi seperti Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Bulan Berbelah dan sebagainya.  Seterusnya ialah Hikayat Raja Jumjunah dan Hikayat Saif Dzul dan sebagainya.  Contohnya Hikayat Amir Hamzah[6] adalah merupakan sastera epik Islam yang memuatkan banyak nilai-nilai murni yang menjadi panduan kepada orang Islam.  Sastera yang mendapat pengaruh Parsi dari segi gaya bahasa ini memaparkan nilai-nilai seperti nilai tolong-menolong, keberanian  dan nilai suka memaafkan(Mana Sikana, 2003 : 177-186 ).

    4.3 Cerita Lagenda.
Cerita lagenda yang bercorak Islam adalah berkembang di Asia Barat  dan bermula apabila mazhab Syiah mengagung-agungkan Saiyidina Ali yang menjadi pahlawan dalam kalangan pengikut Syiah.  Oleh itu penulis-penulis Islam telah menulis cerita-cerita itu dari sumber-sumber kesusasteraan Arab Parsi kemudian disesuaikan pula dengan latar belakang masyarakat Melayu. Dengan itu,lahirlah cerita tokoh-tokoh Islam yang berasal dari Asia Barat, tetapi ceritanya adalah bercorak Barat dan mengandungi unsur kemelayuan.Contoh- contoh cerita lagenda yang terhasil daripada pengaruh peradaban Islam ialah Lagenda Tentang Nabi Muhammad, lagenda tentang Sahabat Nabi, Lagenda Tentang Pahlawan Islam dan Lagenda Tentang Ahli Sufi.

5.0 Pengaruh peradaban Islam dari Segi Bahasa, Kepelbagaian Karya dan Sistem Tulisan dalam manuskrip lama.

Dalam hasil karya sastera yang dihasilkan, terdapat banyak pengaruh Islam dalam isi atau kandungan karya dalam manuskrip lama. Pengaruh yang dimaksudkan ialah adalah seperti yang terdapat di bawah ini:

     5.1 Pengaruh Dari Segi Bahasa
  Pengaruh dari segi bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam hasil sastera dalam manuskrip lama yang meminjam bahasa dari Timur Tengah yang menjadi penggerak kepada perkembangan sastera bercorak Islam.  Contoh  karya yang menggunakan bahasa Timur Tengah ialah Sulalatis Salatin karya Tun Sri Lanang. Di dalam Sulalatus Salatin, telah digunakan bahasa Arab seperti makhdum, fakir, arakian dan sebagainya. Dengan  pengenalan kepada bahasa asing seperti bahasa Arab dan Parsi telah menyebabkan hasil karya pada masa itu lebih menarik dan sesuai dengan karya Islam.

5.2    Pengaruh Dari Segi Kepelbagaian Karya.
 Beberapa bentuk puisi dan prosa yang telah dihasilkan akibat pengaruh daripada agama Islam.  Di Parsi misalnya telah dihasilkan pelbagai jenis puisi seperti masnawi, rubai, ghazal, qit’ah, qasidah dan sebagainya.  Puisi-puisi ini kemudian dibawa ke alam Melayu dan digunakan dalam hasil karya seperti prosa. Puisi-puisi ini adalah lebih banyak tentang agama Islam dan ketuhanan.  Dan ini memperlihatkan pengaruh peradaban Islam dalam manuskrip lama(Mana Sikana, 2003 : 120-128).

5.3 Pengaruh Dari Segi Sistem Tulisan.
Selain itu juga, pengaruh peradaban Islam dilihat dari segi sistem tulisan.  Pada awalnya, sebelum zaman Islam iaitu pada zaman peralihan Hindu-Islam, sistem tulisan yang diperkenalkan ialah tulisan Kawi dan Nagiri tetapi setelah adanya Al-Quran, tulisan Jawi telah diperkenalkan.  Oleh itu, manuskrip lama banyak yang ditulis dalam huruf Jawi.(Harun Mat Piah, Siti Hawa Hj. Salleh, Abdul Rahman Kaeh, Ismail Hamid, Abu Hassan Sham dan Jamilah Haji Ahmad, 2006 : 441). 
Kesimpulan.

            Kedatangan agama Islam sememangnya banyak meninggalkan pengaruh dalam dunia kesusasteraan Melayu lama.  Pengaruh peradaban Islam ini dapat dilihat pada manuskrip yang terdapat pada naskhah-naskhah Melayu lama.  Kedatangan orang Arab-Parsi dan Gujerat telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam.

            Seterusnya, apabila agama Islam mula mendapat tempat di alam Melayu, maka para ulama-ulama yang datang ke alam Melayu mula menyebarkan al-Quran.  Penyebaran al-Quran ini menyebabkan terhasilnya tulisan Jawi sebagai tulisan yang digunakan dalam menghasilkan manuskrip lama, setelah pengaruh Hindu-Buddha yang menggunakan tulisan Kawi dan Nagiri mula berkurang dan terhakis akibat kemunculan agama Islam.

            Oleh itu, secara keseluruhannya, kedatangan Islam bukan sahaja mementingkan akliah,amal ibadat dan panduan kepada masyarakat tetapi juga berperanan mempengaruhi bidang sastera terutamanya bagi masyarakat Melayu di alam Melayu sehingga menyebabkan asimilasi atau saduran dalam hasil karya penulis-penulis Islam dengan penulis-penulis di Timur Tengah. Oleh itu, wujudnya karya-karya seperti syair, ghazal, gurindam, nazam dan prosa serta hasil karya agung seperti Sulalatus Salatin dan sastera kitab.  Sastera ini kesemuanya adalah terhasil bertitik tolak daripada perkembangan agama Islam.
    


             



[1] Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas, berpendapat bahawa  sebab peralihan sastera Hindu kepada sastera Islam adalah disebabkan sastera Hindu tidak meningkatkan sastera Melayu ke arah aliran akaliah sebaliknya hanya mementingkan kesenian sahaja tanpa mengambil kira falsafah hidup yang lebih bermakna sebagai panduan(Mana Sikana, 2003 : 148).
[2] Ismail Hussien(1974) telah menganggarkan terdapat lebih kurang 5000 naskhah manuskrip lama dalam berbentuk tulisan jawi telah ditemui oleh para pengkaji dan pihak Perpustakaan Malaysia.
[3] Orang India Gujerat yang berperanan memperkenalkan guru-guru dan mubaligh dari Parsi kepada penduduk di tanah Melayu.
[4] R.O Winsted telah mengemukakan pendapat bahawa rangkap-rangkap dalam puisi dan sajak dalam Hikayat Muhammad Ali Hanafiah adalah menunjukkan asal-usul Parsi dan pengaruh peradabannya dalam manuskrip lama.





[5]  Jenis-jenis teks di tanah Melayu adalah banyak yang berkait dengan agama Islam dan bermodelkan Teks asli Timur tengah(E.U KRATZ, 2004 :242)
[6] Hikayat Amir Hamzah didapati mempunyai banyak persamaan dengan Hikayat Iskandar dari Parsi(Mana Sikana, 2003 : 177)

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates