Klik Jangan Tak klik!

Followers

Saturday, August 7, 2010

PANTUN & SYAIR

1.0 Pengenalan.
Puisi melayu tradisional merupakan khazanah sastera yang menghimpunkan pelbagai jenis puisi seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, talibun, mantera, bayt, nazam, rubai, kit’ah, masnawi, ghazal, zikir dan selawat, berjanzi, teka-teki, endoi, rejang, hadrah dan dabus. Masyarakat melayu tradisional yang dianggap buta huruf, simple, kolektif dan serba kekurangan telah menghasilkan puisi-puisi yang banyak jumlahnya dan tinggi kualitinya. Secara umumnya puisi-puisi yang terhasil merangkumi pembawaan falsafahnya dan unsure puitis secara tidak langsung. Puisi-puisi memperlihatkan perkembangan dan liku-liku sejarah peradaban kehidupan masyarakat yang melahirkannya, world-view masyarakat yang mengucapkannya, dan kekreatifan masyarakatnya. Puisi-puisi telah digunakan di dalam semua aspek kehidupan sama ada untuk senda gurauan, hiburan, di dalam upacara perdukunan, adapt istiadat dan alat perundingan.



Pantun.



Latar Belakang.

• Merupakan puisi Melayu tradisional yang paling popular dan penggunaannya adalah meluas.

• Merupakan puisi Melayu Tradisional yang tidak diragukan sifat keasliannya.

• Tidak terdapat bentuk dalam puisi-puisi bangsa lain secara asli, melainkan bangsa Melayu di kawasan nusantara.

• Kelebihannya menarik minat pengkaji dari negara asing untuk datang mengkaji, seperti Pijnappel,Van Ophusyen,R.J Wilkinson, R.O Winstedt dan ramai lagi.
Definisi dan fungsi.

Definisi adalah berdasarkan beberapa pendapat dan kajian terhadap pantun.

• Brandsetter dan R.O Winstedt (1955) mengatakan, pantun berasal daripada pelbagai kata akar daripada pelbagai bahasa. Dalam perkataan “Pantun Sunda” itu akarnya ‘tun’ yang terdapat dalam bahasa Pampanga ‘tuntun’ yang bermakna teratur.

• Harun Mat Piah (1989), mendefinisikan pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur Visualnnya. Aspek dalaman meliputi estetik dan isi (tema dan persoalan).

• Za’ba, pantun itu kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan melayu betul.

• Drs. Liaw Yook Fang, pantun adalah senandung rakyat yang dinyanyikan.

• Drs.Ghazali Dunia, erti pantun asalnya ialah seumpama. Sepantun maksudnya seumpama.

• Pantun sering diadakan dalam majlis-majlis nyanyian, rentak kuda, dondang sayang, ronggeng, joget, upacara meminang dan jampi mantera.

• Banyak membicarakan soal kanak-kanak, cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat.

• Sebagai renungan masyarakat umum untuk dibuat iktibar, pengajaran dan sempadan dalam mengharungi hidupyang penuh dengan kemungkinan.



Ciri-Ciri Pantun.

• Pantun mempunyai rangkap-rangkap berasingan. Setiap rangkap terbina daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan seperti 2,4,6,hingga 16. rangkap umum empat baris serangkap. Pembentukan rangkap berdasarkan baris menjeniskan pantun melayu seperti pantun dua kerat,empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya.

• Setiap baris mengandungi kata dasar antara 4-5 patah perkataan dengan jumlah sukukata antara 8 hingga 12. Biasanya lapan hingga 10 suku kataa dalam sebaris.

• Setiap stanza/rangkap mempunyai dua unit atau kuplet iaitu unit/kuplet pembayang/sampiran (separuh jumlah baris bahagian pertama) dari unit/kuplet maksud (separuh jumlah baris bahagian kedua).

• Mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b,a-b dengan sedikit variasi a-a,a-a,a-b,a-a,a-b,b-a dan sebagainya. Tetapi jumlah lumrahnya ialah a-b,a-b.

• Setiap rangkap pantun merupakan keseluruhan iaitu mengandungi satu fikiran yang bulat dan lengkap yang dikesan melalui maksud pantun dalam rangkap tersebut. Namun terdapat juga pantun yang tidak lengkap jika hanya satu rangkap sahaja seperti pantun berkait.

• Pembayang penting untuk memberi persamaan bunyi dan kadang-kadang bayangan kepada maksud.

• Maksud bahagian yang penting iaitu penyampaian tersirat yang hendak disampaikan oleh si pemantun.



Syair.



Sejarah.

• Berasal dari Arab, namun syair melayu berbeza daripada bentuk syair dalam kesusasteraan arab.

• Muhd.mansur Abdullah mengatakan walaupun syair bukanlah hak mutlak atau kepunyaan bangsa melayu, namun memandangkan ia sudah berakar umbi di Alam Melayu sejak sekian lama, maka ia telah dianggap dan diterima oleh orang melayu sebagai tradisi mereka.



Maksud dan Fungsi.

• Aripin Said (1994), syair menyerupai pantun empat kerat. Namun terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua jenis puisi iaitu pentun mempunyai pembayang maksud manakala syair tidak mempunyai pembayang maksud dan keempat-empat bait syair ialah maksud.

• Za’ba (1939),Berasal dari perkaraan Arab shi’r yang secara umumnya bermaksud puisi. Shi’r bererti perasaan atau pengetahuan yang terbit dengan jalan terasa, kemudian makna ini berkembang dalam kesusasteraan sebagai perasaan seni yang indah dengan pelbagai warna fikiran yang menarik dan diucapkan dengan bahasa berhias indah, istimewa dalam perkataan yang bersukat dan berangkap.

• Dalam masyarakat melayu, syair bererti karangan berangkap yang terdiri daripada 4 baris dengan persamaan bunyi pada hujung barisnya. Idea yang dikemukakan bersambung-sambung dan menjadi kesatuan yang sistematik dan berkembang .

• Berfungsi sebagai penyampai ajaran, nasihat, alat hiburan,dan penceritaan kisah-kisah sejarah.

• Syair menyampaikan sesuatu yang berat dan mendalam kerana mengemukakan fikiran bercorak falsafah , pengetahuan agama, tamsil, ibarat atau pun nasihat dan puji-pujian.



Ciri-ciri.

• Syair berbentuk tetap, terdiri daripada rangkap-rangkap yang mengandungi empat baris.

• Setiap baris mengandungi empat atau lima patah perkataan dengan jumlah satu kata antara lapan hingga dua belas.

• Rima hujung setiap baris adalah sama aa aa.

• Untuk menyampaikan satu-satu idea atau tema, unit-unit rangkap syair tidak berdiri sendiri tetapi bersambung-sambung dan menjadi satu kesatuan yang sistematik dan berkembang. Oleh itu syair sangat sesuai untuk menyampaikan ajaran, nasihat, cerita-cerita, kisah-kisah sejarah dan sebagainya.

• Harun Mat Piah (1989), syair dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa variasi yang bergantung pada bentuk rimanya, seperti;



i. Dua baris serangkap dengan rima abb dan memerlukan beberapa Rangkap.

ii. Tiga baris serangkap dengan rima aab

iii. Empat baris serangkap dengan rima aa aa

iv. Empat baris serangkap dengan rima ab ab

v. Empat baris serangkap dengan rima aa bb

vi. Empat baris serangkap dengan rima aaab, cccb, dddd dan seterusnya.

vii. Empat bariss seirama (monorhyme)

viii.Empat baris berkait

• Berdasarkan isi dan tema, syair melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita (naratif) dan bukan cerita(bukan naratif). Syair yang berupa cerita seperti syair romantis, syair sejarah, syair keagamaan dan syair kiasan (alegoros). Manakala syair bukan cerita seperti syair agama dan nasihat.



Jenis Syair.

• Kumpulan syair dalam kesusasteraan melayu tergolong dalam beberapa jenis, iaitu;



I. Syair daripada rekaan pengarang yang berisi cerita misalnya syair Bidasari, Syair Dandan Setia, Syair Yatim Nestapa.

II. Syair yang mengandungi cerita atau hikayatlama, misalnya Syair Ken Tambuhan, Syair Darmarwulan, Syair Panji Semirang.

III. Syair mengenai sesuatu peristiwa atau sejarah, misalnya Syair Singapura Terbakar, Syair Himop (menceritakan perang antara Belanda dengan orang China) dan Syair Speelman.

IV. Syair yang bersifat kiasan dan sindiran, misalnya Syair Burung Pungguk, Syair Nuri, Syair Kumbang dan Melati.

V. Syair yang berisi nasihat dan pengajaran agama seperti Syair Perahu, Syair Ibadat dan Syair Kiamat.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, puisi Melayu Tradisional adalah puisi yang amat menarik sekali dan mengandungi banyak unsur nilai dan pengajaran. Dengan olahan gaya bahasa yang menarik, puisi Melayu Tradisional mampu menjadi alat untuk menyindir, menyampaikan pengajaran dan unsur didaktik. Puisi tradisional juga mampu menghibur dan jika diamati dan dihayati, orang dahulu mencipta puisi ini dengan penuh ketelitian dan merupakan ilham daripada kejadian sekeliling. Walaupun ia nampak sangat tradisional dan kedapatan budaya yang ada dalam puisi tradisional itu adalah tidak lagi diamalkan pada zaman sekarang,namun sebagai generasi pewaris, kita sewajarnya tidak melupakan atau meninggalkan tradisi yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang kita ini.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates