Klik Jangan Tak klik!

Followers

Tuesday, November 16, 2010

PERKEMBANGAN   PENULIS  MUDA  DI  MALAYSIA:  CABARAN  DAN  MASA  DEPAN

Fakulti  Bahasa  dan  Komunikasi
Universiti  Pendidikan  Sultan  Idris.


                                                            Abstrak 
 Perkembangan   penulis  muda  di Malaysia  adalah   tidak  jauh  berbeza  dan  ketinggalan   daripada    negara-negara   lain  seperti  Indonesia, Singapura  mahupun  Negara-negara  yang  masih  teguh  menerima  bidang  kesusasteraan.  Melangkah  ke  abad   21, penulis   muda  di  Malaysia  telah  menunjukkan  perkembangan  yang  positif. Namun  demikian, apa  yang perlu  diberi  perhatian  pada  masa  ini ialah  tingkat  kesedaran  dan  perhatian  para   penulis  muda  dalam  mengharungi  dunia  sastera  yang  kian  tenggelam  setelah  masyarakat  leka  dan  lalai  dengan  dunia  sains   dan teknologi. Wacana  ini  akan  meneliti   tentang  cabaran   dan  masa  depan  penulis  muda   di  Malaysia  yang  banyak  berdepan  dengan cabaran  globalisasi.  Para  pencinta  sastera  Melayu  akan mempertahankan  sastera  Melayu  sebagai  khazanah  bangsa  tetapi  masyarakat  pula  ramai  yang  menidakkan  kesusasteraan Melayu  dalam  kalangan  masyarakat.   Inilah  yang  menjadi  cabaran  kepada  penulis-penulis  muda  di  Malaysia  ini. Penulis-penulis  muda  perlu  membangunkan  semula  keadaan ini  dan  menghasilkan  karya  yang bermutu  untuk  memberikan  keyakinan  kepada   masyarakat  tentang  sastera. Penulis- penulis  muda  yang  terdiri  daripada  pelbagai  latar  belakang  seharusnya  sentiasa  mengaktifkan  diri  dengan  aktiviti-aktiviti  yang  boleh menambahkan  pengetahuan,  pengalaman, kematangan, umpamanya  ialah  melalui  seminar , bengkel,  forum  dan  ceramah  yang  bersifat  ilmu.  Mereka  juga  perlu  menguasai  seberapa  banyak  ilmu  teori  dan  kritikan  sastera  untuk  memantapkan  lagi  hasil  karya  yang  bermutu  dan  mempunyai  nilai  keintelektualan.


Pengenalan
Persoalan  visi  dan harapan akan  terus  dan  sentiasa disodor  setiap  kali datangnya  era  baru. Penyataan  ini  boleh  mendatangkan  dua  konotasi  pesanan  di  mana ia boleh  merupakan  ingatan  tulus  ikhlas daripada  penulis-penulis  mapan tentang  tanggungjawab  yang  harus dipikul oleh penulis  baru.  Atau  boleh  juga  merupakan  sindiran  kepada  penulis  baru  yang  sering  teraba-raba   dalam  perjuangan, kurang  persediaan  dan mabuk  dengan dunia  glamour, ( Hizairi  Othman(2006:444)
Dan ramai pula penulis muda baru yang muncul dalam tempoh itu, ianya juga merupakan satu perkembangan yang baik sebenarnya terhadap dunia penulisan di Malaysia. Kemunculan ramai penulis muda baru yang mewarnai jagat kesusasteraan Malaysia pastinya akan lebih menyemarakkan lagi dunia penulisan di tanah air kita. Pelbagai idea dan buah fikiran daripada generasi muda akan dapat digembleng bagi memperkasakan lagi perkembangan sastera dan penulisan pada alaf yang penuh cabaran ini. Orang muda yang masih bertenaga kudratnya dan masih segar serta bernas ideanya pasti dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dunia kesusasteraan lebih-lebih lagi terhadap perkembangan penulisan penulis muda itu sendiri. (Harakahdaily.net).
            Dunia  Sastera   merupakan  dunia  glamor  seperti  dunia  filem, seni  dan  muzik  yang  mempunyai   harapan  tetapi   ia  juga  mempunyai   cabaran  dan  permasalahannya  yang  tersendiri   yang  menimbulkan  frust, patah hati  dan  juga  kekecewaan.  Sesungguhnya  memang  banyak  penulis  yang  mengimpikan untuk  menjadi  penyajak  terkenal  seperti  Usman  Awang , dan  penulis  terkenal  seperti  Keris  Mas  dan  menjadi  Novelis  yang  disanjung tinggi seperti  Shahnon Ahmad. ( Abdullah  Hussain: 104:2006).
           
           
           
            Pada  hakikatnya   kita  mempunyai  bilangan penulis  yang  ramai  dan  di  bawah  ini  ialah  merupakan  fakta  yang  kita  boleh  kenalpasti  sebagai   cermin  kepada  penulis-penulis  di    negara   kita. (Kassim  Ahmad ,527:2006)
1)      Kita  mempunyai  bilangan  penulis  yang  ramai
2)      Kita  juga  mempunyai  bilangan penerbit yang ramai
3)      Kebanyakkan   penulis   adalah  terdiri  daripada  generasi   muda
4)      Pihak  pemerintah  mengakui  taraf  dan  peranan  penulis  muda  dalam  masyarakat
5)      Jumlah   pembaca  yang   semakin  ramai
6)      Keadaan  negara  dan  masyarakat   kita  telah  berubah
            Inilah kenyataan  yang  penting  kenyataan- kenyataan  penting  yang  wujud  sekarang  yang  mungkin  mempengaruhi  fikiran  dan  peranan   penulis  kita  pada  hari   ini. Penulis- penulis  muda  kita  hari ini  mempunyai  tanggungjawab  sosial   dan  satu  perjuangan   yang  dipikul  bersama  bangsanya  untuk  menggembeleng  fikiran  dan  tenaga  rakyat.  Namun  demikian tanggungjawab  ini  seakan-akan tidak  timbul  pada  masa  kini  kerana  kebanyakkan  mereka  menolak  ideologi  dan politik . Oleh  itu, masalah-masalah  dalam penulisan  seaka-akan  tidak  dapat  dileraikan   dengan  begitu  sahaja  sehingga  menjadi  cabaran  kepada  penulis-penulis  muda  ini.
            Usaha  memartabatkan  sastera  sesungguhnya  tidak  memakan  masa   lima  enam tahun  tetapi  berpuluh-puluh  tahun,  misalnya   ASAS  50  yang  masih  dikenang   dan  nostalgia  Anak  Alam 1970-an  yang  masih diigat. Daripada  baru  dan  muda,  mereka  akan  lebih matang,  menyumbang  dan  kemudian  mantap. 
Penulis  generasi  baru  hanya  boleh  gigih  berusaha  meningkatkan  diri, tetapi  ekstensi  dan  sumbangan  mereka  hanya kukuh  apabila  karya  mereka  tahan  uji  pada  mana-mana  era,  serentak  diakui  khalayak,  birokrat   dan  para  pengkritik  sastera”
                                                                                                            ( Hizairi  Othman: 2006)
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   
Perkembangan  Penulis  Muda
Era  Penulis  Muda,  ialah  pada  1980-an  yang  pada  masa itu  telah  mula bekarya  dan  hasil  mereka  telah  didedahkan  kepada  birokrat  sastera  khususnya  Dewan  Bahasa  dan Pustaka  khususnya  dan para  pengkritik   sastera. Polemik  berlaku  pada   masa  itu  kerana   ramai  penulis  muda  yang  menyatakan   ketidakpuasan  hati  mereka  tentang  penyiaran  karya  mereka  oleh  Dewan  Bahasa  dan Pustaka. Namun  demikian  polemik  itu  lenyap  begitu  sahaja  dan  ramai  daripada  kelompok  penulis  pada  masa  itu  terus  bertahan  dan ramai  pula  yang  namanya  semakin  tenggelam.
            Dalam  era  1990-an  pula,   muncul  gerakan yang  paling  jelas  oleh  Masli  N.O  menerusi  gagasan  Sasterawan  Generasi  Baru.  Penulis   yang  lebih  dikenali  sebagai  penyair  dan  cerpenis  ini  mengkategorikan  semua  penulis  yang  lahir  selepas  merdeka  sebagai  generasi  baru  yang gaya  penyampaian  mereka  tentunya  berbeza  dengan gaya penyampaian  dan penulisan  pada  tahun  1950.  Pengkaji  sastera  yang  sering  mengikuti  perkembangan para penulis  ini  ialah  Prof  Madya  Dr. Othman  Puteh  yang  menamakan  gelombang  baru  penulis  baru  ini sebagai  “ Penjalur  Kedua”  dengan  mempertaruhkan   karya-karya  yang  berbentuk  konvensional  dan  eksperimental  sebagai  cirri utama.  Jalur  pertama  menurut  beliau ialah  penulis  yang  sedia  teguh  dengan  cara  tersendiri  seperti  Anwar   Ridhwan, Abdullah  Tahir, dan  Azizi  Abdullah. Karya  mereka  lebih menjurus  kepada  multi  pendekatan  namun  demikian sering  juga  diasosiasikan  dengan  pemilihan tema  dan  gaya  konvensional. Ia  telah  menampakkan  perbezaan  dalam  mengutarakan   pemikiran, lebih  bersifat penerokaan , kadangkala  agresif  dan  memberontak, bergaya  baru  tidak setakat  berbakat  alam  dan imaginasi  tetapi  juga  menggunakan  penyelidikan  dalaman.
            Sementara  penulis terkenal  Faisal  Tehrani  ini  menamakan  kelompok  paling  mutakhir   ini  sebagai  “ Angkatan  90-an”.  Dalam  era 1990-an  ini   permulaan  bibit   teknologi  maklumat  dan  prabandar  siber  telah  digunakan  dalam  hasil  karya. Penulis-penulis  muda  yang mula  mengukir  nama  pada  era  ini  ialah  Zaen  Kasturi, S.M  Zakir, Azmah  Nordin  yang  masih  meneruskan  daya  prolifik  sehingga ke hari  ini.  Berbanding  dengan  kelompok  pertama  pada tahun  1980-an yang aktif  menghasilkan  hasil  karya  yang  filosofikal,absurd   dan  sering  menjadikan  tradisi  dan  agama  sebagai  tunjang karya.  Kelompok  kedua  pada tahun  1990-an  pula  lebih  sederhana  dalam  pembawaan mereka  dan  sering  memperkatakan  isu-isu  yang berat-berat   dan  sesekali bersifat  saintifik  di  mana  hasil  karya  mereka  seringkali disusuli dengan penyelidikan  dan   karya  yang  mementingkan ilmu bantu.  Ramai  yang  menggemari  karya   mereka  kerana  ia  bersifat  hiburan  dan katarsis  yang bijaksana.  Tidak  kurang  pula yang  berprinsip   karya  sastera  perlu  dominan  dan  ditolak  oleh unsur  perasaan  bukannya  intelektual. Namun  kehadiran karya  ini  sekurang-kurangnya memberikan imej baru  terhadap  dunia  penulisan pada  hari  ini.
            Penulis  generasi  baru  kelompok  kedua  kebanyakannya  berusia dalam  lingkungan  20-an.  Namun  ada  juga  yang  berusia  30-an. Usia  begini  dapat  dikatakan  masih muda.  Oleh  itu  tidak  hairanlah  jika  karya  mereka  yang berpasakkan  penyelidikan dengan  misi  menghasilkan  karya  ilmu  bantu.  Pengalaman  mereka  masih  belum  mencukupi  seperti  A. Samad  Said  yang  bangga  mempersembahkan  karya  tentang dunia  peperangan   dan  seperti  Arena  Wati  yang  bangga  mempersembahkan  karya  tentang  lautnya. Usia  yang  sebegini  muda  mungkin  masih  kuat  untuk  memerah  kudrat  dan  melakukan  perubahan  yang  dikira  semulajadi  ini.
            Justeru  itu.  Visi  dan  harapan  seorang  penulis  barangkali  tidak  dapat  memecah  impian  dan wawasan   semua  penulis generasi  baru,  tetapi  diharapkan  daripada  horizon  pertimbangan  yang  sangat  luas  itu.  Menulis  dalam  era  baru  dengan  berbekalkan  imaginasi  tanpa  disokong  oleh  penyelidikan tidak  akan  dapat  menghasilkan  karya  yang  bermutu. Hal  ini  kerana,  pembaca  yang  kreatif  akan  memerlukan   bahan  yang  setara  dengan  pemikiran  mereka. Hal  ini  sudah  tentu  akan  menjadikan  sastera  lebih  mencabar  dan  menggalakkan  pemikiran  kritis  dan bukannya  hiburan  semata-mata. Keupayaan  ini  akan  mewujudkan  penulis  yang  lebih rajin  dan  lebih  jauh  serta  bukan  hanya  setakat  bersaing  di  peringkat  domestik  sahaja.(  Hizairi  Othman,451:2006)
            Dalam  era  siber,  penulis  1990-an sudah  mula  menerapkan  penggunaan teknologi  dan  multimedia  dalam  hasil  karya  mereka,  terutamanya  penggunaan  internet. Hal  ini  termasuklah  dengan  menggunakan  laman peribadi  seperti  yang  terdapat  di  barat  misalnya  melalui  laman  blog  atau  website  sendiri .
           

Cabaran  Penulis  Muda  Di  Malaysia.
Masalah  Sosioekonomi
            Masalah  pertama  yang   membelenggu  penulis muda  di  Malaysia  ialah  masalah  sosioekonomi   sehinggakan  penulis-penulis  yang  baru  mencuba  berjinak-jinak  dengan dunia  penulisan  berasa  patah hati  dan  pulangan  daripada hasil  tulisan  yang  tidak  seberapa. Oleh itu, penulis  muda  pada  masa  kini  selalu  mempersoalkan  di  mana  kedudukan  mereka  dalam  masyarakat. Untuk  siapa  mereka  menulis?  Semua  ini  menjadi  persoalan  dalam  diri  mereka.  Ramai  dalam  kalangan  penulis  pada  masa  ini  kurang  mendapat  galakan  dan sokongan   dan tidak  kurang  juga   yang  mempunyai   masalah  berkaitan  dengan  penerbitan dan  tidak kurang juga yang  ditindas  oleh  orang tengah.  Masalah  ini  menjadikan  semangat  mereka  untuk  menulis  semakin luntur  dan  nama-nama  yang  baru  hendak  naik  pun  lama- kelamaan  akan tenggelam.

Ketiadaan  Tanggungjawab  Sosial  dalam  Kalangan  Penulis  Muda  
            Ketiadaan  satu  tanggungjawab  sosial  juga  merupakan  saru  sebab  besar  mengapa  penulis  pada  hari  ini  kehilangan  haluan  dan  tenaga. Kebanyakan  mereka  terdiri  daripada  penulis-penulis muda  yang bergiat  secara  santai   dan  hanya  mengarang  novel  popular  sahaja.  Keadaan  ini  menyebabkan  karya  mereka  kurang  menambat  hati pembaca  kerana  lebih  banyak  karya  yang  dihasilkan  itu  hanyalah  sesuai  untuk  bacaan  ringan  dan  juga  kandungannya  pula  lebih  banyak  berunsurkan imaginasi  dan  bukannya  kisah-kisah  nyata. Pada   masa  sekarang,  para  penulis muda perlu  bijak  dalam  menambat  hati  peminat dengan  menghasilkan  karya  yang  bermutu  memandangkan  masyarakat  sekarang  sudah  bijak  menilai  hasil   karya sastera.(Kassim  Ahmad: 530:2006)
A.Samad  Said,  Latiff  Mohiddin, Siti  Zainon  Ismail  dan  Arena  Wati   percaya  bahawa   kembara  seni  dan kembara  ilmu  adalah  sangat penting   dalam  upaya   membina   diri. Oleh  itu  kesilapan penulis  generasi   baru  pada  zaman  sekarang  ialah  tidak  percaya  bahawa  kaedah  ini  boleh  membantu  mereka   bergerak  lebih  maju  dalam  arena  sastera. 

Hasil  Penulisan  Yang  Hanya  Dihargai  Oleh  Orang  Sastera  Sahaja
            Setelah  sekian  lama  sastera  hanya  berperanan  dalam  kalangan  sesama  warga   sastera  sahaja. Warga  lain  dalam  bidang  lain hanya   memandang  bidang  ini  hanya  untuk  orang-  orang  terpinggir.  Oleh  itu  apabila  penulis  menghasilkan karya  sastera, seringkali  karya  sastera tidak  mendapat  sambutan.  Antara  faktornya  ialah  sistem   pendidikan  negara  yang  hanya  mengkelaskan  pelajar  pada  usia  16  tahun  mengikut  aliran.  Sastera  lazimnya  untuk  pelajar  yang  lemah.  Hal  ini  seterusnya  mempengaruhi  mentaliti   masyarakat  sehingga  tidak  mampu  membawa  mereka  melihat  sastera  dari  sisi  lain.  Apatah  lagi  apabila  wujudnya  pelbagai  tarikan  lain  seperti  hiburan  dan  sukan  yang  mendapat  ganjaran  lebih  lumayan  dan  priority  yang  tinggi.  Oleh  itu,  selagi  sistem  kita  tidak  diubah,  selagi  itulah  persepsi  herot  terhadap  sastera  harus  dibuka.
            Penulis  generasi  baru  sering  menjadi  mangsa  kepada  masalah  ini  dan  harapan mereka  untuk  naik  menjadi  penulis   terkenal  akan  tergendala  berikutan  pandangan  masyarakat  yang sangat  rendah  terhadap  karya  sastera.  Oleh itu, penulis  generasi  baru  perlu  meminjam  kebanggaan  daripada  generasi  dahulu  dan  antara  usaha  yang  barangkali  perlu  difokuskan  ialah  mencalonkan  mana-mana  sasterawan negara  sebagai  calon  Hadiah  Nobel.  Penulis  baru  perlu  tahu  bahawa   kesan positif  yang   paling  ketara  hasil  daripada  tempias  teknologi  komunikasi  terhadap  warga  sastera  ialah  globalisasi  ilmu  apabila  apabila  fungsi  tradisi  ilmu  iaitu  menjana, memperkaya  dan  menyebarkan ilmu  dan  informasi  menjadi  lebih  cepat  dan  efisyen  terutamanya  menerusi  komputer.  Bukan  sahaja  ilmu  dapat  ditelusuri  dan  berada di  hujung  jari, tetapi  juga  dapat  dipecah  penulis   dan  sastera   negara  di  seluruh  dunia. 
            Kelebihan  ini  bergantung  kepada  isu  ada  tidaknya  kemudahan yang  berkait  dengan  kesediaan  penulis  itu  melabur  sedikit  masa  untuk  masa  depannya. Dalam  konteks  Malaysia,  rata-rata  penulis  baru   kini  celik  komputer dan  telah  memanfaatkan  sepenuhnya  kemudahan  terkini  untuk  memperkembangkan  Oleh  itu,  pada  masa  kini  sastera  sebenarnya  masih  relevan  dan  menjadi  tanggungjawab  orang  sastera  untuk  mendidik  orang bukan  sastera  untuk  mewarnai  bidang  sastera agar  tidak  selalu  dipandang  rendah.

Kelemahan  Teori Dan  Kritikan  Sastera  di Malaysia.
            Kelemahan  kritikan  sastera  di  Malaysia  menyebabkan   penulis  muda  sukar  menempatkan  diri   dalam  kalangan  penulis  yang  mendapat  sambutan  masyarakat.  Hal  ini kerana  ramai  pengkritik  sastera  yang tidak  mengkritik  hasil  karya  mereka  secara  telus  dan  lebih  banyak  menjatuhkan  daripada  membina. Seringkali  kritikan  lebih  kepada  untuk  kepentingan  pengkritik  sendiri misalnya  mereka  yang  terlibat  dengan  ideologi  politik,  agama  dan sebagainya. Tidak  dinafikan  sememangnya  bidang  kritikan  sastera ini   amat  diperlukan  sebagai  perintis  kepada perkembangan  Kesusasteraan  Melayu   tanah  air,  tetapi  pembawaan kritikan  yang  lebih    banyak  bersifat  negatif  sudah  pasti  akan menjatuhkan  penulis-penulis  baru yang baru mencipta   nama  dalam  arena  penulisan  tanah  air.  Seringkali  penulis  muda  menjadi  mangsa, oleh  itu  bagi mereka yang  cepat berputusa   asa  akan  hilang  begitu sahaja  dari  dunia  sastera  dan penulisan.(  Yahaya  Ismail, 2006:878)
            Di  samping  itu  juga,  sepuluh tahun  kebelakangan ini  kritikan  Kesusasteraan Melayu  dilihat tidak berkembang  dan  juga  tidak  mengambil   endah   tentang  kemunculan  karya-karya  penulis  baru.  Walaupun  pendekatan  semakin  bertambah  namun   kepakaran  masih  belum  terjelma. Setiap  pengkritik  masih kurang  memahami  dan mendalami  pendekatan  seperti  semiotic, stilistik, formalistik, bandingan,  feminism, arketaip  dan  sebagainya. ( Sahlan  Mohd  Saman, 329:2006)

Masa  Depan  Penulis  Muda  di  Malaysia.
            Masa   depan  para  penulis  muda  sesungguhnya   adalah  terletak  pada  kesungguhan  penulis  itu sendiri. Oleh  itu,  penulis  muda  yang  bertanggungjawab  mencorakkan  masa  depan  mereka  sendiri. Pada  abad  ke-21  ini,  prasarana  yang  yang  dibina  untuk  memajukan  sastera  serta  mengembangkan  kesusasteraan  Melayu  bukan  hanya  diletakkan   pada  bahu Dewan Bahasa dan Pustaka  sahaja. DBP  sememangnya  telah  bergiat  aktif  dalam  mengembangkan  karya –karya  penulis-penulis  muda. Ribuan  judul  penerbitan  karya asli   atau terjemahan  telah berada  di  tengah khalayak  dari hasil usaha  yang berterusan. Untuk  memantapkan lagi,  para   penulis muda  perlu  cekal  dan gigih  dalam  memperjuangkan  hasil  tulisan mereka  sama  ada   bergerak  seiring  bersama  hasil karya  mahupun  menggembleng tenaga  bersama  pihak  luar. ( Abdul  Ghani  Othman ,2006: 5)
            Masa  depan  penulis  muda  juga  terletak pada  kaedah  penyebaran  karya  sastera. Misalnya  pada  masa  kini,  penyebaran  melalui  multimedia  misalnya  mampu  menjangkau  khalayak  yang lebih luas,  melewati  sempadan, geografi    dan politik.  Melalui  penyebaran  karya  sastera  secara  mudah  dan  meluas,  sastera  kebangsaan  akan  tetap  berfungsi  seperti  yang  kita  harapkan.   Penulis-  penulis  muda  pada  masa  sekarang  akan mempunyai  masa  depan  yang terjamin  sekiranya  bersedia  membuat  perubahan  dan  pembaharuan  dari  sigi  bentuk  dan  isi  karya  mengikut  citarasa  masyarakat. Penulisan  pada  masa  sekarang  haruslah tidak  mengikut  gerak  rasa  semata-mata  tetapi  diselitkan  dengan   penyelidikan  dan  juga  pengalaman.  Hal ini  kerana  masyarakat  pada  zaman  sekarang  sudah  pandai  menilai  dan  mengetahui  karya  mana  yang  bermutu  atau tidak bermutu.( A. Aziz  Deraman , 2006:14)

Teori   Efek   dan  Teori  Ekspresi     dalam   Dunia  Penulis  Muda.
Teori  Efek  merupakan  satu  teori yang  berkaitan  dengan penerimaan orang  ramai  yang  menganggap  sastera  itu  sebagai   wadah  perhubungan  dengan  masyarakat. Dalam  teori  ini  jelas  menyatakan  bahawa  masalah  penulis  muda  akan dapat  diatasi  sekiranya  kesedaran  timbul dalam diri  mereka. Aristotle  dan Quantilian  mengatakan bahawa  tujuan  utama  sastera  ialah menimbulkan  tindak  balas  emosi  yang  kuat  dan  akhirnya  memberikan kenikmatan. Daripada  itulah,  penulis  muda  harus  tidak  menyerah  kalah  kerana  setiap  sumbangan  mereka  begitu  berharga  bagi  masyarakat.
            Bagi  teori   ekspresi pula,  dikaitkan  dengan  pengarang  dan penciptanya.  Menurut  teori  ini,  sastera  diibaratkan  sebagai  kebijaksanaan yang dalam, yang  diilhamkan  oleh Tuhan  secara  spontan  ke  dalam diri pengarangnya  ketika  ia  dalam  keadaan  ekstase.( Abdullah Hussain , 2006:112) . Oleh  itu,  berpaksikan  teori  ini,  para penulis  muda  seharusnya tidak  mudah  berputus  asa  walaupun mungkin gagal  menempatkan diri  dalam hati masyarakat  pada  awalnya.  Para  penulis  muda  harus  sentiasa berani  tampil  ke hadapan  menonjolkan  diri  mengangkat  bidang  sastera  agar tidak ketinggalan  daripada bidang  lain. Para  penulis  muda  perlu  sedar  bahawa  sastera  berperanan  besar  dalam   masyarakat  bukan sahaja sebagai bahan  bacaan yang  menambahkan pengetahuan tetapi  sebagai  bimbingan  dalam  kehidupan seharian.

Kesimpulan
            Dalam  memperjuangkan  kesusasteraan  Melayu, tugas penulis  muda  amatlah   besar  dan  peranan mereka  dalam  mengubah  mental  dan  pemikiran  masyarakat juga  amat  diperlukan. Penulis  muda  pada  zaman  sekarang  haruslah  mencotohi  masyarakat  Barat  yang begitu   mengagungkan Kesusasteraan. Dalam hal  ini,  hasil  karya  yang  dihasilkan  haruslah dijadikan  sebagai  wadah  penyampaian  mesej yang membantu  dalam  pembangunan  rohani, fikiran, peribadi  dan keperibadian  bangsa. Tidak  dinafikan  memang  banyak  halangan dan juga  cabaran yang terpaksa ditempuhi  oleh penulis-penulis  muda  sama  ada  cabaran  dari  dalaman dan juga luaran.
            Namun para penulis muda seharusnya  tidak  menyerah kalah  dan patut memikirkan  masa hadapan mereka  dalam mencorakkan   sastera  tanah air. Pelbagai   aspek  dalam  kesusasteraan Melayu  yang  harus  diperbaiki.  Misalnya  dunia  kritikan  sastera  Melayu yang haruslah dipergiatkan  dengan lebih  aktif. Di  samping  itu juga, penulis  muda  perlu  membuat  seberapa  banyak   penyelidikan tentang  hasil  karya  dan juga penerimaan  masyarakat terhadap  hasil  kerja  mereka. Dengan  ini  mereka  akan  dapat bersaing  di  peringkat global  dan  bersama-sama  mengangkat  martabat  sastera  Melayu  setanding  dengan  negara  lain.


1 comments:

Mohd Hafizie bin Samat said...

salam, penulisan yang sangat menarik. Harap dapat letak sumber atau senarai rujukan... Terima kasih. :)

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates